BAB 31

94 10 14
                                    

Surat itu dihulurkan kepada Suhaimi. Wajah itu tidak menunjukkan raut apa-apa – kekal dengan riak beku.

"Dan sekarang ini, kau nak suruh aku buat apa? Hadirkan diri dekat sekolah kau semata-mata untuk dengar apa yang cikgu nak bebel fasal kau?" Surat itu diletakkan di atas meja dengan kasar.

Wajah Syahidah yang menunduk sambil berdiri tegak dipandang sekilas.

"Buang masa cuti aku. Aku dengan mak kau tak akan pergi. Kau suruhlah abang kau sendiri. Dia sayangkan kau, kan? Blah!" tempik Suhaimi.

"Ayah-" Suhaimi lantas bangkit dari tempat duduknya dan berlalu pergi meninggalkan Syahidah di situ terpinga-pinga.

"Ya Allah... Macam mana ini?" Hatinya mula risau.

Kalau tiada penjaga yang hadir, pasti macam-macam soalan dikemukakan oleh cikgu-cikgu kepadanya. Apa lagi alasan yang hendak dia gunakan?

Setelah 11 tahun menjadi murid sekolah, tidak pernah walaupun sekali emak atau ayahnya datang untuk mengambil kad laporan semasa hari perjumpaan ibu bapa.

Dan selama 11 tahun itu jugalah dia menggunakan alasan yang sama.

"Mak dan ayah saya tak dapat datang cikgu. Mereka kerja."

Itu sahajalah ayatnya setiap kali soalan diajukan oleh cikgu-cikgu. Nasib baiklah cikgunya memahami.

——

"Perjumpaan ibu bapa? Idah pelajar permata SPM? Wow, hebatnya! Habis itu, mak dengan ayah datang tak?" Senyuman pahit meniti di bibir Syahidah seusai mendengar pertanyaan itu.

Syah memalingkan muka ke arah lain.

"Bodohnya kau ini, Syah! Mak dengan ayah memang tak akan datang pun!" marahnya pada diri sendiri.

"Abang, kenapa itu?" tutur Syahidah.

"Tak ada apalah. Ada barang jatuh ini," bohongnya sekadar untuk menyedapkan hati Syahidah.

"Idah tak nak pergi sekolah lah hari Ahad ini. Malulah abang... Semua orang datang dengan mak ayah dia orang. Idah? Kena cipta alasan untuk bagitahu pada cikgu," ujarnya.

"Jangan macam itu. Pergi saja. Tak apa, cipta saja alasan selagi boleh. Sabar saja, ya." Syah memberikan senyuman nipis.

Syahidah menghembuskan keluhan berat.

"Yalah. Idah pergi." Dia akur. Bukannya dia tidak mahu meminta abangnya untuk hadir bersama, tetapi itu akan menyebabkan pembelajaran abangnya terganggu.

Panggilan itu berakhir selepas beberapa minit. Air mata secara dia tidak sedar mengalir menuruni pipi.

"Alasannya, mak ayah kerja. Hm, bolehlah daripada tak datang terus." Beg sekolah diletakkan di atas kerusi belajar.

Lampu bilik ditutup. Katil dituju sebelum dia merebahkan badan ke atasnya. Itulah cara healing yang terbaik bagi Syahidah.

Tidur.
Cukuplah sekadar untuk menghilangkan bebanan masalah buat sementara waktu.

——

Halim tersenyum melihat isi kandungan yang termaktub dalam surat itu.

Baru dia tahu, prestasi anak sulungnya itu terlalu bagus sehinggakan dipilih sebagai pelajar permata.

Selama ini, hal sekolah Hilman mana pernah dia ambil tahu. Yang dia tahu hanyalah, bayar yuran, pastikan segala makanan dan keperluan harian untuk anak-anaknya cukup.

Yang lain, pandai-pandailah mereka urus sendiri.

"Abah datang. Insya-Allah." Dua baris ayat yang dilontarkan oleh Halim itu cukup menukarkan ekspresi wajah Hilman yang tadinya penuh pengharapan kepada ekspresi yang penuh kegembiraan.

Senyuman melebar di bibirnya sehingga kedua lesung pipitnya benar-benar jelas kelihatan.

"Terima kasih, abah..." ucap Hilman.

Halim menyengguk sahaja.

"Man, abah teringin nak tengok kamu naik pentas waktu ambil keputusan SPM nanti. Belajar betul-betul, ya. Sekurang-kurangnya, satu impian abah dapat jadi kenyataan pun jadilah. Abah tak minta banyak. Itu saja yang abah nak sangat," jelas Halim.

Hilman menahan sebak di dada.

"Hilman akan cuba sedaya upaya untuk dapatkan keputusan yang baik supaya abah gembira. Insya-Allah." Dia memeluk tubuh abahnya erat.

Jatuh air mata seorang bapa saat itu. Halim menepuk-nepuk belakang badan Hilman untuk menyalurkan sedikit semangat.

"Terima kasih, Man. Sebab jadi anak yang baik untuk abah." Ucapan itu diluahkan dengan kesedihan yang teramat.

Hilman diam tidak membalas. Pelukan kedua beranak itu terlerai. Helmi pula datang dengan wajah cemberut.

"Yalah. Sampai adik saja, semua orang tak sayang." Si kecil itu merajuk. Muka tidak mahu menoleh ke arah abah dan abangnya.

"Siapa kata tak ada orang yang sayang adik? Abah dengan abang Man, sayang adik, tahu?" Ubun-ubun kepala anak itu diusap-usap.

"Betul," sambung Hilman.

Helmi mengukir senyum.

"Minta perhatian saja lebih." Usikan daripada Hilman mengundang sebuah jelingan tajam daripada Helmi. Halim tergelak kecil melihat keletah anak-anaknya.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now