BAB 8

116 12 14
                                    

Syahidah berdiri di hadapan pagar rumah. Dia memakai tudung labuh berwarna hitam bersama baju lengan panjang berwarna kelabu berserta stokin biru gelap kegemarannya.

Dia sedang menunggu kedatangan seseorang yang amat dia rindui sambil bermundar-mandir.

Bunyi motosikal menyapa halwa telinga. Senyuman lebar dan manis terpasang di bibir. Aura kegembiraan seorang Syahidah menghiasi ruang atmosfera anjung rumah.

Pintu pagar dibuka dan dia mempersilakan gerangan yang menunggang motosikal itu masuk.

Belum sempat gerangan itu turun dari motosikal, Syahidah dengan pantas mencapai tangannya untuk bersalaman.

"Abang!" Ton suaranya kedengaran sangat teruja. Wajah Syah yang tidak kelihatan dek kerana helmet yang masih terpasang kemas itu ditenung lama.

"Assalamualaikum, Idah..." Helmet dibuka dan senyuman manis terukir di bibir Syah. Syahidah menjawab salam itu. Lembut.

"Idah rindu abang," ujarnya. Syah tertawa halus.

"Kut ya pun rindu abang, takkanlah sampai duduk dekat tengah panas terik ini. Dengan baju lawa-lawa apa semua. Idah, Idah." Kepala digeleng perlahan.

Syahidah turut sama menggelakkan diri sendiri.

"Yang lain mana? Senyap saja." Perasan akan kereta ayahnya tidak ada di situ, Syah menyoal adiknya.

"Keluar. Tinggal Idah seorang diri." Syahidah bantu mengangkat beg komputer abangnya.

"Kenapa tak ikut saja? Bahaya duduk rumah seorang diri. Idah itu perempuan," tutur Syah, lembut.

"Idah tunggu abang." Pendek saja jawapan itu keluar dari mulut adiknya itu. Syah menghela nafas berat. Ada saja jawapan yang keluar.

Syah mengikuti langkah adiknya masuk ke dalam rumah. Biliknya dituju. Syahidah membuka pintu bilik abangnya.

"Tadaa! Cantik tak?" Syahidah terlompat riang. Beg komputer yang berada di tangannya dipegang kemas.

"Siapa kemaskan bilik abang ini? Cantik." Sengaja Syah menyoal Syahidah walaupun dia telah mengetahui jawapan kepada persoalannya tadi.

"Mestilah Idah!" balas Syahidah.

Syah meletakkan beg galasnya ke atas katil. Beg komputer diambil dari tangan adiknya lalu diletakkan ke atas meja belajar.

"Abang lapar? Idah ada masak tadi. Tapi lauk biasa saja. Sebab Idah makan seorang saja, kan?" Dia berjalan perlahan untuk keluar dari bilik itu.

"Idah masak apa?" Syah membuntuti adiknya.

"Ikan tongkol masak kicap... Simple but can fill my stomach," kata Syahidah.

Mendengar saja balasan daripada Syahidah, Syah mengangguk laju tanda ingin merasai air tangan adiknya.

Yalah, bukan senang hendak merasai masakan Syahidah. Kadang jika dia cuti, ada juga dia minta Syahidah untuk masakkan makanan kegemarannya, namun permintaan tersebut ditolak.

Alasan Syahidah, masakannya tidak sedap.

Nasi dicedokkan ke dalam pinggan. Kuah beserta seekor ikan tongkol dituangkan sekali lalu disuakan ke arah abangnya.

Bismillah dibaca secara berbisik sebelum tangannya ingin menyuap nasi ke mulut.

"Jemput makan. Kalau tak sedap atau tak cukup rasa ke apa, jangan komen. Tak baik kritik depan makanan," pesan Syahidah terlebih dahulu.

Suapan tadi terhenti. Ibu jari tangan kiri diangkat tanda setuju.

Syah kemudiannya menikmati hidangan tersebut dengan penuh rasa terharu.

Sepanjang tempoh abangnya makan, matanya tidak lepas memandang setiap inci wajah Syah. Ditiliknya satu persatu. Dari hujung rambut hingga ke hujung dagu.

Pipi abangnya agak cengkung. Mungkin kerana terlalu letih dan sibuk dengan urusan pembelajaran.

"Abang mesti kurang makan dekat KL, kan?" Soalan cepumas itu juga yang ditanya. Syah menghela nafas panjang sebelum menjawab.

"Ya. Kadang tak sempat makan, kadang tak ada selera. Kenapa?" Kedua keningnya diangkat.

"Tak ada apa-apa... Idah cuma risau kalau-kalau abang tak sihat," jawab Syahidah beserta senyuman nipis. Syah mengangguk lambat-lambat.

"Ha, macam mana dengan perlawanan bola tampar? Menang tak?" Syah menyoal Syahidah sebelum meneguk air. Dia memang ingin menukar topik perbualan untuk menghilangkan kerisauan Syahidah.

"Pasukan bola tampar sekolah kita, juara keseluruhan! P18 dengan L18, dua-dua menang," beritahu Syahidah.

"Memang juara bertahan sekolah kita. Hebat, hebat! Tahniah!" Ucapan yang keluar daripada bibir abangnya membuat hati Syahidah berbunga-bunga. Dia lega dan puas dengan ucapan itu.

Walaupun tidak dapat daripada emak dan ayah, dapat daripada abang pun jadilah.

"Terima kasih banyak, abang," ujar Syahidah. Syah menayang senyum.

"Tapi, dalam grup family tak ada pula mak atau ayah cakap apa-apa. Idah tak beritahu dia orang, eh?" teka Syah.

Syahidah tidak menjawab.

"Ayah dengan mak tak beritahu dalam grup lah ini. Sabar sajalah, Idah. Abang faham..." Syah cuba menenangkan adiknya.

Syahidah menundukkan kepala. Indera penglihatannya dilarikan daripada menatap wajah Syah yang sedang merenungnya.

"Tak apalah, abang. Idah tak kisah. Dah biasa. Lagipun, kalau abang boleh kuat untuk hadap semua ini, takkan Idah tak boleh, kan?" Syahidah menyeka air mata yang mengalir sedikit.

Syah tersentak melihat adiknya yang menangis itu.

"Idah... Jangan nangis. Idah kuat kan..." pujuknya.

Makin kuat tangisan Syahidah. Syah cepat-cepat bangun dan mencuci tangan sebelum memujuknya.

"Idah tak sukalah... S-Semua orang sayang sangat dekat Aman dan Amin. Tapi kita? Idah tak pernah dengar nama kita disebut-sebut dalam perbualan mak dengan mak cik yang lain. Tak adil!" bentak Syahidah, persis seorang kanak-kanak yang mahukan perhatian.

"Abang tahu, Idah. Abang tahu. Abang pun alami benda yang sama. Abang faham. Tak usah menangis, ya?" Kepala Syahidah yang dilitupi tudung itu diusap lembut. Air mata yang mengalir ke pipi juga diseka olehnya.

Pantas bibirnya melengkung membentuk sebuah senyuman manis untuk menyejukkan hati seorang adik yang dilanda kesedihan.

Dia memang tidak kuat untuk melihat adiknya menangis seperti ini. Syah menghela nafas panjang sebelum meraup mukanya perlahan.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now