BAB 2

191 16 36
                                    

Rina tercari-cari kelibat rakannya Syahidah di tapak perhimpunan yang masih lengang. Yalah, baru pukul 0640 pagi, ramai pelajar yang masih belum tiba lagi. Entah-entah, ada lagi pelajar yang sedang lena dibuai mimpi di rumah.

Rina duduk bersila di barisan pelajar tingkatan empat sebagai orang pertama di hadapan memandangkan Syahidah belum sampai lagi. Beg yang digalas tadi dibuka dan diletakkan di hadapannya.

Dia masih terjengah-jengah mencari Syahidah. Setahunya, Syahidah tak pernah datang lewat. Pukul 0556 pagi biasanya dia akan terpacak di depan pagar. Solat subuh akan dilaksanakan di surau sekolah sahaja.

Atau...
Syahidah tidak bersekolah hari ini?
Rina mengeluh berat.

Bahunya dicuit lembut. Syahidah memberi salam perlahan.

Rina angkat muka, lalu tersenyum lebar.

"Idah! Aku ingat kau tak datang. Kenapa kau lewat? Kalau kau tak datang tadi, habislah aku kena cakap seorang diri waktu pembentangan sejarah nanti." Itu pula yang keluar dari mulut Rina selepas melihatnya?

Syahidah menggeleng kecil sebelum duduk bersila bersebelahan rakannya itu. Beg juga diletakkan di hadapannya.

"Tak reti jawab salam dulu ke, Rina?" soal Syahidah. Bibir Rina mengukir sengihan.

"Waalaikumussalam... Apa khabar? Tapi macam sihat saja," balas Rina sambil tertawa kecil.

"Alhamdulillah. Sihat," ujar Syahidah.

Sihatkah dia?
Tidak.
Dia sedang menanggung sakit luar dan dalam.

"Ha, mana kertas pembentangan itu?" sambung Rina.

Kening sebelahnya terjongket sebelum bibir Syahidah mengherot senyuman nakal.

"Aku lupa nak bawa." Selamba saja Syahidah menjawab.

"Idah! Habislah kita... Aku harap, Cikgu Siti tak datang lah..." Rina cemas.

Dia hanya berdoa agar Cikgu Siti tidak hadir. Nak nangis saja rasanya di situ!

Hampa.

Oh, bukan.

Terlalu menghampakan.

Rina ternampak Cikgu Siti sedang bertugas di pagar sekolah. Wajahnya diraup perlahan.

"Idah... Aku rasa, aku nak demam lah," kata Rina. Syahidah mencebik sedikit mendengar kata-kata Rina itu.

Rina dah boleh membayangkan bagaimana nasib mereka nanti. Pastinya mereka akan disuruh untuk berdiri di pondok bersebelahan kantin dan memegang papan yang tertulis, 'KAMI PELAJAR YANG CUAI'.

Betapa malunya mereka nanti. Silap-silap, sunscreen yang dipakainya juga boleh cair akibat menahan malu.

Syahidah pula rasa puas kerana dapat mengenakan sahabatnya itu. Kertas pembentangan itu ada saja di dalam begnya. Tersimpan elok lagi.

Dia sengaja buat begitu hanya untuk bergurau, bukan mempermainkan perasaan sahabatnya sesuka hati.

Selepas tamatnya perhimpunan pagi, Rina semakin tidak senang hati. Kelas Sejarah akan berlangsung selepas ini!

Kalau pelajar lain memang suka sangat perhimpunan tamat awal seperti hari ini. Maklumlah, pengetua tak dapat hadir. Jadi tiadalah ucapan dan amanat sepatah dua kata itu.

"Tunjukkan kedua tangan awak." Pengawas bertugas itu mengarahnya. Rina pantas menghalakan tangannya untuk diperiksa sama ada kuku panjang atau tidak.

"Alhamdulillah. Nasib baik lepas...' getus hatinya.

Syahidah mana pula?
Dia merupakan seorang pengawas, jadi dia sedang bertugas seperti yang lainnya.

Rina berjalan lambat-lambat ke kelas. Nasibnya baik lagi kerana kelas mereka agak jauh dari tapak perhimpunan.

Setelah lima minit berjalan perlahan, dia masuk ke kelas. Beg dilepaskan dan disandarkan pada kerusi. Dia pula duduk dan menongkat dagu di atas meja.

Menunggu Syahidah buat kali kedua.

——

Sesi pembelajaran Sejarah tamat. Syahidah melipat semula kertas pembentangan itu dengan kemas lalu diletakkan di bawah meja.

Sahabatnya Rina dipandang sekilas.

Merajuk.

Syahidah tertawa halus bagi menarik perhatian Rina. Kesudahannya, Rina terikut-ikut ketawa sekali dengannya.

"Tak payahlah ketawa. Ish, geram pula aku!" Tawanya yang masih bersisa diteruskan juga.

"Marahnya dia..." Sengaja Syahidah mengusik.

Rina memalingkan muka ke arah lain.

"Yalah... Merajuk lah lama-lama. Nanti muka itu jadi macam Shrek. Oops, Fiona. Baru tahu!" Syahidah tergelak lagi. Rina mencebik bibir.

——

Syahidah balik ke rumah setelah habis tempoh persekolahan. Sampai saja dia di rumah, dia membersihkan diri, solat dan menjamah sedikit makanan.

Sambil-sambil mengunyah makanan, telinganya menangkap segala butir perkataan yang keluar dari mulut emaknya.

"Amin... Bekal ini jangan lupa bawa ke sekolah agama. Mak dah masak kan." Saat ujaran itu menerobos masuk ke dalam lubang telinga, hatinya rasa sakit yang amat.

Mana tidaknya, dulu, dia tidak pernah dibekalkan makanan ke sekolah agama. Kadangkala, dia meminta emak supaya gorengkan mi segera, tetapi permintaannya tak pernah diterima.

Syahidah akur dengan kelebihan adik-adiknya yang sentiasa diberi layanan manja itu.

"Idah, sekejap lagi, kau angkat kain jemuran dekat luar. Dah nak hujan. Lepas itu, sapu rumah bersih-bersih. Aku nak ke pasar raya, beli barang," arah Azilah.

"Baik, mak." Syahidah mengangguk dan tersenyum nipis.

Dia cepat-cepat menghabiskan suapan terakhirnya. Kemudian, dapur dituju. Pinggan dicuci sehingga bersih.

Dia memandang ke arah pintu rumah.

Dah tertutup rapat.

Bermakna, emak dan ayah telah keluar pergi pasar raya.

Penyapu diambil lalu dia mula menyapu segenap ruang rumah dengan teliti. Tiada satu habuk pun ditinggalkan.

Setelah itu, dia mengangkat jemuran di luar pula. Mana yang sudah kering saja diambil. Yang belum, dia gantung semula.

"Siap dah!" desis hatinya.

Pintu bilik dibuka lantas dia menuju ke meja belajar. Latihan yang diberikan oleh cikgunya dikeluarkan untuk disiapkan.

Setelah lebih 2 jam menghadap buku dan latihan-latihan, dia membuka telefon pintarnya.

Aplikasi BiliBili dibuka. Memang kebiasaannya dia akan menonton anime Kimetsu No Yaiba selepas menyelesaikan kerja rumah.

Sedang Syahidah menghabiskan masa dengan anime, pintu biliknya dikuak kasar oleh Azilah.

"Kau ini memang pemalas! Aku suruh sapu rumah, kau boleh main telefon dekat sini ya? Tak guna punya anak! Sapu dahlah tak bersih!" sembur Azilah kepada anaknya.

Syahidah terpempan.

"Tadi Idah dah sapu bersih, mak. Lepas itu, Idah buat kerja sekolah. Baru saja Idah pegang telefon ini," jawab Syahidah, sopan.

"Pandailah kau! Anak dara macam apa kau ini? Sapu rumah pun tak reti! Baik tak payah sapu terus!" Azilah menghempas pintu bilik Syahidah.

Terhinjut bahu Syahidah.

Dia beristighfar perlahan bersama dengan sebuah keluhan berat. Sebegini rupa layanan yang diberikan oleh emaknya kepada dia.

Dia telahpun memastikan semua habuk dibersihkan tadi. Tapi yalah, apa yang dia lakukan, pasti ada yang tidak kena dimata mereka.

Syahidah menongkat dagu sambil termenung ke arah buku-buku yang tersusun rapi di atas meja belajarnya.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now