BAB 47

98 12 30
                                    

Dua minggu sebelum keputusan SPM diumumkan

Hilman duduk berehat sambil menonton televisyen di ruang tamu. Helmi tidak kelihatan. Sejak pagi tadi dia tidak keluar dari bilik. Si adiknya itu demam panas.

Baru saja dia menyuruh Helmi makan ubat sebelum kembali berehat.

"Man, adik masih tidur lagi?" Soalan itu dibalas dengan anggukan daripada Hilman.

"Abah ingat nak bawa dia ke klinik sekejap lagi. Risau pula. Demam panas ini tak boleh dibawa main," kata Halim.

"Itulah abah. Kesian, adik. Sampai menggigil-gigil." Alat kawalan jauh dicapai lalu dia menekan butang menutup televisyen.

Tiada apa yang menarik.

"Sebelum itu, abah nak ke kedai dulu. Beli barang dapur sikit. Kamu masak ya hari ini?" pinta Halim.

"Baik, abah." Hilman menurut kata.

Halim bergerak keluar membeli sedikit barangan dapur untuk menyediakan makanan tengah hari. Hilman pula dengan penuh berhati-hati memasuki bilik Helmi untuk melihat keadaannya.

Suasana di rumah tanpa keceriaan Helmi sangatlah membosankan. Dia mengusap lembut ubun-ubun kepala Helmi.

Hangat.

"Abang... Tangan abang sejuklah," adu Helmi.

"Maaf, maaf. Ini, adik nak apa-apa? Air ke?" tanya Hilman, tenang.

"Nak air... Abang, adik tak nak pergi klinik. Nanti doktor cucuk. Takut." Dia menukar posisi baring kepada duduk. Bahu Hilman menjadi tempat kepalanya disandarkan.

"Mana ada doktor cucuk. Doktor bagi rawatan sikit, bagi ubat, lepas itu balik lah." Niat hanya untuk menenangkan si adik.

"Tapi, adik tak nak pergi. Nak duduk rumah saja. Kan ada ubat itu." Bibir merahnya memuncung ke arah papan ubat parasetamol di atas meja.

"Yalah. Kita pergi klinik jumpa doktor dulu. Mana boleh harapkan ubat itu saja. Kalau adik ada sakit lain macam mana? Sebab itu kena buat rawatan," jelas Hilman. Helmi menyengguk tanda faham.

"Baring dulu. Abang ambilkan air kejap." Hilman bangun dari tempat duduk lalu berjalan ke dapur.

Air suam dituangkan ke dalam gelas sebelum dibawa kepada Helmi.

"Minum perlahan-lahan, adik," tegurnya kerana Helmi minum air terlalu rakus. Hilman tergelak kecil.

"Abang... Adik takut. Semalam, adik mimpi ada lori langgar adik." Tangan si abang dipeluk erat.

"Mimpi itu permainan tidur saja, dik. Jangan takut. Insya-Allah, tak ada apa yang berlaku." Sebuah senyuman ditayangkan untuk melegakan hati Helmi.

Bunyi hon motosikal menerpa ruang pendengaran. Hilman segera turun ke ruang tamu untuk mendapatkan Halim.

"Man pergi siapkan makanan dulu ya, abah." Halim mengangguk dan terus menuju ke bilik anak bongsunya.

-----

Pinggan mangkuk yang berada di dalam singki dibasuh dengan air bersih.

"Abah bawa adik ke klinik dulu ya. Kalau abah lambat ke apa, nanti abah telefon." Halim memberitahu kepada anaknya siap-siap.

Dia dapat merasakan bahawa Helmi akan ditahan wad. Mana tidaknya, demam yang melanda tubuh anak bongsunya semakin melarat sehinggakan hendak berjalan pun dia tak mampu.

"Okey, abah. Hati-hati," pesannya. Segera dia mendekati Halim dan menyalami tangan abahnya itu.

"Assalamualaikum." Ucapan salam itu dijawab oleh Hilman dengan perlahan.

Sejurus bayangan motosikal abahnya tidak kelihatan, Hilman mengunci pintu rumah dan menyambung cuci pinggan di dapur.

Kemudian, dia membuat keputusan untuk membersihkan kawasan ruang tamu rumah. Lantai rumah disapu dan dibersihkan dengan mop.

Sementara itu, dia sempat mengerling ke arah kalendar yang tersangkut di tepi almari trofi.

"Tak sabar nak tahu keputusan aku. Harapnya dapat yang terbaiklah. Aamiin." Wajah diraup dengan kedua telapak tangan.

-----

Motosikal ditunggang dengan kelajuan sederhana. Sempat dia mengemaskan rangkulan Helmi pada pinggangnya.

Terpaksa dia menunggang motosikal kerana kereta masih belum siap dibaiki.

Keluhan kecil terlepas di bibir. Laju dia mengucapkan istighfar kerana mengeluh. Secara tiba-tiba perasaan tidak enak muncul di sudut hati.

Dia berhenti saat lampu isyarat menunjukkan warna merah. Setelah lampu isyarat bertukar hijau, dia pun meneruskan perjalanan semula.

Namun, segalanya berubah apabila sebuah lori lebih muatan yang berada di simpang berlainan bergerak laju merempuh mereka dari tepi.

"Abah." Suara Helmi kedengaran sayup-sayup di belakang.

Tatkala itu, pandangan Halim mula kabur dan kesudahannya dia rebah bersama Helmi yang masih memeluknya di sisi.

Orang ramai mula mengerumuni tempat kejadian. Ada yang sibuk mengeluarkan telefon pintar untuk merakam apa yang berlaku. Ada juga yang menelefon pihak polis dan ambulans untuk mendapatkan bantuan.

Pemandu lori tersebut langsung tidak mengalami sebarang kecederaan. Dia hanya tergelak-gelak sambil terhuyung-hayang.

Memang sah bahawa pemuda itu memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol.

Ambulans pun tiba di tempat kejadian selepas beberapa minit dan bergegas membawa mereka ke hospital untuk rawatan lanjut.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now