BAB 44

98 12 21
                                    

Syahidah hanya duduk merenung ke luar jendela. Mahu kerja, tetapi tidak diizinkan oleh mak dan ayah. Alasannya mudah.

"Kalau kau kerja, siapa yang nak kemas rumah ini?"

Syahidah akur. Dia memang dijadikan sebagai bibik tanpa gaji di rumah itu.

"Kakak. Aman ada sesuatu nak tanya." Aman yang muncul entah dari mana menegurnya dengan sopan. Syahidah menjongketkan kedua kening tanda ingin tahu.

"Semalam itu, kenapa kakak nak kerja? Kakak tak cukup duit ke?" tanya Aman. Syahidah menayang senyum saja.

"Kakak nak cari pengalaman sebelum ke universiti nanti. Tapi mak dengan ayah tak benarkan, jadi kakak tak boleh nak bantah," balas Syahidah.

"Kakak tak nak buat bisnes dalam talian ke? Untung besar kut. Senang pula itu. Kakak tak payah nak keluar rumah sangat," cadang remaja itu.

Tetapi Syahidah menolak cadangan itu secara berhemah. Bukan tidak mahu, tetapi dia tidak mendapat keizinan untuk melakukannya.

"Itu pun mak ayah tak bagi?" Aman mengeluh berat. Tiba-tiba tangannya ditarik kasar oleh Azilah.

"Sejak bila kau sibuk berbaik dengan anak aku Idah?" Dingin sungguh suara Azilah menutur kata dengannya.

"Aman, kenapa kamu rapat dengan perempuan ini?" Giliran Aman pula disoal.

"Dia memang sayang dekat perempuan itu mak. Itu kan kakak dia..." Amin pula menyampuk perbualan tersebut.

"Kenapa Aman? Kenapa kau rapat dengan penumpang ini?" Jari telunjuk dihala tepat ke wajah Syahidah. Tatapan tajam juga diberikan kepadanya.

"Penumpang? Apa mak cakap ini? Ini kakak Aman lah," jawab Aman. Azilah dan Amin tersenyum senget.

"Kau tak faham Aman." Sekeping surat diberikan kepada Aman untuk dibaca.

"Mak, kenapa mak cakap Idah penumpang? Idah tak faham," ujar Syahidah setelah lama berdiam diri.

"Sebab kau itu bukan anak aku! Kau dengan abang kau itu, aku pungut dekat rumah anak yatim, kau tahu tak? Masa itu, aku menyusukan kau sebab kau masih bayi," jelas Azilah tanpa berselindung lagi.

Luruh jantung Syahidah mendengarnya. Hampir saja dia jatuh terduduk. Begitu juga dengan Aman. Dia seolah-olah tidak percaya akan berita ini.

"Nama bapak kau dengan nama ayah aku kebetulan sama. Sebab itu kau tak tahu selama ini. Dan kalau kau tak percaya Idah, pergi tanya abang kesayangan kau itu. Dia tahu semuanya." Sijil anak angkat itu dicampak ke muka Syahidah oleh Amin.

"A-Abang tahu s-semua ini?" soalnya polos pada diri sendiri.

"Tak payah nak tunjuk drama air mata kau, Idah. Baik kau masuk bilik kau sekarang. Aku meluat tengok muka kau," sembur Azilah.

Dengan langkah yang longlai, Syahidah mengutip sijil tersebut dan menuju ke biliknya.

Sungguh hatinya sakit yang teramat.

Telefon pintar dicapai. Nama Syah ditekan untuk membuat panggilan. Dia hanya mahukan penjelasan!

Setelah panggilan dijawab, terus Syahidah menyerbu abangnya dengan soalan tanpa mengucapkan salam.

"Betul ke Idah dengan abang anak angkat? Kenapa abang tak cakap? Kenapa abang sorok semua ini daripada Idah? Kenapa abang? Kenapa?" Ton suara Syahidah benar-benar bercampur kecewa dan marah pada waktu yang sama.

"Idah. Sabar... Tenang dulu. Dengar apa yang abang nak cakap ini," ujar Syah dalam keadaan resah. Namun dia cuba untuk tenang.

"Nak cakap apa lagi? Abang tipu Idah! Daripada kecil Idah kena tipu! Abang jahat!" hambur Syahidah, tidak berfikir panjang.

"Abang minta maaf sebab rahsiakan hal ini. Abang cuma tak nak pelajaran Idah terganggu. Abang boleh saja berterus-terang, tapi abang cari masa yang sesuai," terang Syah.

"Mak itu ibu susuan Idah. Tapi bukan abang. Abang hanya anak angkat yang tak ada pertalian darah pun. Abang duduk dalam keluarga itu masa umur enam tahun. Idah masih bayi lagi. Kita anak yatim Idah... Ibu dengan ayah kandung kita meninggal lepas kemalangan." Syah sudah tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya.

Mutiara jernih mula turun deras ke pipi.

"Abang betul-betul minta maaf... Abang mengaku salah. Idah tolong ja-" Panggilan tersebut diputuskan oleh Syahidah.

Syah melepaskan nafas berat. Air mata tadi diseka laju. Dia sedih. Bahkan benar-benar sedih.

"Abang gagal jadi yang terbaik untuk Idah." Syah bersenandika sendirian.

"Ayah, ibu... Maafkan Syah," tuturnya.

Manakala Syahidah di rumah sudah menangis sendirian. Dia tidak sangka bahawa perkara seperti ini akan berlaku.

Dia... Cuma anak angkat.

Ibu dan ayah kandungnya juga tidak dia tahu selama ini.

"Ya Allah... Kenapa semuanya berjalan secepat ini?" bisik Syahidah.

Wajah diraup kasar. Telefon bimbit yang masih berada pada tangan dicampak ke atas katil.

Dia ingin tidur dan cuba hilangkan rasa perit yang ditanggung sekarang ini!

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now