BAB 19

98 10 16
                                    

Hilman pulang dengan hati yang gembira.

Mahu tidak gembira, dapat bertemu dengan pujaan hatinya tadi.

Namun apabila sampai di rumah, wajah adiknya yang dipenuhi air mata menukar kegembiraan tadi kepada keresahan.

"Adik, kenapa ini?" soal Hilman.

"Kenapa nangis, adik? Jawab..." Tubuh adiknya digoyang sedikit.

"Abah..."

"Abah jatuh." Jawapan daripada Helmi membuatkan Hilman berlari ke bilik abahnya.

Tubuh Halim yang terbaring di atas lantai didekati dengan kerisauan bertahap maksima.

"Allahuakbar... Abah... Bangun, abah." Dia menepuk lengan Halim perlahan. Tiada sebarang reaksi.

Telefon pintarnya dikeluarkan dari poket seluar. Nombor Bukhari didail.

"Assalamualaikum, abang. Boleh tolong saya?" Nada suaranya cemas.

Bukhari menjawab, "Waalaikumussalam, Man. Ada apa? Panik semacam."

"Abah saya tak sedar dekat rumah ini. Boleh tak, abang tolong bawakan abah ke hospital?" pinta Hilman.

"Boleh, boleh. Kau tunggu sekejap. Aku sampai. Tenang, Hilman. Istighfar banyak kali," pesan Bukhari.

Hilman mengucapkan terima kasih sebelum mematikan panggilan tersebut.

Air mata diseka pantas.

"Adik... Tengok-tengok sikit kalau Abang Bo sampai. Abang nak naik atas sekejap. Tukar baju." Lemah saja Hilman menutur kata. Helmi menyengguk kecil.

Dia tidak boleh melihat keadaan abahnya yang sakit itu. Dia tak mampu.

Biarpun abah membenci dirinya, namun dia sebagai seorang anak takkan pernah mewujudkan perasaan itu walaupun sedikit di dalam hati.

Yang dia selalu tanamkan dalam diri hanyalah;

"Abah yang jaga aku dengan adik waktu mama tak terima kami dulu. Abah yang korbankan penat lelah dia untuk besarkan aku dan adik. Abah sebenarnya sayang aku dengan adik."

Hanya dengan tiga ayat itu, Hilman lenyapkan perasaan benci yang mula timbul di benak hati.

Setelah tiba di rumah Hilman, Bukhari masuk ke dalam lalu bantu mencempung tubuh Halim masuk ke dalam kereta. Kemudian, setelah Hilman mengunci pintu rumah, mereka mengejarkan Halim ke hospital.

——

Dia menunggu keputusan doktor yang memeriksa abahnya di dalam ruangan kecemasan. Setelah sejam menunggu,  doktor membuat keputusan untuk menahan abahnya di wad hospital beberapa hari.

Hilman hanya bersetuju dengan pernyataan doktor tersebut.

"Abang Bo. Terima kasih sebab sudi bantu saya. Saya minta maaf sebab dah ganggu waktu rehat abang. Saya mati akal tadi abang. Balik-balik saja abah dah terbaring dekat bilik. Saya takut, bang..." jelas Hilman. Roman wajah remaja itu terang-terang memaparkan riak resah, takut dan tidak senang hati.

"Sabar Hilman. Macam yang kau selalu dengar, semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tak perlu minta maaf... Aku cuba tolong mana yang aku mampu. Jangan sedih, jangan terlalu risau, ya. Jaga abah baik-baik. Helmi pun sama," ujar Bukhari beserta sebuah senyuman manis.

"Mak aku dah mesej minta balik cepat. Haih, tak dapat aku teman kau orang berdua sampai esok. Maaf, Man. Insya-Allah, kalau ada apa-apa, telefon saja. Aku datang, okey?" Dia sempat menunjukkan mesej emaknya kepada Hilman.

Hilman mengangguk tanda faham.

"Terima kasih sekali lagi, Abang Bo," ucap Hilman.

"No problem lah. Assalamualaikum," pamit Bukhari. Kedua mereka membalas salam tersebut dengan senyuman nipis.

"Abang... Abah sakit apa?" Helmi melentokkan kepalanya pada lengan abangnya. Hilman mengusap lembut ubun-ubun kepala Helmi.

"Doktor kata, abah mungkin kena serangan jantung tadi. Tapi alhamdulillah, keadaan abah masih stabil," balas Hilman. Helmi meng'oh'kan sahaja.

Keesokan pagi, selepas solat subuh di surau hospital, Hilman duduk merenung Halim yang terbaring lemah di atas katil hospital itu dengan penuh rasa sebak. Helmi sudahpun nyenyak tidur di atas kerusi sisi katil tersebut sejak malam tadi.

Mesti si kecil itu terlalu kepenatan. Hilman berura-ura untuk membuat adiknya itu terjaga, namun hasratnya dimatikan setelah Halim memanggilnya.

"M-Man... Abah minta maaf." Ucapan itu disebut dengan titisan bulir bening yang mengalir keluar dari kelopak mata.

"Abah banyak buat salah pada Hilman dengan Helmi. Abah jahat, Man." Suara Halim terketar-ketar.

"Abah, jangan cakap macam itu. Abah tak jahat. Kalau abah jahat, dah lama abah buang kami di tepi jalan. Abah rehatlah, ya? Tak perlu fikir macam-macam. Nanti abah makin tak sihat," tutur Hilman, lemah-lembut.

Halim menatap muka anak sulungnya dalam-dalam. Bayangan semasa dia memukul dan memaki hamun Hilman menerpa di skrin minda.

"Kalau Hilman nak benci abah, silakan. Abah faham," ujarnya. Hilman menggeleng laju.

"Sekali pun Hilman tak akan benci abah," jawab Hilman. Air mata makin deras keluar. Tangan abahnya digenggam erat.

Halim menghembuskan nafas berat.

"Kenapalah aku baru nak sedar? Kenapa bila aku dah lama sakitkan dia, baru sekarang aku nak sibuk rasa bersalah?"

"Ya Allah... Akulah bapa yang paling tak guna dalam dunia ini," bisik hati kecilnya.

Hilman terdiam tanpa tahu apa yang perlu dikatakan lagi. Dia cuba menenangkan abahnya.

"Rehat, abah. Jangan banyak sangat fikir," pesannya dengan sopan. Senyuman kecil ditayangkan pada Halim. Halim membuang pandangan ke arah jendela.

Dirinya benar-benar rasa seperti tidak berguna untuk menjadi seorang ayah kepada anak-anaknya.

Dia rasa, dia terlalu jahat kerana melayan anak-anaknya dengan kasar.

MENANTI KAMU [C]Where stories live. Discover now