BAB 43

79 12 4
                                    

Hafiz, Abang Rosli dan Luke menarik nafas, melepaskan lelah apabila Black pergi dari situ. Itu baru sedikit pertentangan daripada Black dan orang-orangnya. Hafiz risau jika berlaku pertumpahan darah, kampung itu akan menjadi gempar. Kampung yang aman damai sekian lama mungkin tidak dapat menerima kejadian yang dahsyat seperti adanya pembunuhan.

Setakat gejala sosial seperti gejala dadah dan remaja nakal, Tok Karim tak kisah sangat tapi adanya pembunuhan melibatkan senjata api, rasanya Tok Karim kena letak jawatan. Tok Karim berjaya mengekang gejala sosial yang teruk buat masa ini. Remaja yang terlibat dengan dadah akan dihantar ke Pusat Pemulihan Dadah, dengan atau tanpa persetujuan ibu bapa. Tok Karim amat berkeras dalam hal ini.

Walau bagaimana tegasnya Tok Karim, tetap ada anak muda yang terjebak. Nak buat macam mana, hantunya tetap ada di mana-mana untuk menarik para remaja terjebak dalam penagihan dadah. Hafiz dan Abang Rosli juga sentiasa memantau keadaan kampung terutamanya di kawasan hutan kampung itu.

“Luke, kau baliklah. Aku takut nanti Ferhad hantar bala tenteranya, mampus kita!” Abang Rosli mula bersuara setelah sekian lama mereka berdiam diri.

“Gila kau! Kau nak Ferhad bunuh aku? Kau tak dengar cakap Black tadi?” Luke menguatkan suaranya.

“Masalahnya kau yang bawa masalah! Kalau kau tak datang, tak adanya Black nak ‘jemput’ kau tadi.” Abang Rosli ketawa kecil dengan ayatnya sendiri. Jemputlah sangat. Black nyaris-nyaris nak bunuh mereka tadi.

“Aku tak peduli, aku tak nak balik sana dah. Aku dah nekad. Aku nak tinggal di sini.”

“Apa??!!” Abang Rosli pandang Hafiz yang masih termenung jauh. “Hafiz!!” 

Hafiz pandang wajah Abang Rosli yang jelas kemerahan kerana marah. Entah mengapa Abang Rosli menjadi drama king hari ini pun Hafiz tak tahu. Wajah kedua-dua rakannya diperhati seorang demi seorang. Seorang menunjukkan wajah bengang dan seorang lagi menunjukkan wajah gembira? Eh? Kenapa Luke kelihatan amat suka nak tinggal di sini? Kampung kut bukannya bandar besar seperti tempat tinggalnya sekarang.

“Ferhad jemput Nafa tadi.” 

Abang Rosli tercengang. Tadi dia kata lain tapi kenapa…

“Apaaaa?!!!!” Abang Rosli terduduk. Tangan memegang kepala, migrainnya datang tiba-tiba.   

“Apa kau kata Raf? Ferhad ada sini?” Wajah Luke pula yang pucat.

Hafiz mengangguk. Dia tak dapat lupakan wajah sinis Ferhad tadi, seakan-akan sedang mengejeknya. Entah apa rancangan Ferhad pun dia tak tahu. Apa motif Ferhad menjemput Nafa? Adakah Ferhad mengenali Nafa? Tapi melihat wajah kebingungan Nafa, Hafiz tahu Nafa tidak mengenali Ferhad. Ferhad kenal Datuk Johan? Bagaimana?

“Fiz! Macam mana Ferhad kenal Nafa? Atau memang Nafa dah lama kenal Ferhad? Atau…” Abang Rosli bertanya soalan yang sedang berlegar di kepala Hafiz membuatkan Hafiz hampir menghampurkan tawa tapi dia tahan saja. Malas nak layan drama Abang Rosli.

“Abang Li, saya pun terkejut tengok Ferhad tadi. Takkan…”

“Abang pun pelik juga, dalam masa singkat Ferhad boleh muncul. Kau tak rasa apa yang abang rasa?”

Hafiz pandang Abang Rosli yang sedang urut janggut ciputnya. “Apa yang abang rasa?”

“Entahlah. Abang rasa macam ada satu konspirasi kat sini. Luke datang sini, tak lama Black muncul dan pada masa yang sama Ferhad muncul. Abang…”

“Apa yang cuba kau katakan, Leo?” Luke ketap gigi. Dia seperti dapat agak apa yang Abang Rosli cuba katakan.

Hafiz pandang Luke, memberi pandangan tajam sebenarnya. Dia juga dapat teka apa yang bermain di kepala Abang Rosli ketika ini. Perlahan-lahan Hafiz menghampiri Luke membuatkan Luke tergamam. Untuk suasana menjadi lebih drastik, Abang Rosli juga menghampiri Luke juga dengan langkah perlahan seumpama harimau ingin menerkam mangsa.

“A… aaa… pa… ko… rang… nak… buat?” Luke mengundur selangkah demi selangkah.

Wajah Luke bertukar pucat. Tak perlu penjelasan, dia faham apa yang bermain di kepala kedua-duanya. Dalam hati dia menyumpah Black dan Ferhad terutamanya Ferhad. Ferhad cukup bijak untuk membuat rancangan jahat. Luke sendiri tidak menyangka Ferhad akan bertindak secepat ini.

“Jangan salah sangka. Aku tak ada kena mengena dengan rancangan Ferhad. Aku pun tak kenal Tengku Fahad malah Nafa pun aku tak kenal. Aku datang sini sebab Ferhad nampak wajah kau dalam gambar yang Tengku Fahad beri. Aku dah ceritakan pada kau.”

“Sumpah! Aku tak akan khianati kau, Hafiz.”

“Apa kena Tengku Fahad, Ferhad dan Nafa? Nafa lari daripada Tengku Fahad. Tengku Fahad minta tolong Ferhad. Sekarang Ferhad bersama Nafa. Adoiii!!! Sakit kepala aku!” Abang Rosli meramas-ramas rambutnya sambil mata memandang wajah Hafiz yang keruh.

Hafiz duduk di sebelah Abang Rosli. Begitu juga Luke. Mereka duduk sebaris, termenung mengenang nasib  seperti orang kalah judi. Keadaan hampir gelap di dalam dusun tidak dihiraukan. Bunyi cengkerik mula kedengaran di telinga mereka membuatkan Luke senyum sendiri. Dia cukup suka dengar bunyi cengkerik, rasa macam ada lagu dimainkan. Mungkin cengkerik-cengkerik buat konsert.

“Aku perlu buat sesuatu!” Tiba-tiba saja Hafiz bangun mengejutkan Abang Rosli dan Luke.

“Kau nak buat apa?!” Abang jegil kepada Hafiz. “Fiz, jangan buat pasal. Kita tak boleh lawan Ferhad, kita tak punya kekuatan seperti Ferhad. Orang-orang dia ramai tapi kurang seoranglah.” Abang Rosli ketawa kecil, lebih kepada mengejek Luke.

“Aku boleh masuk geng kau.” Luke sengih.

“Gila kau! Kami bukannya ada geng. Kami hidup macam orang lain hidup. Apadaaa…” Abang Rosli hampir menunjal kepala Luke. “Tapi Hafiz, buat apa kau nak masuk campur urusan Ferhad. Abang rasa dia sengaja nak cabar kau sebab itu dia muncul di hadapan Nafa. Kau nak kembali ke dunia dulu demi Nafa? Kau dan Nafa…?”

Abang Rosli telan liur melihat wajah tegang Hafiz. Mulut ditampar berkali-kali kerana keceluparannya. Mengapa dia nak sebut perkara itu walaupun Hafiz tidak pernah mengiakan perasaannya. Kak Muna dan Rosnita juga galak menceritakan kisah Hafiz dan Nafa walaupun dua-dua mereka belum pernah melafazkan kata-kata hikmat itu tapi daripada bahasa tubuh mereka berdua, Kak Muna dan Rosnita sudah mengagak ada perasaan halus sudah terjalin di antara mereka.

“Raf sukakan Nafa?” Luke pula pandang Hafiz.

Hafiz tenung Abang Rosli dan Luke silih berganti. Perlukah dia nyatakan perasaan hatinya kepada mereka. Tak perlu bukan?

Tapi Hafiz terpaksa mengaku yang dia sudah sukakan malah hatinya sudah jatuh hati kepada Nafa.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 10 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

RAFFA: THE DISOWNED MAFIAWhere stories live. Discover now