Bab 43 - SISA RASA

538 33 0
                                        

      MENUNGGU dengan penuh resah Danish di luar bilik. Sekejap duduk, sekejap berdiri. Benar-benar tidak tentu arah dia dibuatnya saat ini.

Panggilan kepada Darwish sudah dibuat, dan kemungkinan besar lelaki itu bersama isterinya sedang dalam perjalanan ke hospital.

"Tolong... aku tak nak hilang kedua-duanya," mohon Danish penuh harap sambil meraup wajahnya sebelum menekup muka dengan kedua-dua belah tangan.

"Danish!"

Suara lantang yang menyeru namanya itu membuatkan Danish segera mengangkat kepala.

Darwish bersama kakak iparnya sedang berlari ke arahnya. Jelas kelihatan riak cemas dan gelisah pada wajah mereka berdua.

"Doktor ada khabarkan apa-apa?" tanya Darwish tanpa mempedulikan nafasnya yang masih termengah-mengah.

Danish menggeleng sebagai jawapan.

Darwish terdiam seketika sebelum melabuhkan punggung di sebelah adiknya. Intan juga turut mengambil tempat di sisi suaminya.

"Apa dah jadi, Nish?" soal Darwish setelah dia berjaya mengawal pernafasannya.

"Aku tak tahu. Aku sedar dari tidur, dia tak ada di sebelah aku. Aku cari dia sekeliling rumah, dan akhirnya aku nampak kaki dia terkeluar dari dapur. Dapur tu gelap. Aku terus pergi dekat dia, dan aku nampak dia dah terbaring tak sedarkan diri dengan darah banyak mengalir," cerita Danish dengan mata yang mula berair.

"Dia tak ada kejutkan Danish ke masa tu?" celah Intan.

Danish menggeleng.

"Mungkin dia turun sebab nak isi air dalam botol dia. Sebab ada botol bergolek atas lantai," jelasnya lagi.

Darwish dan Intan saling berpandangan sebelum kembali membisu. Tidak tahu apa yang hendak dikatakan melainkan hanya mampu berserah kepada Yang Maha Berkuasa.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki berkoat putih muncul di hadapan mereka.

Segera ketiga-tiganya bangun berdiri.

"Dok... doktor... macam mana keadaan isteri dan anak saya?" tanya Danish gelisah.

Kelihatan riak wajah doktor itu berubah muram. Membuatkan Darwish dan Intan mula berasa tidak sedap hati.

"Kandungan Puan Lydia Marissa tidak dapat diselamatkan, tetapi ibunya selamat," beritahu doktor itu.

Danish terkaku di tempatnya. Tidak tahu sama ada dia perlu bersedih atau bersyukur.

Bersyukur kerana Lydia selamat. Tetapi pada masa yang sama, hatinya hancur apabila mengetahui anak pertama mereka sudah tiada.

"Boleh kami masuk tengok dia, doktor?" pinta Intan.

"Boleh. Puan Lydia sekarang sudah dipindahkan ke wad biasa dan dia masih lagi tidak sedarkan diri. Saya harap ahli keluarga semua dapat memberikan dia semangat yang kuat apabila dia sedar nanti," pesan doktor itu dengan senyuman.

"Baik. Terima kasih ya, doktor."

Sebaik sahaja doktor itu berlalu pergi, mereka segera bergerak menuju ke wad Lydia.

Baru hanya beberapa langkah, Darwish menyedari Danish tidak berganjak dari tempatnya.

"Awak pergi dulu," suruh Darwish.

Intan yang seakan memahami terus mengangguk sebelum meneruskan langkahnya.

Darwish berjalan mendapatkan Danish. Tubuh adiknya itu ditarik ke dalam pelukan sebelum dia menggosok perlahan belakang badan Danish. Ingin menyalurkan sedikit ketenangan.

SISA RASA [C]Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang