KAKI kanan melangkah masuk ke kawasan tanah perkuburan dengan hati yang kosong. Perlahan-lahan, langkahnya diatur menuju ke pusara insan yang paling dirinduinya.
Setibanya di situ, Lydia melabuhkan duduk di sebuah bangku kecil yang tersedia di sisi pusara itu.
"Assalamualaikum, sayang..."
Senyuman pahit terukir di bibir Lydia saat matanya tertumpu pada batu nisan yang terukir nama suaminya.
"Maaf... maafkan saya minggu lepas tak datang melawat awak. Saya terpaksa kerja hari cuti sebab ramai pesakit yang saya kena uruskan di hospital Abang Darwish tu," tutur Lydia sebelum membuka kitab suci yang berada di tangannya.
Surah al-Fatihah dibacakan terlebih dahulu. Kemudian, ayat-ayat suci al-Quran pula dilantunkan sebagai hadiah buat arwah suaminya.
Selesai membaca, Lydia termenung lama. Jari-jemarinya perlahan-lahan menyapu daun-daun kering yang menutupi makam itu.
Lydia terduduk lama di sisi Danish. Matanya tidak lepas menatap wajah pucat itu, sementara air mata terus mengalir tanpa henti.
"Assalamualaikum."
Perlahan-lahan Lydia mengangkat wajah. Pandangannya beralih ke arah pintu.
Kelihatan Darwish, Intan bersama seorang doktor lelaki sedang berdiri di situ.
Selepas kejadian di balkoni tadi, Lydia terus menelefon Darwish mengatakan Danish tidak sedarkan diri. Dia tidak berani berkata sebaliknya. Berharap Danish sekadar pengsan biasa sahaja.
Tanpa membuang masa, Darwish dan Intan terus bergegas ke rumah adiknya bersama seorang doktor pakar yang juga merupakan sahabat baik Darwish, iaitu Arman.
Kebetulan, Darwish dan Intan baru sahaja selesai berjumpa dengan Doktor Arman untuk membincangkan rawatan kesuburan yang sedang dijalani Intan.
Sudah lama mereka mendirikan rumah tangga, namun masih belum dikurniakan cahaya mata.
Intan mempunyai masalah kesuburan yang menyebabkan dia sukar untuk hamil. Atas nasihat Doktor Arman, dia kini sedang menjalani rawatan kesuburan termasuk suntikan hormon untuk merangsang ovari dan membantu proses ovulasi.
Pertemuan itu sepatutnya hanya berkisar tentang rawatan Intan. Akan tetapi, apabila Darwish menerima panggilan daripada Lydia yang mengatakan Danish tidak sedarkan diri, Doktor Arman terus menawarkan dirinya untuk ikut bersama mereka.
Lydia bangun. Belum sempat dia melangkah ke arah Intan, wanita itu terlebih dahulu datang merapati lalu memeluk tubuh Lydia erat.
"Akak... Danish dah tinggalkan Lydia ke?" tanya Lydia dalam esakan yang tidak dapat ditahan.
Intan membisu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan itu.
Hanya tangannya terus mengusap lembut belakang tubuh Lydia, cuba menenangkan wanita itu yang semakin teresak-esak.
Selesai membuat pemeriksaan, Doktor Arman melepaskan nafas berat sebelum dia berpaling memandang Darwish.
ANDA SEDANG MEMBACA
SISA RASA [C]
Romantik✅Revamp : 85% ✅Add Part : 95% ✅Cut Part : 70% ✅New Title. Old title 2023-2024 - Mr Psycho Husband. ------------------ Kerana terlampau sayang dia sanggup buat apa sahaja asalkan wanita dia ingini itu tetap bersamanya. Pantang melihat wanita dia cint...
![SISA RASA [C]](https://img.wattpad.com/cover/342977598-64-k902790.jpg)