Bab 32 - SISA RASA

2.6K 159 19
                                        

BERDENGUP kencang jantung Imran. Dia masih berdiri di situ, wajahnya jelas terpancar keterkejutan. Liur pula ditelan dengan susah payah. Seolah-olah ada sesuatu menghalang di kerongkongnya.

"Awak buat apa, Imran? Siapa benarkan awak masuk bilik saya tanpa izin?" Suara Darwish tenang, tetapi pandangannya cukup membuat Imran hilang arah.

"Dok... doktor... saya... saya cuma... cuma..." Imran gagap. Sukar mencari alasan. Sesuatu memberitahu Imran, kemungkinan hari ini adalah hari terakhirnya berada di sini.

"Awak buat apa?" Darwish bertanya lagi. Berhenti lima langkah dari Imran. Tangan naik disilangkan hadapan dada.

"Saya... cuma nak ambil fail peribadi saya, doktor. Nak snap tarikh akhir praktikal saya. Tadi saya terlalu tergesa-gesa, sampai terlupa nak beritahu doktor." Imran tersengih sambil menggosok batang lehernya bagi menghilangkan rasa takut yang sedang membungkus dirinya tika ini.

Darwish menjongket sebelah kening.

"Bukan ke awak dah tahu bila tarikh tamat praktikal awak di sini?" soal Darwish. Setahunya, semasa temu duga, dia sudah sedia maklum pada Imran tentang tarikh tamat praktikal lelaki itu.

Imran tersenyum canggung.

"M... maaf, doktor. Saya terlupa..."

Darwish membisu seketika. Memandang lama wajah gelisah Imran. Entah kenapa dia berasa ada yang tak kena saja dengan Imran. Seolah lelaki itu ada menyembunyikan sesuatu darinya.

"Dah jumpa?" tanya Darwish. Pelbagai prasangka mula berlegar di fikirannya tentang Imran, namun dia cuba hiraukan.

"Ha? Oh! Dah... dah jumpa. Saya baru letak balik tadi." Imran menunding jari ke arah fail yang di ambil tadi kepada Darwish. Membuktikan memang benar dia mengambil fail itu. Walhal fail itu bukan miliknya.

Darwish mencondongkan kepalanya sedikit. Ingin melihat tundingan jari Imran tunjukkan.

Kening Darwish tertaut hairan.

"Tapi... setahu saya, fail awak ada dekat rak sebelah sana. Itu fail peribadi untuk pekerja tetap, bukan untuk praktikal" jelas Darwish.

Imran terkedu. Bibirnya sedikit bergetar. Jantungnya semakin laju berdetak. Seolah-olah mahu melompat keluar dari tubuh badan. Dia cuba tersenyum, tapi rasa resah itu masih menyelimuti dirinya.

Darwish menyinggung senyuman.

"It's over. Kali ni awak tak boleh lagi menipu saya. Saya tak marah kalau awak jujur, tapi saya akan marah kalau awak menipu. Dan sekarang awak tipu saya" kata Darwish. Wajahnya mula kelihatan serius.

"Saya pantang dengan penipu" sambung Darwish dingin.

Imran menelan liur berulang kali, sukar menahan rasa gugupnya.

"T... tak, doktor. Saya..."

"Masih tak nak mengaku, Imran? Kalau awak masih tak nak mengaku, kita boleh check cctv," ugut Darwish.

"Okey, okey! Saya mengaku! Saya ambil fail doktor Lydia. Saya cuma nak ambil nombor telefon dia, doktor. Itu saja. Saya tak buat benda lain."

Separuh benar. Separuh lagi sengaja disembunyikan. Imran tahu dia tidak sepenuhnya jujur. Alamat rumah Lydia tetap menjadi rahsia yang tidak akan dia sebut.

"Saya minta maaf dan bersedia menerima hukuman doktor. Saya terima," tambahnya sambil menundukkan wajah memandang lantai. Imran terasa begitu kecil dan tak berdaya berhadapan dengan Darwish ketika ini.

Darwish diam. Hanya merenung saja Imran yang setia menunduk itu.

"Saya minta maaf, Imran. Saya bukan orang yang jenis bagi peluang kedua" kata Darwish.

SISA RASA [C]Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang