Aku benci pekerjaanku!
Namaku Gikwang dan aku biasanya seorang pendiam. Aku bekerja sebagai call operator di sebuah kedai butik. Kerja aku tiap-tiap hari ialah menjawab panggilan telefon bagi mereka yang ingin memesan pakaian dari kedai kami.
Pekerjaan ini memang menyedihkan. Bayangkan aku kena bercakap dengan ratusan malahan ribuan manusia dalam satu hari. Boleh kalian bayangkan, kebanyakkan dari mereka ialah makcik-makcik tua yang sebaya nenekku. Dan aku harus melayan kerenah mereka terutamanya yang masih belum tahu untuk membuat pesanan secara online.
Ada juga antara mereka yang bukan memesan pakaian malah diajak aku untuk berbual dengan mereka. Mereka akan bercakap tentang cucu mereka, menantu mereka dan kehidupan seharian mereka. Walaupun aku membenci pekerjaan ini, namun ia sama sekali tidak membuatkan aku stres.
***
Ring! Ring!
Aku melepaskan pen di tangan dan mengangkat gagang telefon di sebelahku.
Panggilan itu dimulai seperti biasa.
"Terima kasih kerana menghubungi Beauty and the Beast Clothing. Nama saya Gikwang. Apa yang boleh saya bantu?"
Aku sudah mengucapkan ayat itu ribuan kali hingga terasa seperti refleks bagiku. Aku bahkan berasa takut kalau aku akan menjawab seperti itu juga kalau ada saudara atau teman yang menelefonku.
"Hello?"
Suaranya kedengaran seperti makcik-makcik tua yang selalu aku dengar.
"Ya, puan. Apa yang boleh saya bantu?
"Hello, anak muda." Suaranya bernada riang yang aneh.
"Ya, puan. Puan ingin memesan sesuatu?"
"Ya.. ya.. aku in..inginkan se.. sesuatu dari.. kamu.." suaranya kedengaran putus-putus.
"Baik. Adakah puan mempunyai nombor pelanggan?"
Dia menyebut nombornya dan aku menaipnya di komputer. Tak sampai 10 saat, semua keterangan mengenainya terpapar di skrin.
"Jadi, saya sedang bercakap dengan puan.. er.. Helen?"
"Ya, be-nar.."
"Dan.., puan tinggal di alamat.. 56 Flower Street di Bosnia?"
"Betul sekali."
Mataku meneliti setiap butir di skrin. Sebelum berurusan dengan pelanggan, aku perlu semak status mereka dahulu. Aku perlu tahu kalau mereka itu bankrup ataupun tidak supaya hal jual beli dapat berjalan lancar.
Tanganku laju mengskrol page di skrin. Tiba-tiba, mataku terpaku.
Status: Mendiang