LISA meletakkan beberapa set sample kain serta beberapa buah fail diatas meja kopi, diruang tamu Villa Cassandra. Hari ini, Ezmir mengajak Naina untuk berbincang dengannya pasal pakaian pengantin yang sesuai untuk mereka pakai di majlis persandingan mereka yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Ezmir telah memberikan dia tugas dan tanggungjawab seratus peratus untuk menguruskan majlis itu. Dia bergerak ke hulu ke hilir semata-mata hendak mencari tempat yang sesuai untuk meraikan majlis Ezmir dan Naina. Tidak menang tangan Lisa menguruskan majlis itu sendirian tanpa pasukannya dan juga pasukan perancang perkahwinan yang diupahnya.
Peranan yang Lisa pegang ketika ini bukan saja sebagai pereka baju pengantin untuk Ezmir dan Naina malah dia juga memainkan peranan sebagai ibu, ayah dan kakak kepada Ezmir. Apa saja akan dilakukannya asalkan majlis persandingan adiknya ini berjalan dengan lancar.
Lisa membawa langkahnya ke ruang dapur. Kelihatan Mak Teja dan Mak Rima sedang memotong-motong bahan mentah untuk dibuat lauk tengah hari nanti.
"Ezmir dah sampai ke, Lisa?" soal Mak Teja sebaik saja dia menyedari kehadiran majikannya itu diruang dapur.
Lisa datang mendekat ke arah meja yang digunakan oleh Mak Teja dan Mak Rima untuk melakukan aktiviti potong-potong mereka.
"Belum lagi. Hari ni Mak Teja masak lauk kegemaran Ezmir tau. Dah lama sangat dia tak balik makan sini. Mesti dia rindu dengan masakan Mak Teja," ujar Lisa ramah. Selepas mama dan papa mereka meninggal dunia, mereka hanya ada Mak Teja dan Mak Rima disisi ketika itu.
Hanya dua wanita separuh abad ini saja yang ada ketika jatuh bangun mereka. Kesetiaan mereka berdua untuk Lisa dua beradik langsung tidak boleh dipersoalkan. Begitu juga dengan Rizman. Walaupun lelaki itu boleh dikatakan baru 'menyertai' keluarganya namun kesetiaan lelaki itu sebagai pemandu dan satu-satunya teman Ezmir memang tidak mampu disangkal. Lisa gembira memiliki keluarga ini.
"Lisa jangan risaulah. Hari ni Mak Teja akan buat Ezmir lupa dengan diet dia." Kata Mak Teja.
Lisa senyum.
"Lisa tahu ke makanan kegemaran isteri Ezmir tu? Tak sabar pula Mak Rima nak jumpa keluarga baru kita tu," ujar Mak Rima sambil menunjukkan keterujaannya untuk menyambut kedatangan Naina.
"Lisa tak tahu pula Mak Rima. Lisa pun tak berapa kenal sangat dengan isteri Ezmir tu. Lisa jumpa dia pun sebelum seminggu dorang menikah."
"Aik, pulak!"
Lisa angguk sekali. "Tapi Mak Teja, Mak Rima tak payah risaulah. Lisa tengok Naina tu baik budaknya."
"Naina?"
Lisa mengangguk. "Naina. Nama dia Naina Ahmad." beritahu Lisa.
Lisa memalingkan kepala ke ruang tamu apabila telinganya terdengar bunyi enjin kereta dari luar rumah. Lisa meminta diri lalu meninggalkan ruangan dapur sambil berjalan ke ruang tamu sebelum pintu utama dia dapatkan.
Pintu utama dikuak luas. Kelihatan kereta Maserati milik Ezmir sudah tersadai di depan Villa Cassandra tetapi masih belum ada tanda-tanda adiknya itu hendak keluar dari perut kereta. Mata Lisa beralih pula pada gadis disebelah Ezmir. Wajah gadis itu kelihatan muram dan masam.
Lisa menggeleng sendiri. Ezmir buat apa dengan Naina ni? Kahwin baru masuk tiga hari kut dah nak gaduh. Bukan beginilah cara pengantin baru yang dilamun cinta. Mereka bercinta ke sebelum kahwin? Langsung tak nampaklah dorang ni sedang dilamun cinta, kata Lisa dalam hati.
"Keluarlah. Tunggu apa lagi?" kata Naina pada Ezmir disebelahnya.
"Habis, kau tak reti nak keluar? Nak aku bukakan pintu tu untuk kau ke?" sinis Ezmir berkata.
YOU ARE READING
Bukan Untuk Dicintai ( RAW / ON GOING )
Romance"I thought I could make you fall in love."