Bab 6

3.5K 106 3
                                    

PERSIAPAN majlis akad nikah yang bakal berlangsung malam itu, kelihatan suram. Hanya ada beberapa orang sahaja yang hadir. Rata-ratanya seolah memulaukan majlis itu. Namun, keluarga Hafiz dan Ika sudah tabahkan hati dengan segala yang bakal melanda. Mereka yakin rahmat Tuhan ada bersama mereka.

"Aisya, tolong pegang handphone abang. Kalau ada orang call, Aisya tolong jawab. Lagi satu, tolong ambil gambar sekali." Pinta Hafiz.

"Banyak betul permintaan, ingat Aisya ni PA abang ke?"

"Eh, bukan ke?"

Aisya mengecilkan mata.

"Janganlah buat mata macam tu. Abang ni raja sehari tau? Mana boleh layan raja macam tu."

"Yelah, tuanku. Yang menurut perintah."

Hafiz mencubit kedua belah pipi Aisya lalu ditarik biar lebar. "Macam tulah. Comel adik abang. Macam Joker."

"Sakitlah!" Aisya menepis tangan Hafiz.

Seorang lelaki datang menghampiri Hafiz. "Wah, Fiz. Smart giler kau! Tak sangka aku kau boleh sekacak ni. Dulu rasa macam tak berapa handsome."

"Takde lah. Biasa je. Kau apasal macam dah tak handsome je aku tengok?"

"Aku saja pakai bagi tak handsome. Takut aku terlajak handsome lebih dari kau. Nanti orang ingat aku pula yang nak kahwin. Erm, ni siapa?" Jejaka bernama Rizwan itu melirik mata pada gadis yang berdepan dengannya.

"Lah, takkan tak kenal? Aisya, adik aku."

"Serius. Dah besar panjang kau, Aisya. Dah boleh kahwin."

Aisya hanya tersenyum simpul. Rizwan terus merenung gadis itu atas bawah.

"Woi. Woi. Adik aku." Hafiz memberi amaran.

"Relakslah, bang. Akan aku pinang adik kau dengan bismillah." Tenang saja dia mengutarakan bicara.

Hafiz menarik lengan kawannya lalu dibawa pergi. Tak ingin dia nak jadikan kawan sendiri adik ipar. Lagipun Rizwan banyak peminat. Makan hati adiknya kalau bersuamikan lelaki seperti Rizwan. Hari-hari cemburu.

Di satu sudut lain, Sakinah mengucap syukur berpanjangan bila melihat suasana majlis semakin gamat dan meriah dengan kehadiran kawan-kawan Hafiz dan juga Ika yang masing-masing memberi sokongan. Dalam keadaan sukar begini, kehadiran orang yang masih memahami dan menyayangi tanpa berbelah bagi amat dialu-alukan. Biarpun orang disekeliling memulaukan mereka, ketibaan kawan dan keluarga terdekat melupakan duka yang mereka rasa.

Aisya leka bermain telefon pintar milik abangnya. Beberapa keping gambar sudah diambil dari suasana malam itu.

Tok kadi akhirnya tiba dan mengambil tempat duduk berdepan dengan Hafiz. Rakan-rakan yang disebelah mula bergerak sedikit ke belakang untuk memberi ruang pada Hafiz dan jurunikah untuk berada di tengah. Tidak jauh dari situ, Ika Maryam duduk bersimpuh dengan persalinan serba putih dan wajah yang berseri-seri menanti detik diijabkabulkan.

Aisya yang jadi jurukamera tak berbayar terus melakukan kerjanya. Walaupun tak mahir, lagak Aisya sudah seperti jurugambar professional. Rizwan yang melihat gelagat adik temannya itu hanya tersenyum. Gelagat Aisya mencuit hati.

Dalam leka, telefon pintar itu menerima mesej. Aisya segera membukanya. Ada sebuah video. Butang play disentuh.

"Ee." Aisya mengerut dahi. Jelek dengan video yang diterima. "Siapa yang hantar video macam ni kat abang?" soalnya sendiri.

Video yang jelas tidak senonoh itu dihentikan. Sebaik dihentikan, wajah perempuan di dalam video itu dapat dilihat jelas.

Bagai nak terkeluar jantung Aisya bila melihatnya.

"Aku nikahkan dikau, Hafiz Aiman bin Badrulzaman dengan Ika Maryam binti Daud dengan mas kahwinnya lima puluh ringgit, tunai." Lafaz akad oleh jurunikah sebelum disambut pengantin lelaki.

"Aku,"

"Tunggu dulu!" jerit Aisya tiba-tiba. Semua tetamu yang hadir tersentak. Pandangan mereka diarahkan pada gadis itu yang sedang berdiri dengan telefon ditangannya.

"Aisya," tegur Sakinah. Dia jadi malu dengan ketidaksopanan gadis itu yang tiba-tiba bersuara.

Aisya sendiri terpaku dengan perhatian yang diberikan. Dia tak sangka situasi ini berlaku pada dirinya.

Aisya serba salah tapi kakinya digerakkan juga untuk mendekati Hafiz. Telefon bimbit ditangannya diserahkan pada Hafiz. Hafiz yang keliru dengan sikap adiknya, hanya menerima telefon yang berpindah tangan itu.

Aisya tak punya kata. Dia menyentuh skrin dan mebiarkan video itu dimainkan. Itu penjelasannya.

Hafiz melihat video yang dimainkan didepannya.

Hafiz tak perlu bertanya lagi pada sesiapa untuk mengetahui yang wanita dalam video itu adalah Ika Maryam. Tunangnya itu dalam keadaan tidak bertudung dan sedang bermesra dengan seorang lelaki. Wajah lelaki itu agak terlindung pada mulanya tapi akhirnya lelaki itu berpaling dan Hafiz kenal benar identiti lelaki itu. Marwan. 

Dia teringat kes khalwat Ika di rumah kayu separuh siap itu tapi lokasi video ini dirakam bukanlah di rumah kayu itu sebaliknya di sebuah bilik tidur. Dekorasi minimalis bilik itu menampakkan ia seperti sebuah bilik motel. Hafiz memainkan semula rakaman itu untuk melihat wajah wanita itu lagi dan kali ini dia terpaksa menerima yang wanita itu sememangnya Ika Maryam. Fitnah yang dikatakan Ika Maryam tentang dirinya bukanlah fitnah tapi fakta. Video itu buktinya.

Bagai tersekat-sekat leher Hafiz cuba ditolehkan ke arah Ika yang duduk tidak jauh darinya. Ika yang melihat tercengang. Apa pula yang dah jadi sekarang?

Tanpa diduga, amarah Hafiz cepat membuak. Dia bangun dari persilaan dan mendekati Ika. Video yang masih bermain itu ditayang ke muka bakal isterinya.

"Ini pun fitnah juga? Hah?!" Suara Hafiz bergetar menahan marah. Rizwan yang melihat cuba menenangkan sahabatnya. Takut juga kalau ada perkara yang tak baik berlaku. Dalam situasi begini, bisikan syaitan amat mudah merajai. Kalau tak dihalang, takut ada pula yang cedera nanti.

Ika Maryam membisu. Bibirnya digigit. Bukti terbaru ini buat dia melarikan pandangan dari Hafiz. Hafiz melepaskan telefon itu dari pegangannya. Dia lantas memegang kedua belah bahu Ika Maryam dengan kuat.

"Jawab, Ika. Jawab!" tengkingnya sambil mengoncang bahu wanita itu. Rizwan cuba membantu menarik temannya itu dari Ika.

"Sabar, Fiz. Sabar." Rizwan cuba menenangkan.

Tak semena, bunyi mesej diterima mula berbunyi di sana sini. Rupanya tetamu yang hadir turut menerima video yang sama. Masing-masing mula memainkan video tersebut. Sakinah turut melihat video itu dari telefon bimbit tetamu yang di sebelahnya.

Sementara itu, Hafiz masih bergelut dengan memegang wajah Ika. Dia memegang kedua belah muka Ika agar wanita itu terpaksa bersua muka dengannya.

"Fiz, Hafiz. Sabar, Fiz." Rizwan menarik tubuh Hafiz dengan bantuan tetamu lain.

"Hei, Hafiz. Lepaskan adik aku!" tengking abang kepada Ika Maryam.

"Mak!" Terdengar jeritan Aisya dari belakang.

Hafiz menoleh. Ibunya sudah rebah ke lantai. Aisya mengoncang tubuh ibunya. "Abang." Aisya mendongak melihat abangnya.

Hafiz segera mendapatkan ibunya. Tubuh itu sudah tidak bergerak. Wajah Sakinah pucat lesi.

"Bawa pergi hospital. Cepat!" arah seseorang. Tubuh ibunya itu segera dipangku dan dibawa keluar. Dua buah kereta berlalu keluar dari halaman rumah Ika Maryam dan menuju ke hospital berhampiran.

Di Bawah Payung CintaWhere stories live. Discover now