PANGGILAN TELEFON dari Hafiz dibiarkan tidak berjawab. Panggilan masuk sudah berpuluh kali. Mesej juga hampir sama bilangannya. Semuanya ditinggalkan sunyi sendiri tanpa balasan.
Setiap kali Hafiz menelefonnya, setiap kali itu juga air mata kembali bertakung. Melihat nama kekasihnya itu saja, hati Alia dirodok pilu. Memori hitam semalam telah terpalit pada dirinya. Kepahitan yang terpaksa dibawa bersama untuk selamanya. Dirinya sudah tercemar. Dinodai syaitan bertopeng manusia bernama Irwan Rashid.
Alia memukul kepalanya setiap kali nama Irwan muncul di benak. Seolah pukulan itu akan menghambat jauh nama dan kenangan hitamnya. Namun, nama itu berterusan hadir menghiris luka yang masih segar berdarah.
Manakala, Hafiz Aiman yang sedang berada di rumah Mak Cik Darija semakin tak senang duduk. Keningnya berkerut memandang skrin telefon. Puluhan mesej yang dihantar tidak berbalas. Dia cuba menelefon Alia untuk kesekian kalinya.
"Sudahlah tu. Kak Alia tu tengah sibuk kat kedai agaknya. Lagipun Kak Gina belum balik honeymoon lagi, kan? Nanti dia balaslah mesej abang tu." Nasihat Aisya. Rimas pula melihat tingkah Hafiz yang macam kucing hilang anak.
Mak Darija yang melihat tersenyum. "Pergilah tengok dia, Aiman." Suruh wanita tua itu.
"Orang perempuan ni kadang rajuknya tak tentu. Kalau dah merajuk, kena pujuk. Kalau nak pujuk kena berkali-kali. Nak pujuk tu bawa hadiah sekali." Cadang wanita itu lagi.
Hafiz berasa tertarik. "Hadiah apa, mak cik?"
"Tak tahulah. Mak cik dulu-dulu kalau bawa bunga sekuntum dah sejuk hati. Orang sekarang, tak tahulah. Mungkin kamu kena beli cincin." Balas Mak Cik Darija lantas tertawa menampakkan barisan gigi palsu yang putih bersih.
Tawanya disambut Aisya yang sedang mengupas bawang.
Sejak Mak Cik Darija jatuh sakit dan menerima rawatan di hospital, Hafiz lah yang selalu melawatnya. Hafiz juga yang membawa pulang wanita itu dari hospital ke rumah. Hujung minggu hari ni pula Mak Cik Darija mengajak mereka berdua datang makan tengahari di rumah. Sengaja Aisya mengajak Hafiz datang awal untuk tolong memasak. Puas juga wanita itu menyuruh mereka duduk saja di ruang tamu tapi Aisya memujuk untuk dia turut sama membantu.
"A'ah. Abang tak ambil lagi ke cincin tunang? Cincin nikah?" tanya Aisya.
Serentak sesuatu berdetik di hati Hafiz. Dia belum memberi walau sebentuk cincin tanda pada Alia. Adakah sebab itu Alia merajuk? Erm, mungkin itulah sebabnya. Fikir Hafiz. Dia mengimbas kembali pada hari mereka menghadiri majlis perkahwinan Gina di PWTC. Alia merajuk sewaktu mereka masuk dalam kereta. Mungkin sebab dia cemburu dengan cincin berlian yang tersarung di jari Gina.
Hafiz mengeleng. Tapi betul ke? Takkan sebab cincin? Sukar dia nak menentukan sebab Alia merajuk tapi kalau memang kerana cincin, semuanya boleh selesai.
"Mak cik, saya keluar sekejap ye? Nanti saya datang balik. Aisya duduk dengan Mak Cik Darija ye?" ujarnya pada kedua wanita yang duduk di meja makan.
"Yelah. Pergilah. Kalau dia ada masa, ajak sekali makan sini." Pelawa Mak Cik Darija.
"Insyaallah. Saya pergi dulu." Ujar Hafiz sebelum menghilang ke luar rumah.
Dia memandu terus ke Damansara untuk bertemu Alia. Sepanjang perjalanan hatinya masih kacau dengan pelbagai persoalan. Dia memutuskan untuk mengambil Alia di kedai buku dan terus ke kedai emas yang mereka pergi hari tu. Biarlah dia belikan satu cincin tanda. Cincin tunang yang ada tersimpan baik di dalam biliknya itu akan disarungkan pada majlis pertunangan mereka dikampung nanti.
Keretanya membelok masuk ke tempat parkir berdepan Pena Bookstore.
Dia segera masuk ke dalam kedai dan bertemu dengan Ilham yang di kaunter.
"Alia ada?"
Ilham memandang lelaki dihadapannya sebentar. Lantas dia teringat sesuatu. "Oh. Aa... Alia dia cuti. Cuti kecemasan." Beritahu Ilham.
"Cuti kecemasan? Dia sakit?" tanya Hafiz.
"Tak sure. Dia cuma cakap dia ada hal peribadi."
Hafiz termangu seketika. Rasa risau mula berputik. "Erm, Encik Irwan ada?"
"Encik Irwan dia ada masuk kejap tadi tapi dia pun dah keluar. Maybe esok baru dia ada. Ada apa ye?" soal Ilham.
"Takde apa. Cuma saya ingat mungkin Alia ada bagitahu dia apa-apa."
"Mungkin."
"Takpelah. Terima kasih."
Ilham hanya tersenyum. Hafiz terus keluar dari kedai dan memandu pula ke arah rumah Alia. Tangannya tak henti meramas stereng. Hela nafasnya tak henti dilepaskan sepanjang perjalanan.
Akhirnya dia tiba di depan rumah Alia Munirah. Kereta milik Gina masih ada di laman. Hafiz cuba membuka pintu pagar tapi berkunci. Kalau ikutkan hati mahu saja dia panjat pagar itu tapi tak pasal ada orang buat laporan polis nanti.
Dia cuba menelefon Alia sekali lagi. Nama wanita itu turut dilaung dari luar rumah. Semuanya gagal mendapatkan respon. Satu mesej dihantar untuk memberitahu kehadirannya dihadapan rumah.
Alia yang membaca mesej itu mengintai di tingkap rumah. Sekali lagi matanya berkaca.
"Alia." Panggilnya lagi.
Alia menaip mesej lalu dihantar pada Hafiz.
Hafiz yang menerima terus membaca.
"Kita pergi hospital ye? Klinik ke? Abang bawa." Balasnya dari luar rumah.
Alia memejam mata kuat. Malu pula dengan jiran-jiran. Kenapa tak balas dalam mesej saja, Abang Hafiz oi!
Abang, Lia betul-betul tak larat. Nak berjalan ke pintu pun tak larat. Abang baliklah ye? Nanti dah sihat, Alia call abang.
Kali ini Hafiz tak jadi nak melaung membalas mesej Alia kerana seorang wanita dari rumah sebelah telah keluar dengan bercekak pinggang ke arah Hafiz. Hafiz tersenyum kelat. Nampak sangat dia telah menganggu ketenteraman awam. Hujung minggu pulak tu.
Hafiz menaip mesej jawapan.
Kalau teruk sampai macam tu, kenalah pergi klinik. Abang panjat pagar ni ye?
Terbeliak mata Alia membaca mesej Hafiz. Dia mengintai dari tingkap. Hesy dia ni! Pantas Alia menaip.
Jangan! Nanti ada orang report polis.
Selepas dia menghantar mesej itu, Alia menaip semula satu lagi mesej.
Jangan risau. Alia dah makan ubat. Sekarang Alia rasa mengantuk. Nak tidur.
Hafiz membacanya. Lama dia memandang skrin telefon. Akhirnya dia membalas.
Okey. Jangan lupa alas perut sebelum makan ubat. Bila rasa dah sihat sikit, call abang. Tak pun mesej. Kalau tak, malam ni juga abang datang panjat pagar.
Alia tersenyum pahit. Tersentuh hatinya kerana lelaki itu masih peduli.
Dia mengintai dari celahan cermin tingkap. Dia melihat Hafiz yang kembali masuk ke dalam perut kereta. Enjin dihidupkan dan seketika kemudian memandu pergi.
ANDA SEDANG MEMBACA
Di Bawah Payung Cinta
RomanceCinta yang ditatang Hafiz Aiman hancur berkecai pabila tunangnya, Ika Maryam bertindak curang. "Ika tau Ika dah lukakan hati Fiz tapi Ika minta tolong sangat. Kita jumpa. Sekejap pun jadilah sebab Fiz kena dengar dulu penjelasan Ika." - Ika Maryam "...
