Bab 18

2.6K 87 2
                                    

MOTOSIKAL EX5 yang sememangnya sudah banyak berjasa itu dituntun di tepi jalan. Nasib baiklah masih awal pagi, udara masih dingin. Kalau tak, boleh lencun baju kemejanya. Sudahlah hari ni dia bakal diuji seperti yang sudah dijanjikan Yvanna. Inilah namanya dugaan. Sewaktu dia mengharapkan hari berjalan dengan lancar, dia ditimpa musibah. Tuhan nak menguji.

Hafiz berasa lega bila dari jauh dia sudah nampak sebuah bengkel motosikal. Dia segera berurusan dengan pekerja bengkel untuk meninggalkan motosikalnya disitu memandangkan motosikalnya perlu diservis penuh.

"Takpe. Takpe. Saya boleh hantar awak." Ujar seorang pekerja Cina di situ.

Dengan ditemani Ah Lim, pekerja Cina dibengkel tadi, Hafiz akhirnya selamat sampai di Menara Muzza tepat jam 9.05 pagi. Dia tahu dia dah lambat lima minit tapi rasanya lima minit tu boleh dimaafkan dengan alasan yang munasabah.

Dia segera menaiki lif untuk ke pejabat Yvanna.

Bila dia tiba, Yvanna menyambutnya dengan wajah masam mencuka. Hafiz hanya mampu menelan liur dihadapan wanita itu.

"Saya minta maaf, Cik Yvanna. Saya... motosikal saya buat hal tadi. Tiba-tiba rosak. Saya terpaksa hantar ke bengkel dulu lepas tu baru saya datang sini." Dia menjelaskan keadaan, tahu kesalahan di pihaknya.

Yvanna melihat jam di tangan. "Awak lambat 10 minit." Ujarnya kemudian menyambung, "Awak dah buang masa saya 10 minit."

Tekak Hafiz jadi kering kontang. Pancaran karisma wanita itu dirasai sepenuhnya.

"Saya minta maaf, Cik Yvanna. Saya bukan sengaja,"

"Saya tahu. Awak dah cakap." Yvanna segera memintas. "Tapi sepatutnya awak dah servis motosikal awak sebelum awak datang kerja hari ni? Sepatutnya awak dah pastikan semua perkara yang awak perlukan untuk datang kerja hari ni berada dalam keadaan yang baik supaya perjalanan awak ke tempat kerja tak tergendala." Yvanna menegur. Pantang sekali dia dengan alasan kenderaan rosak. Sebagai ketua unit yang sudah lama bertugas, sudah berbagai jenis alasan didengari dari stafnya. Awalnya dulu memang dia bagi muka kerana cuba memahami tapi bila diberi muka, makin dipijak-pijak kepalanya. Mereka ingat dia mudah dipermainkan tapi tidak lagi kini. Yvanna sudah tahu kerenah pekerja, dia tak lagi beri muka.

Hafiz hanya diam tak berkutik. Dia tak ada perkataan lain nak disebut melainkan minta maaf. Sudah dua kali disebut perkataan maaf, dia takut pula nak sebut kali ketiga. Takut wanita di depannya itu melenting.

"Pastikan kesalahan awak tak berulang." Ujarnya tegas.

"Have a sit." Pelawanya selepas seketika.

Hafiz hanya menurut.

"Awak dah cek keadaan di bilik Hotel Adikara?" tanya wanita itu. Dia yang menyuruh Hafiz bermalam sebagai pelanggan di hotel naugan Muzza Holdings itu. Lelaki itu boleh belajar tentang hotel dari pembacaan maklumat dalam fail tetapi lebih baik jikalau dia merasai sendiri perasaan sebagai pelanggan di hotel itu.

"Ya."

"Berapa lama?"

"Dua hari satu malam."

"Selesa?"

"Alhamdulillah, selesa. Bersih. Tidur pun tak terganggu." Jelas Hafiz. Yvanna tersenyum sesaat sebelum kembali serius.

"Awak dah hafal semua yang saya suruh awak hafal?" soal Yvanna sambil menyilang kaki di duduknya.

"Dah." Balas Hafiz yakin. Dia sudah menelaah puluhan fail syarikat itu sama seperti cara dia menelaah di universiti dulu. Dia menelaah bagai orang gila. Segalanya dibaca teliti dan difahamkan sebelum dihafal. Dia dah bersedia dengan sebarang soalan oleh Yvanna.

"Awak yakin boleh jawab semua soalan saya?" tanya wanita itu lagi tapi kali ini nadanya sinis. Senyumannya juga.

Hafiz tak gentar. Dia memang sudah betul-betul bersedia. "Ya."

"Okey, kalau macam tu." Yvanna meletakkan sebuah beg kertas di depan Hafiz.

"Itu uniform untuk awak." Ujar Yvanna. Hafiz melihat ke dalamnya. Uniform yang ada di dalamnya berwarna biru cerah dengan seluar slack hitam. Nama Hafiz berjahit di poket baju.

Serta merta Hafiz jadi hairan. Dia sudah bayangkan memakai sut hitam seperti pekerja lain di dalam hotel. Dia tak pernah nampak uniform macam yang diberi Yvanna.

"Ini surat tawaran kerja untuk awak. Bila awak dah tandatangan maksudnya awak secara rasminya dah jadi sebahagian dari keluarga Muzza." Ujar Yvanna. Beberapa helaian kertas ditolak supaya dekat dengan Hafiz. Sebatang pen juga diletak di atas kerja.

"Sukacita dimaklumkan bahawa anda telah diterima bekerja sebagai... staf pembersihan?" Hafiz memandang ke arah Yvanna dengan pandangan pelik. Dia mencongak sesuatu. Harinya terasa betul-betul aneh.

"Staf pembersihan ni macam mana, Cik Yvanna?" soalnya bingung.

"Bahasa mudahnya, tukang cuci. Awak akan diserap ke unit pembersihan. Tanggungjawab awak adalah untuk memastikan bangunan dalam keadaan bersih dan sentiasa bersedia menerima pelanggan juga pekerja yang lain." Jelasnya tenang.

"Ehe, Cik Yvanna bergurau dengan saya, ek? Hari ni April Fool ke apa? Ada orang tengah rakam ke situasi ni?" Hafiz menoleh ke belakang, kanan dan kiri. Suasana hari ini terlalu aneh untuk dia hadam. Bermula dengan motosikal yang tiba-tiba rosak dan tawaran jawatan sebagai tukang cuci sedangkan dia memohon jawatan pentadbiran.

Dia betul-betul berharap Yvanna hanya bergurau tapi wajah beku wanita itu meyakinkan dia yang semua ini adalah benar dan sedang berlaku pada dirinya.

"Tapi takkan jadi cleaner? Lagi satu, Cik Yvanna belum uji saya pun lagi. Kata nak test saya pasal fail yang saya baca tu?" Protesnya bagai anak kecil.

"Kenapa? Awak rasa hina ke kerja sebagai cleaner? Cleaner masih kerja yang halal, kan? Atau awak nak jadi macam graduan yang terlalu memilih kerja?" tukas wanita itu penuh prejudis.

"Saya bukan nak terlalu memilih Cik Yvanna tapi saya rasa ada yang tak kena dengan prosedur pengambilan kerja syarikat Cik Yvanna ni. Takkanlah nak jadi cleaner pun kena tau semua butiran pasal syarikat ni? Saya rasa tak logik." Hafiz cuba berdiplomasi. Bukannya dia memilih kerja apatah lagi menghina kerjaya tukang cuci tapi dengan kelulusan yang dia ada serta tugasan membaca timbunan fail syarikat hari itu seharusnya dia diberi kerja berkaitan pentadbiran.

"Awak nak kerja atau awak nak berdebat dengan saya tentang logik?" Yvanna langsung tidak memberi ruang pada Hafiz untuk membantah katanya.

Hafiz menghembus nafas berat. Geram. Terasa dipermainkan. Dia sudah habiskan seminggu di sini, takkan dia nak pergi macam tu saja. Cleaner pun cleaner lah janji dia ada gaji untuk sara hidup.

"Gaji saya berapa?" tanyanya sayu.

"Tiga ribu ringgit." Ujar Yvanna tanpa memandang Hafiz.

Sah, perempuan ni gila! Hafiz menebak. Kalau Yvanna ni gila maksudnya Dahlia pun gila dan orang yang ambil dia bekerja lagilah gila. Pewaris TS Muzaffar konon. Pelingkup adalah!

Hafiz baru saja nak membuka mulut tapi sudah dipintas Yvanna "Jangan nak berdebat lagi soal logik, awak takkan dapat jawapan yang awak nak. Satu saja saya boleh bagitahu, lagi awak cuba memahami, lagi awak takkan faham. So, you just do what you're told." Ujar Yvanna tak mahu berkompromi lagi. Eleh, macam lah dia pernah berkompromi walau sekali.

Sekilas Yvanna melihat dirinya dalam Hafiz. Dia juga memberontak mempersoalkan pelbagai keputusan TS Muzaffar tapi kini dia pula yang mengikut acuan majikannya itu. Tidak ada yang mampu terus bekerja di sisi TS Muzaffar tanpa prejudis dan syakwasangka. Ramai yang sudah mengundurkan diri kerana tidak tahan dipermainkan oleh logik usahawan itu. Hanya Yvanna yang mampu setia. Kerana itu wanita itu unik. Keunikan yang membolehkan dia menjadi orang kepercayaan TS Muzaffar lantas menjadi objek cemburu buat orang sekeliling.

Namun, dia hanya menjalankan amanat TS Muzaffar. Lelaki itu punya rancangan lebih besar untuk Hafiz Aiman. Rancangan yang harus dirahsiakan buat masa ini. Rancangan yang akan mengubah kehidupan Hafiz Aiman selamanya.

Di Bawah Payung CintaWhere stories live. Discover now