SELAMA SEBULAN bekerja sebagai pencuci di Hotel Adikara, Hafiz Aiman kini menerima surat perintah dari 'permaisuri' Adikara yakni Yvanna Krishnan untuk menukar profesion. Selepas majlis perpisahan kecil yang dilakukan di rumah Mak Cik Darija, Hafiz kini beralih dari seorang tukang cuci kepada penyelia rekod.
Satu lagi keputusan yang tidak dijangka. Namun, dia tahu yang sebarang pertanyaannya tidak akan beroleh jawapan. Hafiz hanya menurut. Pernah sekali dia cuba mendapatkan penjelasan dari Dahlia, setiausaha Yvanna tapi jawapan gadis itu hanya supaya dia mempercayai Yvanna. Mahu tak mahu, dia turutkan saja. Lagipun, dia semakin selesa bekerja di bangunan hotel itu. Gajinya juga lebih dari cukup untuk menampung keperluan dia dan adiknya.
"Awak boleh baca fail yang ada dalam bilik ni but what you read in this room, stays in the room." Pesan Encik Fadhli, penyelia rekod yang bakal berhenti tidak lama lagi. Khabarnya dia sudah membuka perniagaan lain dan akan menamatkan kerjaya di Adikara.
Sepanjang sebulan bekerja di bahagian rekod itu, Hafiz mempunyai banyak masa lapang. Dia menghabiskan masa dengan membaca beberapa fail rekod yang agak menarik tentang hotel itu. Antaranya laporan tentang salahlaku staf hotel terhadap pelanggan. Bermacam aduan yang diterima dari pelanggan. Sama ada betul atau tidak tuduhan yang dibuat pelanggan itu, dia tidak tahu kesahihannya. Apapun, dalam dunia perniagaan, customer is always right.
Kerana bekerja secara solo di bilik tersebut, Hafiz seringkali makan tengahari bersama rakan sekerja di unit cuci dulu. Hubungan mereka kian erat. Hafiz tidak lagi kekok berbual mesra dengan kumpulan wanita itu. Malahan mereka sudah seperti keluarga. Selalu juga dia dipaksa jadi pelanggan kepada agensi cari jodoh tak rasmi di situ. Ada saja gambar wanita yang ditunjukkan padanya setiap kali bertemu. Kadang sampai naik muak. Nasib baiklah Mak Cik Darija bersuara menyuruh mereka berhenti. Selamatlah dia.
Sebulan bertugas di bilik rekod, Hafiz menerima notis baru dari pejabat Cik Yvanna. Notis itu dihantar secara sulit melalui Dahlia, setiausaha Yvanna. Hafiz curiga dengan permintaan Dahlia supaya mereka bertemu di dalam lif. Namun seperti biasa, sebarang persoalan tidak akan beroleh jawapan. Bila dia mengadu pada Dahlia, jawapan wanita itu mudah saja. "Awak akan tahu juga bila sampai masanya."
Kali ini Hafiz ditugaskan sebagai pembantu di bahagian dapur hotel.
Bila membaca saja jawatan itu, Hafiz hilang kata. Ingatkan lepas dia sudah berstatus penyelia bilik rekod itu, jawatannya akan naik tapi kenapa pula diletakkan sebagai commis boy di dapur hotel. Tugasnya sama saja seperti pembantu di restoran. Dia harus memastikan meja dalam keadaan sedia untuk menerima pelanggan yakni bersih dan kemas. Selepas pelanggan beredar, dia harus segera mengangkat pergi pinggan mangkuk yang ada di meja. Sungguh dia tidak mengerti sebab musabab Cik Yvanna. Apa sebenarnya yang dimahukan wanita itu dari dia?
Ada masanya dia mahu bersemuka dengan Yvanna tapi setiap kali itu jugalah dia padamkan niat itu. Biarpun dia terpaksa berpindah rancah dari satu unit ke unit lain, dia tidak ada masalah besar. Sebaliknya, sejak dua kali dipindahkan, dia sudah kenal dengan ramai pekerja di situ. Ke arah mana saja dia pergi, ada saja yang menegur. Sesekali rasa macam duduk di kampung dulu. Rasa macam satu kejiranan yang berhubung rapat.
Sepanjang dia berada di dapur hotel, dia berjaya menjalan tugas dengan baik. Minggu pertama paling meletihkan kerana dia terpaksa tangkas mencuci ruang dapur. Segala peralatan dapur yang harus dicuci perlu segera dibersihkan. Sinki tidak boleh dibiarkan penuh. Kalau ada benda yang tumpah ke lantai, kena cepat-cepat dimop. Kalau sewaktu di unit cuci dulu dia boleh rileks dan ambil masa tapi tidak di sini. Semuanya kena cepat.
Beberapa hari juga dia derita sakit belakang. Bila pulang ke rumah, mulalah dia membayangkan jika ada isteri untuk tolong mengurut belakangnya yang sakit. Wajah Alia bermain di mata. Kekasihnya itu masih berdiam diri. Gina pula memujuk dengan mengatakan yang Alia masih perlu diberi ruang. Hafiz cuba memahami tapi seringkali hatinya cemas untuk berada di sisi Alia. Dia mahu menjadi pelindung pada Alia tapi impiannya sukar ditunaikan jika Alia belum bersedia untuk sebuah perkahwinan.
ALIA MUNIRAH membuka pintu rumahnya. Wajah lebam Aisya Hafizah menyambutnya. Kesan lebam rona gelap jelas kelihatan di mata kanan dan sedikit luka di hujung bibir.
"Boleh Aisya tumpang duduk rumah akak?" Aisya meramas tangannya sendiri. Matanya memandang Alia sesaat kemudian dilarikan ke bawah.
Alia terkejut namun mengangguk perlahan dan mempersilakan remaja itu masuk ke dalam rumah.
Mereka duduk berdua di ruang tamu. Aisya memegang segelas minuman panas yang dibuatkan Alia. Tangannya terketar-ketar.
Alia perasan. Dia mengambil gelas itu dari Aisya. Bimbang terlepas dari genggaman longgar gadis itu.
"Siapa yang buat Aisya sampai macam ni?" soal Alia. Kasihan dan amarah bercampur baur.
Aisya tersekat untuk berbicara. Lama juga menanti namun Aisya masih enggan mengeluarkan walau sepatah kata. Sepertinya dia sedang jauh berfikir.
"Aisya. Jangan takut. Akak ada." Alia memegang lembut tangan Aisya memberi sokongan.
Lalu dengan berat hati, gadis itu menceritakan pertelingkahannya dengan gadis bernama Fikra. Dek kerana cemburu dengan hubungan rapatnya dengan lelaki bernama Ikram, Fikra bertindak memukul Aisya di tandas sekolah. Bukan Fikra saja malah ada dua orang lagi rakan lain yang turut serta. Seorang darinya menjaga pintu tandas supaya tidak ada orang lain yang masuk.
"Takde orang tolong?" tanya Alia.
Aisya mengeleng. "Aisya sembunyi dalam tandas sampai habis waktu sekolah. Lepas tu baru Aisya keluar. Kebetulan hari tu, sekolah ada edarkan topeng pernafasan. Aisya pakai tu. So, orang tak perasan sangat lebam kat muka." Ceritanya.
Selepas pergaduhan itu dia melihat wajahnya di cermin tandas. Lebam dan luka sudah muncul di wajah. Dia sendiri tak sanggup nak tengok wajah sendiri. Dia berat hati nak keluar dari tandas dan berjalan di kawasan sekolah dengan muka yang begitu. Akhirnya, dia memutuskan untuk tunggu sampai tamat waktu sekolah sebelum berlari ke kelas dan mengambil topeng pernafasan dari dalam beg dan memakainya.
"Kita buat laporan polis ye?" cadang Alia.
Serentak itu, Aisya mengeleng laju. "Tak. Aisya tak nak abang tahu. Lagipun, Aisya okey je. Tak teruk mana pun. SPM pun dah tak lama lagi. Lepas habis SPM, dah tak perlu jumpa diaorang lagi." Rayunya.
Hati Alia dipagut sayu. Kisah hitamnya sendiri mula bermain. Dia juga mahu mendiamkan diri soal Irwan tapi keberanian yang muncul menguatkan dirinya untuk menuntut keadilan. Mungkin apa yang berlaku pada Aisya tidak seburuk yang menimpa dirinya tapi yang salah itu tetap salah.
"Aisya, cuba bayangkan yang Abang Hafiz kena pukul sampai lebam macam ni. Aisya nak biarkan je ke? Atau suruh Abang Hafiz buat laporan polis?" duga Alia.
Aisya memandang Alia dan kemudiannya menundukkan wajah. Dia tahu apa yang Alia cakapkan tu betul.

ANDA SEDANG MEMBACA
Di Bawah Payung Cinta
RomansaCinta yang ditatang Hafiz Aiman hancur berkecai pabila tunangnya, Ika Maryam bertindak curang. "Ika tau Ika dah lukakan hati Fiz tapi Ika minta tolong sangat. Kita jumpa. Sekejap pun jadilah sebab Fiz kena dengar dulu penjelasan Ika." - Ika Maryam "...