HAFIZ DAN AISYA hanya merenung ke arah lelaki berambut putih itu tanpa sebarang kata. Gelojoh betul dia makan! Sudah seperti orang yang sudah sebulan tak makan tapi kalau dah sebulan tak makan, takkan masih hidup lagi?
"Sedap, pak cik?" tanya Aisya cuba menarik perhatian lelaki itu. Risau pula dia bila tengok gaya lelaki itu menikmati masakannya, takut tercekik.
Lelaki itu berhenti sekejap dari mengunyah untuk senyum pada dua beradik dihadapannya.
"Makan perlahan-lahan, pak cik. Ada lagi kalau pak cik nak." Pujuk Hafiz yang turut sama risau.
Hafiz terjungkit dari duduk bila Aisya mencubit lengannya. Dia menoleh pada Aisya disebelah.
Aisya memberi isyarat mata untuk mereka bangun dan bergerak dari meja makan.
Lengan Hafiz ditarik dan dibawa ke sudut dapur. Aisya pastikan mereka berdua cukup jauh untuk berbual tanpa didengari oleh tetamu mereka itu.
"Siapa yang abang bawa balik ni?" soal Aisya dengan kening berkerut. Dia mula tak selesa.
"Abang tak kenal sangat." Ujar Hafiz jujur. Dia tak sempat pun nak berkenalan lebih rapat dengan lelaki itu kerana lepas solat tadi, dia terus balik rumah dan terus saja menjemput lelaki itu makan.
"Orang ke jin? Makan macam..." soal Aisya sangsi.
"Isy, adik ni! Oranglah. Tak nampak ke kaki dia jejak tanah. Pak cik tu lapar je tu. Mungkin dah berhari dia tak makan. Biar je lah dia makan sampai kenyang. Kita ni buat benda baik bukan benda tak elok. Dapat pahala lagi."
"Abang cakap ada orang peras ugut dia kan?"
Hafiz mengangguk.
"Macam mana kalau ada orang jahat lain cari dia kat sini? Bahaya kita, bang."
"Jangan nak risau yang bukan-bukanlah. Takde maknanya penyangak tu semua beria cari pak cik tu sampai sini. Pak cik tu gelandangan je bukannya orang kaya. Rumah pun takde." Hafiz menepis tuduhan Aisya.
"Tapi Aisya tak sedap hatilah."
"Kalau betul sekalipun apa yang Aisya fikir tu, kita kan dah nak pindah. Pak cik tu pun akan pindah dengan kita. Kalau ada orang jahat yang cari pak cik tu, confirm tak dapat punyalah."
"Kejap. Apa abang cakap tadi?"
Hafiz buat muka tak faham. "Abang cakap apa?" Dia menyoal kembali.
"Abang nak bawa pak cik tu pindah dengan kita?"
"Iya lah. Takkan nak biar dia sorang-sorang?"
"Iya lah abang cakap? Iya lah?" Aisya menepuk dahi dengan kehendak abangnya. Kebaikan hati Hafiz adakalanya keterlaluan. Sekalipun nak berbudi dengan orang janganlah sampai menyusahkan diri. Mereka dua beradik saja pun hanya cukup-cukup makan. Inikan pula nak menanggung orang lain.
"Abang! Hidup kita ni pun dah cukup susah. Abang nak tanggung pak cik tu pula? Aisya tak setuju." Bantahnya.
"Habis tu? Abang dah bawa dia balik sini. Abang yang bertanggungjawab pada dia."
Riak wajah Aisya berubah. Kalau tak mengingatkan Hafiz ni abangnya, mahu saja dicepuk lelaki itu. Dia hanya mampu mengelengkan kepala tanda tak setuju. Hafiz hanya diam.
"Apa yang anak berdua ni bualkan?"
Hampir terloncat dua beradik itu bila lelaki tua ini menjengulkan wajah diantara mereka. Entah sejak bila lelaki itu sudah bertengek di belakang mereka.
"Tak ada apalah. Pak cik dah habis makan? Nak tambah lagi ke?" Kekok Hafiz bertanya.
"Tak apa. Pak cik dah kenyang." Ujarnya tersenyum. "Ini," Lelaki tua itu mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya. Tangan Aisya diambil dan isi yang tergenggam di tangannya diletakkan ke atas telapak tangan gadis itu.
Bila lelaki itu mengangkat tangannya, barulah nampak seutas rantai dengan batu nilam sebesar syiling 20 sen.
"Eh, apa ni pak cik?" tanya Hafiz.
"Rantai." Balas lelaki tua itu selamba.
'Taulah rantai.' Getus Hafiz dalam hati. "Maksud saya, kenapa pak cik bagi rantai ni? Kami ikhlas bagi pak cik makan. Pak cik tak perlulah bagi rantai ni." Hafiz menolak. Rantai di tangan Aisya cuba dikembalikan tapi lelaki itu berkeras menolak.
"Anak berdua dah banyak berbudi pada pak cik. Ambillah rantai tu sebagai penghargaan."
"Tak perlulah, pak cik. Kami ikhlas. Lagipun rantai ni pak cik boleh gadai untuk dapatkan duit."
"Tak. Rantai tu hanya boleh dipindah milik tapi tak boleh digadaikan." Ujar lelaki tua itu tersenyum kelat.
"Kenapa?" tanya Aisya.
"Sebab rantai tu milik arwah isteri pak cik."
Aisya dan Hafiz memandang satu sama lain. "Kalau macam tu lebih elok pak cik simpan."
Lelaki tua itu tersenyum. "Pak cik dah lama simpan tapi dah tak menjadi faedah lagi. Lagipun rantai ini perhiasan orang perempuan. Kalau anak perempuan pak cik masih hidup, pak cik akan bagi dekat dia tapi dia pun dah tak ada. Anggap je lah ini pemberian seorang datuk pada cucunya. Aisya pakai ye?" ujarnya menjelaskan.
"Pak cik balik dululah. Terima kasih sebab belanja makan. Sedap Aisya masak. Kalau kahwin nanti, mesti suami lagi sayang." Ujar lelaki itu menyentuh kepala Aisya dan menoleh untuk beredar.
"Pak cik nak balik mana? Pak cik kata pak cik tak ada rumah?" soal Hafiz. Hatinya berputik risau.
"Rumah Allah banyak atas muka bumi ni. Pak cik boleh tumpang di mana saja." Ujarnya kedengaran sayu.
Aisya rasa bersalah. Tak terlintas pun rupanya di hati lelaki tu untuk tinggal bersama mereka. Dia pula yang beriya menyuruh abangnya menghalau lelaki itu.
"Kalau pak cik tak keberatan, pak cik tinggalah dengan kami. Kami pun tinggal berdua saja. Kalau tambah pak cik dalam keluarga ni pun kami tak kesah." Ujar Hafiz. Aisya turut tersenyum. Rasa bersalahnya boleh berkurangan jika lelaki itu mahu tinggal bersama mereka.
"Tak apalah, nak. Pak cik lebih selesa sendiri. Assalamualaikum."
"Pak cik nak saya hantar pak cik ke mana-mana?"
"Tak perlu. Kamu dah banyak tolong pak cik. Kamu temankanlah saja adik kamu. Bahaya tinggalkan perempuan seorang diri di rumah. Terlalu banyak orang yang berniat tidak baik zaman sekarang ni. Kamu kena jaga adik kamu baik-baik." Pesannya sebelum beredar. Hafiz dan Aisya hanya melihat kelibat lelaki itu hingga hilang.
"Pelik lah pak cik tu." Komen Aisya bila bayang lelaki tua itu lesap. Dia menelek rantai bertali perak dengan batu nilam bujur di tengahnya. Cantik! Nampak mahal.
Hafiz menghela nafas perlahan. Mungkin lelaki itu terdengar perbualan mereka lalu terasa hati. Dengan langkah gontai dia berjalan ke dalam bilik dan merebahkan tubuh untuk berehat. Sehari mencari kerja di bandar, dia sudah di rompak penyangak kota. Esok apa pula nasibnya?
Sementara itu, lelaki tua tadi berjalan keluar hingga ke tanda nama kampung. Di belakangnya tertinggal sebuah laluan sempit yang menuju ke rumah Hafiz. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar dan mendail nombor seseorang.
"Come fetch me. I've found him." Ujar lelaki tua itu sambil tersenyum lebar.
ANDA SEDANG MEMBACA
Di Bawah Payung Cinta
RomanceCinta yang ditatang Hafiz Aiman hancur berkecai pabila tunangnya, Ika Maryam bertindak curang. "Ika tau Ika dah lukakan hati Fiz tapi Ika minta tolong sangat. Kita jumpa. Sekejap pun jadilah sebab Fiz kena dengar dulu penjelasan Ika." - Ika Maryam "...
