ZAMAN KEGEMILANGAN Salfina terlalu singkat. Hanya selepas 8 bulan, Salfina diundi keluar oleh ahli lembaga pengarah. Selain kes langgar lari Kaira, Salfina juga menjadi tajuk utama sebuah tabloid. Gambar dia dengan seorang Datuk yang sudah mempunyai isteri terpampang di muka depan.
Perlakuan Kaira dan Salfina bukan saja menjatuhkan imej syarikat malah mencalar maruah keluarga mereka. Kalau dulunya, Muzaffar yang banyak menghulur duit untuk menutup kehidupan liar keluarganya itu tapi tidak lagi. Sejak dia memberikan jawatan itu kepada Salfina, Muzaffar sudah tidak lagi membayar duit untuk menutup mulut wartawan.
Naskah akhbar yang dibaca diletakkan di atas meja. Cawan berisi kopi dihirup sewaktu ia masih panas. Muzaffar melebarkan pandangan ke luar jendela. Salji putih masih duduk berehat di atas pepohon hijau di situ. Bukit bukau yang diselaputi salji nampak sejuk dan menyelerakan. Seolah salji itu taburan gula yang halus dan manis.
TV pintar di ruang tamu berbunyi dan Muzaffar menekan butang di alat pengawal untuk menerima panggilan masuk dari Yvanna.
"How's your morning, Tan Sri?" sapa wanita itu dengan senyuman. Dia juga sedang memegang mug berisi Nescafe.
"Delicious. I just had the best breakfast in the world." Balasnya tersenyum lebar.
"I'm glad you did. So, bila Tan Sri nak balik Malaysia?"
"Tomorrow. I nak pergi memancing dulu."
"Memancing?"
"Yes, Yvanna. Memancing. It's a wonderful pass time for an old guy like me." Balasnya dengan hati girang. Dia sudah berjanji dengan Ezham, teman baiknya di bumi Alaska ini. Sudah lebih 10 tahun mereka tak bertemu. Sementara dia sibuk dengan Muzza Holdings, Ezham pula sudah bersara dan seronok bermain dengan cucu. Sungguh dia cemburu. Takdir mereka cukup berbeza. Biarpun Ezham bukan jutawan sepertinya tapi sahabatnya itu mewah dengan kasih sayang keluarga.
"Okey. Saya akan uruskan semuanya dan pastikan yang bila Tan Sri balik, all you need to do is shakehands with some of our new clients." Ujar Yvanna penuh yakin. Dia sudah berada di tampok kerjayanya selama 18 tahun. Dia anak didik TS Muzaffar selama 10 tahun. Dia tahu cara untuk mengembalikan Muzza Holdings ke tempat asal. Biarpun imej syarikat terkesan dengan isu Salfina tapi dia rela berusaha keras untuk menjulang kembali nama Muzza dan menenggelamkan kontroversi singkat hasil ciptaan anak saudara Tan Sri Muzaffar itu.
MUZAFFAR DAN EZHAM duduk di kerusi kecil sambil memegang batang pancing masing-masing. Tali panjing sudah dijatuhkan ke dalam lubang yang di buat di atas tasik beku setebal 40 sentimeter.
Sesekali angin sejuk menampar wajah mereka tapi tubuh mereka masih panas dengan pakaian yang tebal dan pek panas yang diletakkan di badan masing-masing. Suasana sunyi. Ada tiga orang lagi pemancing di tasik itu selain mereka. Jarak mereka antara satu sama lain terlalu jauh untuk mendengar sebarang bunyi. Malah, dia dan Ezham juga tidak banyak berkata-kata. Mereka tidak kekok dalam kesunyian. Sebaliknya, kedamaian itu cukup disukai.
Di depan mereka terdapat rimbunan pepohon hijau yang tumbuh berhimpit. Kemudian di belakangnya kelihatan bukit-bukau dan pergunungan yang berbanjar dan mengelilingi mereka. Cahaya matahari kelihatan tapi tidak memberi rasa panas. Cuaca yang cukup indah.
"Bila kau nak bagitahu dia?" Soal Ezham.
Muzaffar tahu apa yang dimaksudkan temannya. Ianya tentang Hafiz. "Minggu depan."
"Kau rasa dia boleh terima dengan baik?"
Muzaffar diam. Lama. "Dia sudah cukup dewasa. Fikiran dia matang. Aku yakin dia boleh terima."
Mereka kembali diam.
Ezham sudah kenal Muzaffar lebih 50 tahun. Mereka sama-sama pengusaha kecil. Selama Muzaffar terus berniaga di Malaysia, dia pula membawa diri ke Alaska atas cadangan seorang rakan yang mengusahakan restoran di situ. Dia tidak fikir panjang lagi kerana waktu itu dia mengalami masalah kewangan. Muzaffar juga sama tapi sahabatnya itu tidak boleh meninggalkan Malaysia kerana isterinya sakit ketika itu. Dengan hati berat dia meninggalkan Muzaffar dan berkelana di bumi asing sehingga dia berkahwin dengan orang tempatan dan membina keluarga besarnya di sini.
"Kau sempat jumpa Intan?" tanya Ezham selepas lama membisu.
"Tak. Aku hanya dapat tahu tempat tinggal dia bila dia meninggal dunia. Berita tentang dia sampai kepada penyiasat aku. Bila aku ke sana, dia dah tak ada tapi dia tinggalkan dua orang cucu untuk aku." Hampir saja dia merembeskan air mata tapi berjaya ditahan.
"Menantu kau?"
"Aku masukkan dia ke pusat pemulihan. Dia ketagihan arak."
Ezham simpati. Kekayaan yang dimiliki Muzaffar bukanlah pengukur kebahagian. Biarpun dia hanya seorang pengusaha restoran tapi dia bahagia dengan isteri dan anak-anaknya sedang sahabatnya yang bergelar jutawan ini kehilangan isteri dan anaknya. Dia juga tidak menyangka yang Muzaffar sanggup menghalau Intan Sakinah, satu-satunya anak yang dia ada. Dia kenal Muzaffar yang keras kepala. Lelaki itu tak mahu mengalah dan sikapnya itu juga ada pada Intan Sakinah. Anaknya itu keluar dari rumah dan tidak lagi menjejak kembali ke rumah itu.
"Op!" Ezham tiba-tiba bangkit dan menarik tali pancingnya dengan pantas. Seekor ikan menggelupur di mata kail. Dia meletakkan ikan itu di atas lantai ais sebelum melepaskan ikan itu dari kail dan diletakkan ke dalam bekas yang sudah berisi dua ekor ikan.
Tak sampai seminit, pancing Muzaffar pula bergerak dan terasa berat. Dia mengangkat pancing dan menarik keluar seekor ikan yang sebesar ikan ditangkap Ezham tadi.
"Wah, rezeki berturut-turut." Ujar Ezham. Mereka berdua tertawa bahagia, bangga dengan hasil tangkapan.
"Dah cukuplah ni. Kita balik bakar cicah air asam. Melayu style." Cadang Muzaffar. Ezham bersetuju. Mereka mengemaskan peralatan mereka sebelum kembali ke Ford Ranger yang diparkir di pinggir tasik. Ezham memandu ke arah rumahnya di Gillam Way.
ANDA SEDANG MEMBACA
Di Bawah Payung Cinta
RomanceCinta yang ditatang Hafiz Aiman hancur berkecai pabila tunangnya, Ika Maryam bertindak curang. "Ika tau Ika dah lukakan hati Fiz tapi Ika minta tolong sangat. Kita jumpa. Sekejap pun jadilah sebab Fiz kena dengar dulu penjelasan Ika." - Ika Maryam "...
