HAFIZ AIMAN mengemas semula sijil-sijilnya ke dalam fail. Beberapa keping sijil itu disusun dari yang paling terkini hingga yang paling lama. Helaian berisi maklumat dirinya diletakkan pada muka paling hadapan sekali.
Ketukan di pintu membuatkan dia berpaling.
"Buat apa?" tanya Aisya yang sudah masuk menghampiri Hafiz yang duduk di atas katil.
"Susun sijil. Abang ingat esok abang nak cari kerja lah kat bandar."
"Kenapa? Pak Su Mat dah pecat abang ke?" soal Aisya terpinga. Setahu dia gudang beras milik orang kaya kampung itu masih memerlukan khidmat abangnya. Tak ramai anak muda kampung yang ada ijazah sarjana muda seperti abangnya. Kalau ada pun, mereka semua dah berhijrah ke bandar. Tak ada lagi yang rela nak berbakti pada kampung halaman. Lubuk wang di bandar lebih menarik perhatian mereka.
"Tak tapi abang ingat nak berhenti kerja. Abang nak cari duit kat tempat lain." Jelasnya tanpa memandang Aisya.
Dia bukannya tidak mahu bekerja di bandar sebelum ini tapi kalau dia pindah ke bandar, dia khuatir tentang emak dan adiknya. Tambahan pula Sakinah seringkali diserang sakit jantung. Di bandar, rumah harus disewa dan gajinya tak cukup nak menampung sewa rumah sekaligus perbelajaan rawatan hospital. Kalau di kampung ni, rumah dan tanah masih milik mereka. Lagipun Pak Su Mat bayar gaji yang agak setimpal dengan kelulusannya.
"Abang tak nak duduk kat kampung ni lagi dah ke?" tanya Aisya seakan terpukul dengan jawapan Hafiz. Dia rasa seperti Hafiz akan pergi meninggalkannya.
"Dah tak ada apa lagi kat kampung ni untuk abang." Ujarnya seolah mengiyakan telahan Aisya.
"Abang nak tinggalkan Aisya sorang-sorang kat kampung ni?" tanya gadis itu dengan meminjam suara semut.
Hafiz termangu sejenak sebelum senyuman terlukis di bibirnya. Hampir saja dia ketawa tapi ditahan. Idea nakal tercetus.
"Lah, mesti la. Takkan abang nak bawak Aisya duduk dengan abang?" ujarnya berpura serius.
Melihat wajah Aisya yang semakin cemberut membuatkan Hafiz semakin geli hati. Apalah adiknya yang seorang ni fikirkan. Tak mungkinlah dia nak tinggalkan satu-satunya keluarga yang dia ada. Tak masuk akal!
Tanpa diduga, Aisya menitiskan air mata.
"Eh. Eh. Sya! Abang gurau je lah. Janganlah nangis." Hafiz jadi panik tapi hatinya masih tercuit.
"Aisya ni pun. Mestilah abang bawa Aisya sekali. Gila tak bawa adik abang yang comel ni sama? Siapa abang nak bahankan bila abang rasa nak mengusik? Siapa yang abang nak buli bila abang rasa nak bergurau?" Hafiz berjaya menenangkan adiknya yang kini berhenti menangis. Bukan itu saja, cepat-cepat Aisya memukul tubuh abangnya itu.
"Ah, sakit! Sakit. Ampun. Ampun." Hafiz merayu agar adiknya berhenti. Tak pasal lebam-lebam badannya nanti. Nama saja perempuan tapi pukulan si Aisya tu tak boleh dipandang ringan.
Suasana hening sebentar sebelum Hafiz kembali bersuara. "Kalau abang dapat kerja kat bandar, kita kena pindah. Aisya tak kesah, kan?" tanya Hafiz.
"Aisya tak kesah. Asal Aisya dengan abang." Ujarnya cuba menahan sebak. Saat kata-kata itu diungkap, terus saja dia teringat tentang arwah emak mereka. Realitinya kini mereka sudah jadi anak yatim piatu. Memang ayah masih hidup tapi tak ada bezanya bagi mereka.
"Esok abang keluar cari kerja. Kalau dapat kerja, abang cari rumah pula. Lepas dah setel semua, kita urus pula soal pindah sekolah. Lepas tu, kita boleh mulakan hidup baru. Kita tinggalkan semua yang kita nak lupakan dekat kampung ni. Tempat baru, hidup baru." Hafiz menyentuh pipi adiknya. Aisya tersenyum. Dia mengharapkan yang sama.
ANDA SEDANG MEMBACA
Di Bawah Payung Cinta
RomanceCinta yang ditatang Hafiz Aiman hancur berkecai pabila tunangnya, Ika Maryam bertindak curang. "Ika tau Ika dah lukakan hati Fiz tapi Ika minta tolong sangat. Kita jumpa. Sekejap pun jadilah sebab Fiz kena dengar dulu penjelasan Ika." - Ika Maryam "...
