SELESAI memarkirkan kereta Wira hadiah dari Cik Yvanna, Hafiz Aiman menjejak masuk ke dalam Menara Muzza untuk pertama kalinya dengan menyandang jawatan sebagai tukang cuci. Seribu kali dia fikir pun, dia masih tak dapat mencari sebab musabab kenapa dia diberikan kerja sebegitu waima dengan segulung ijazah sarjana muda. Apakah ijazah sarjana muda sudah tidak laku lagi? Ramai sangat ke graduan yang ada ijazah sarjana sehingga dia yang berkelulusan sarjana muda ditempatkan sebagai tukang cuci? Segala soalan yang bercambah di dalam kepala hanya mampu dibiarkan terawang di situ. Dia tidak punya jawapan.
Hafiz menerima secara terpaksa hadiah dalam bentuk kereta Wira itu kerana Cik Yvanna berkeras supaya dia menerimanya. Wanita awal 40-an itu memberi alasan bahawa dia tidak mahu Hafiz lewat datang ke pejabat lagi. Dari hari pertama hingga ke akhirnya, ketepatan masa harus dititikberatkan. Berkali juga wanita itu menyebut tentang disiplin seorang staf yang bernaung di bawah Muzza Holdings. Ketepatan masa adalah penting dalam banyak perkara.
Selepas merekod kehadiran, dia terus saja mencari bilik yang dikhaskan untuk staf pencuci sepertinya. Biarpun diberi pekerjaan sebegini tapi Hafiz tidak rasa ralat kerana gaji yang dijanjikan lumayan. Kalau sekadar pencuci dia sudah dibayar 3000 ringgit sebulan, cuba bayangkan jika dia dapat jadi ketua pencuci? Hafiz memasang angan.
Dia berhenti di depan sebuah bilik yang bertulis Staff Room (Cleaner). Dia sempat melihat ke sebelah di mana sebuah bilik kecil yang tertulis Stor Utiliti berada. Dia mengetuk lalu memberi salam. Tombol pintu ditolak sedikit ke dalam.
"Waalaikumsalam." Salam dijawab. Hafiz menjenguk ke dalam dan dia disambut oleh enam orang wanita yang ratanya kelihatan berusia. Spontan Hafiz jadi canggung.
"Er, saya Hafiz. Saya mula kerja hari ni." Umumnya. Sejenak mereka tercengang. Salah seorang daripada mereka menepuk bahu yang seorang lagi.
"Inilah yang Encik Farid cakap tu. Ni ha, budak baru." Ujar Senah.
"Lah! Mati-mati aku ingat budak perempuan. Manalah tau... he... lelaki." Ujar Hawa. Skaf kecil yang menutup rambutnya dibetulkan.
"Mari la masuk. Duduk sini." Rosnah pula menjemput Hafiz duduk di salah satu kerusi kosong.
"Jangan risau. Sendal pintu tu dengan penyendal getah sana tu. Kalau tak nanti kena tangkap basah." Sambung Rosnah lagi. Mereka semua tertawa kecuali Hafiz yang memaksa senyum. Terasa kekok nak bergaul tapi Hafiz tenangkan hati. Ini baru hari pertama. Tentu dia perlukan masa untuk sesuaikan diri.
Sebaik saja Hafiz duduk, soalan pertama diaju. "Dah kahwin ke belum?" tanya Hajar. Antara semua Hajar yang paling muda. Usianya dalam 35 tahun.
"Belum lagi." Jawab Hafiz.
"Oh, belum kahwin lagi. Ada peluang lah." Ulas Hajar. Senah yang disebelah menepuk bahu Hajar lalu mereka tertawa bersama.
"Mak cik ada anak dara sorang kat rumah. Mau ka?" Laila yang berasal dari utara semenanjung pula melontar tanya. Raut wajah Hafiz dirasakan sesuai untuk anaknya. Pencuci pun pencuci lah janji kacak. Esok bolehlah dia dapat cucu-cucu yang segak cantik belaka.
"Mak cik pun ada anak perempuan bujang, nak tak kalau mak cik kenalkan?" tanya Hawa membuat tawaran.
"Mak cik takde anak tapi kalau nak berkenalan dengan mak cik, mak cik okey je." Senah pula mengusik.
"Ehem. Ehem!" Seorang lelaki dengan seragam biru yang sama dengan mereka menghampiri. Di dadanya tersemat tag nama Farid.
"Jadual kerja untuk bulan ni." beritahu Farid sambil menampal sehelai kertas ke papan kenyataan yang sudah tersedia di dalam bilik itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
Di Bawah Payung Cinta
RomantikCinta yang ditatang Hafiz Aiman hancur berkecai pabila tunangnya, Ika Maryam bertindak curang. "Ika tau Ika dah lukakan hati Fiz tapi Ika minta tolong sangat. Kita jumpa. Sekejap pun jadilah sebab Fiz kena dengar dulu penjelasan Ika." - Ika Maryam "...
