SETELAH HAMPIR SETAHUN perkenalannya dengan Henri, Kaira akhirnya patah hati. Ternyata lelaki itu hanya mempermainkannya. Setelah mendapat tahu dari rakan-rakan tentang sikap Henri yang bermain kayu tiga dibelakangnya, Kaira bertindak memutuskan pertunangan mereka. Malah, amarah yang menggunung telah pun dihamburkan sewaktu sebuah majlis malam amal berlangsung. Di majlis yang dihadiri orang kenamaan itu, Kaira tidak segan silu membuat kacau. Dia terjerit-jerit menyumpah seranah Henri dan kekasih barunya. Akhirnya, Kaira dieskot keluar oleh pihak keselamatan.
Seminggu selepas peristiwa itu, Kaira telah tiba di Jentayu Resort untuk mengikuti hari keluarga Hotel Adikara. Biarpun tanpa undangan, Kaira tidak peduli. Wajahnya memang asalnya setebal Tembok Cina. Ditambah pula dengan emosinya yang masih belum stabil akibat baru putus tunang. Kaira berbesar hati menerima sebuah misi daripada mamanya untuk dijalankan di sini. Misinya berkait rapat dengan seorang lelaki bernama Hafiz Aiman.
Melalui apa yang diberitahu mamanya, lelaki itu adalah orang kanan Yvanna. Malah ada kebarangkalian besar juga kekasih gelap pada wanita tinggi galah itu. Kebencian dia dan Salfina pada Yvanna cukup besar sehingga Kaira bersetuju untuk melaksanakan rancangan yang disuruh mamanya.
Hafiz dan kelompok staf dari beberapa jabatan berkumpul di padang mini di Jentayu Resort. Hari keluarga di padang ini tidaklah seramai yang pernah Hafiz sangkakan. Rupa-rupanya, acara ini dilangsungkan mengikut jabatan. Semua staf Jabatan Pemasaran dari semua cawangan negeri telah dipanggil berkumpul di sini. Mungkin bertujuan untuk memudahkan proses suaikenal kerana bekerja dalam lingkungan yang sama. Tentu mudah nak mencari titik perbualan.
"Hafiz." Panggil Iskandar, ketua jabatannya. Lelaki itu sedang menghampirinya bersama seorang wanita.
"Encik Is." Sahut Hafiz sambil mengangkat tangan sedikit.
"Ni saya nak kenalkan, Cik Kaira Hashim, cucu kepada TS Muzaffar. Bakal pewaris Muzza Holdings." Ujar lelaki 50-an itu. Kaira tersenyum lebar diperkenalkan sebegitu rupa. Rasa riak menyerang seluruh tubuhnya. Mujurlah dia tidak semerta menzahirkannya kerana dia teringat misinya ke mari.
"Eh, takdelah. Pandai je. Mama kan ada. Kak Yvanna pun ada." Sangkalnya untuk tampak merendah diri.
"Cik Kaira kan cucu tunggal. Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi?" tambah Iskandar seraya ketawa berdekah. Senang hati dia dapat memuji gadis itu. Dia berharap Kaira dapat menceritakan yang baik-baik saja tentang dia pada Salfina. Dia tahu lambat laun, empayar perniagaan TS Muzzafar akan jatuh ke tangan Salfina kerana itu saja waris yang majikannya itu ada.
Iskandar meninggalkan Kaira bersama Hafiz pabila ada setiausaha majlis memanggilnya.
"Erm, macam mana kerja? Okey?" Tanya Kaira.
"Setakat ni alhamdulillah. Cik Kaira?" balas Hafiz.
"Saya pun alhamdulillah." Hampir tergeliat lidahnya nak mengucap alhamdulillah. Kata yang cukup asing bagi dirinya.
"Panggil Kaira je. Panggil cik-cik ni seganlah. Lagipun hari ni kan hari keluarga. Dalam keluarga, takde panggil cik-cik." Ujar Kaira.
"Okey." Balas Hafiz ringkas.
"Awak dengan Kak Yvanna dah lama ke couple?" soal Kaira.
Hafiz terkebil-kebil. Lama juga dia termangu. Akhirnya, ketawanya pecah. "Saya? Dengan Cik Yvanna? Takdelah. Cik Yvanna tu bos saya je. Lagipun saya dah kahwin." Jelasnya. Dia mengeleng kepala. Tak sangka ada juga gosip seumpama itu bertebaran di dalam syarikat. Kalau Alia dengar, pasti cemburu. Sejenak dia menelan liur. Janganlah gosip liar ini sampai ke pendengaran Alia. Nasib baiklah hari keluarga ni tak libatkan isterinya.
"Ye ke? Ke awak tipu saya ni? Ramailah orang bercakap pasal awak dengan Kak Yvanna." Kaira menambah perencah ke dalam ceritanya. Dia sengaja mahu menduga sejauh mana sebenarnya hubungan keduanya.
"Ya Allah, betul. Saya dengan Cik Yvanna hanya pekerja dan majikan. Lagipun, Cik Yvanna dengan saya jarak dia macam langit dan bumi." Hafiz terus menjelaskan.
"Kalau betul macam tu, saya minta maaf. I guess it's just a rumor after all." Ujar Kaira cuba menjernihkan suasana.
"Anyway, Hafiz. Sebenarnya, ada sebab kenapa saya suruh Uncle Is kenalkan awak dengan saya tadi." Beritahu Kaira.
"Kenapa?" soal Hafiz.
"Saya ada benda penting nak cakap dengan awak pasal Kak Yvanna. Saya rasa ada sesuatu yang tak kena. Saya rasa kita kena tolong dia." Wajah Kaira melukiskan kerisauan. Melihat raut Hafiz yang terpegun padanya, Kaira tahu umpannya sudah mengena.
"Kenapa? Apa yang dah jadi?" soal Hafiz lagi.
Kaira memandang ke sekeliling. "Saya tak boleh cakap kat sini. Ini melibatkan imej Kak Yvanna dan syarikat. Boleh kalau kita jumpa malam ni?"
"Kat mana?"
"Café Marjoris pukul 9."
"Okey." Hafiz bersetuju. Semudah itu.
HAFIZ LEKA membalas mesej dengan Alia melalui Whatsapp. Sesekali dia tersengih sendirian. Kaira yang sudah tiba di Café Majoris sengaja bersembunyi di koridor dan melihat Hafiz dari jauh. Sambil itu dia memerhatikan gelas minuman di hadapan Hafiz. Air sudah diminum separuh. Namun, ubat tidurnya belum menampakkan kesan pada peminum.
Kaira teruja bila Hafiz sekali lagi menghirup gelas minuman di depannya. Seminit berlalu, Hafiz mula memicit-micit dahinya. Sesekali dia mengeleng kepala seperti cuba mengusir rasa mengantuk. Kaira yang melihat tak mampu menahan senyuman. Rancangannya berjalan lancar sekali.
Telefon dikeluarkan dari poket seluar, lalu Kaira menelefon Hafiz.
"Hafiz! Tolong. Awak kena tolong saya. Kak Yvanna. Kak Yvanna pengsan kat bilik saya." Kaira berlakon cemas.
"Macam mana....? Awak kat mana?" Tanya Hafiz segera bangun.
"Bilik 210. Awak cepat ye?" gesa Kaira.
"Okey." Hafiz terus bergegas ke bilik yang diberitahu Kaira. Sebaik tiba, dia terus mengetuk tapi tidak berjawab. Dalam rasa cemas dan mata yang berpinar, dia menolak daun pintu yang rupanya tidak tertutup rapat.
Dia meloloskan diri ke dalam. Rasa peningnya semakin parah. Tubuhnya mula terhoyong-hayang. Pandangannya yang semakin lama semakin berbalam membuatkan dia meraba ke dinding untuk mara ke depan.
"Kaira. Cik Yvanna." Panggil Hafiz namun tiada jawapan. Tidak lama kemudian, dia rebah menyembah bumi dan Kaira memunculkan diri.
SALFINA TERSENYUM LEBAR. Dia cukup berpuas hati dengan hasil kerja anaknya. Kaira tak mengecewakannya kali ini. Berpuluh keping gambar atas katil itu ternyata memberi kepuasan. Wajah Hafiz yang sedang tidur dengan Kaira disebelahnya pasti akan menimbulkan buruk sangka siapa saja yang melihat. Dia yakin Yvanna bakal tunduk pada ugutannya kali ini.
ANDA SEDANG MEMBACA
Di Bawah Payung Cinta
RomanceCinta yang ditatang Hafiz Aiman hancur berkecai pabila tunangnya, Ika Maryam bertindak curang. "Ika tau Ika dah lukakan hati Fiz tapi Ika minta tolong sangat. Kita jumpa. Sekejap pun jadilah sebab Fiz kena dengar dulu penjelasan Ika." - Ika Maryam "...
