SUASANA TEGANG menyelubungi teratak kayu tempat tinggal tiga beranak itu. Aisya Hafizah hanya duduk diam di kerusi di ruang tamu. Dia tak tahu bagaimana nak meredakan keadaan sekarang. Matanya tak henti memandang antara abang dan emaknya seolah ada perlawanan ping pong di situ.
Sakinah pula sedang mengurut-urut dadanya. Jantungnya yang sedia lemah terasa makin parah. Sukar dia nak bernafas dengan baik apabila kedukaan datang bertimpa-timpa. Dia tahu Tuhan sedang menguji tapi dia risaukan kemampuan diri untuk mengharunginya.
"Fiz tahu mak susah nak terima," Hafiz memecah sunyi.
"Kamu dah fikir habis ke?" Belum habis Hafiz berbicara, Sakinah segera memintas.
Hafiz yang terkejut dengan pintasan Sakinah, mula terkial-kial. Dia rasa bersalah membuat keputusan sebegini rupa. Dia tak pernah berniat nak membuat emaknya marah tapi kerana hati...
"Fiz dah habis fikir. Fiz dah tenangkan fikiran. Fiz dah yakin." Jawabnya lambat-lambat. Dia memandang Sakinah dengan mata yang mengharapkan pengertian.
"Satu kampung dah tahu. Kenduri kahwin nanti siapa saja yang nak datang?!" soal Sakinah. Amarahnya cuba dikawal. Sudahlah mukanya terpaksa ditebalkan seharian suntuk kerana berita tangkap khalwat bakal isteri Hafiz. Sekarang, berapa inci lagi mukanya harus ditebalkan?!
Aisya dan Hafiz sama risau bila mendengar nada suara Sakinah. Doktor sudah beberapa kali berpesan supaya perasaan Sakinah dijaga. Tekanan emosi akan memberi kesan pada kesihatan jantung emak mereka itu.
"Kita tak perlu buat besar-besaran. Cukuplah keluarga terdekat." Ujar Hafiz tanpa memandang emaknya. Dia semakin takut untuk bertentang mata. Dia tahu emaknya masih terkejut dengan keputusan yang diambil.
"Mak ni dah cukup menanggung malu bila Ika kena tangkap basah. Sekarang Fiz nak ambil dia balik. Nak jadi pak sanggup?"
Mendengar perkataan 'pak sanggup', telinga Hafiz membahang. "Ika tu kena fitnah, mak. Dia tak minta pun semua ni. Ada orang yang dengki dengan dia." Hafiz membela tunangnya. Dia sudah mendengar penjelasan Ika Maryam semalam. Dia percaya semua yang berlaku hanyalah rancangan jahat Marwan yang sudah lama meminati Ika Maryam. Lelaki itu sengaja mencari peluang untuk menjadikan Ika miliknya. Dalam majlis perkahwinan yang hanya tinggal sebulan, Marwan terdesak untuk membatalkannya.
Ika sudah menceritakan segalanya. Marwan mengejutkan Ika awal pagi itu untuk meminjamkan duit dua ribu untuk perkahwinan mereka. Lelaki itu mengajak Ika ke situ dengan umpan bahawa duit itu tertinggal di dalam rumah tersebut. Sebab itulah Ika ke sana dengan rela.
Memang dia marah dengan sikap naif Ika. Apatah lagi Ika pula menceritakan permasalahan kewangan mereka pada Marwan. Puas juga dia memarahi tunangnya itu. Tindakan Ika kurang bijak malah menyebabkan maruah dirinya sendiri tercemar. Namun, selepas beberapa lama menghambur amarah, Hafiz akhirnya bertenang.
Dia melihat Ika dalam keadaan tertekan kerana permintaan bakal mertuanya yang mahu penambahan duit hantaran. Mereka pula cuma ada masa kurang sebulan saja lagi untuk majlis berlangsung. Dia tahu Ika tidak mahu menyusahkan dia dan kerana itu Ika berusaha mencari duit dengan caranya sendiri. Biarpun caranya itu salah, Hafiz tahu Ika hanya mahu membantu.
"Fitnah? Fiz, mungkin betul kata Fiz dia tak ada buat apa-apa dengan budak Marwan tapi yang betulnya dia memang berdua-duaan dengan budak tu. Diaorang berdua je dalam rumah tu. Lagipun hal ni satu kampung dah tau. Kampung sebelah pun tau. Sekarang Fiz nak teruskan juga perkahwinan dengan dia? Fiz tahu tak apa orang lain akan fikir?" tegas Sakinah. Keputusan anaknya untuk memaafkan Ika dan meneruskan perkahwinan mereka meledakkan amarah dalam dirinya. Dadanya terasa sakit. Lekas dia mengurut untuk mengurangkan kesakitan.
Aisya tak mampu bersuara. Dia rasa tersepit ditengah-tengah. Dia faham maksud emaknya tapi dia juga kasihankan Hafiz.
"Fiz sayangkan dia, mak." Bergetar suaranya. Hatinya dimamah pilu.
Melihat keadaan Hafiz, Sakinah turut menitiskan airmata. Bukan dia tak kasihan pada anaknya. Malah dia faham benar rasa sakit mencintai seseorang. Namun, emak mana yang tidak sakit hati bila anak yang ditatang penuh kasih sayang kini harus beristerikan wanita yang sudah tercemar maruahnya? Fitnah atau tidak, Ika Maryam sudah jadi buah mulut orang ramai. Maruah perempuan itu sudah tercalar. Jika Hafiz beristerikan dia, maka segalanya akan turut terpalit pada anak lelakinya itu. Dia tak sanggup membiarkan Hafiz mengharungi segala cacian dan makian hanya kerana dia menikahi Ika Maryam.
Dadanya terasa sendat. Wajahnya berkerut menahan sakit yang menyerang tiba-tiba. Hafiz dan Aisya menyedari keadaan itu dan segera mendekati Sakinah.
"Aisya, ambil ubat mak!" arah Hafiz pada adiknya. Gadis itu bergegas ke bilik tidur Sakinah dan keluar bersama ubat dan segelas air kosong. Hafiz mengeluarkan dua biji ubat dan diserahkan pada emaknya sementara Aisya menolong Sakinah meminum air dari gelas.
Hafiz cuba membantu Sakinah untuk berbaring tapi wanita itu mengeleng. Dia hanya mahu dibiarkan bersandar di kerusi. Wajahnya yang berkerut menahan sakit tadi mula beransur hilang. Dadanya sudah mula terasa luas sedikit. Jantungnya kembali mengepam dengan normal.
Semenjak dua menjak ni, kesihatannya agak terganggu tapi digagahkan diri untuk sihat demi melihat anaknya berkahwin. Dugaan yang datang menimpa kali ini hampir meragut impiannya untuk melihat Hafiz bahagia sebelum dia menutup mata. Dan jika kehendak Hafiz untuk meneruskan perkahwinan ini adalah peluang kedua untuk dia mencapai impian itu, maka dia bersedia menerimanya.
Sakinah beristigfar berkali-kali dalam hati. Bibirnya meratib selawat nabi. Hatinya ditenangkan supaya dia dapat berfikir tentang keputusan yang diambil.
Perlahan-lahan tangan Sakinah diletakkan dikepala anaknya. Hati Sakinah dicekalkan. Dia mahu melihat Hafiz mengecap bahagia dengan wanita pilihannya. Dia juga mahu ada yang akan menjaga Hafiz disaat sakitnya. Ada yang akan mengembirakan anaknya itu disaat duka.
"Mak izinkan." Ujarnya. Baik Hafiz juga Aisya, masing-masing terkejut dengan kata-kata yang keluar dari mulut emak mereka.
Hafiz menoleh untuk berdepan dengan ibunya. Tangan tua wanita itu segera diambil lalu diciumnya seraya tubuh itu dipeluk erat.
"Fiz akan bahagia, mak. Sampai bila-bila." Janjinya itu dibisik pada telinga Sakinah.

ANDA SEDANG MEMBACA
Di Bawah Payung Cinta
RomansaCinta yang ditatang Hafiz Aiman hancur berkecai pabila tunangnya, Ika Maryam bertindak curang. "Ika tau Ika dah lukakan hati Fiz tapi Ika minta tolong sangat. Kita jumpa. Sekejap pun jadilah sebab Fiz kena dengar dulu penjelasan Ika." - Ika Maryam "...