MUZAFFAR duduk di bangku kayu berkaki tinggi. Di depannya berdiri sebuah easel yang menjadi tempat pembaringan sebuah kanvas putih. Latar putih kanvas itu masih kekal tetapi di tengahnya kini terlukis wajah seorang wanita. Berus lukisan yang ditangan lelaki itu mewarnai raut wajah wanita di atas kanvas. Selama dia mewarna, selama itu juga bibirnya tak lekang senyuman.
Pemilik seraut wajah itu adalah arwah isterinya, Puan Sri Zaserina. Cinta pertama dan selamanya untuk Tan Sri Muzaffar. Jatuh bangunnya dia, wanita itu sentiasa di sisi. Dari waktu dia bekerja sebagai penjual sayur hinggalah dia mampu membina empayar perniagaan bernilai billion ringgit, wanita itu setia bersamanya.
Namun, takdir Tuhan menentukan yang Zaserina harus pergi menemui Sang Pencipta. Dia redha, namun rindu di hati bukan kepalang. Di depan orang ramai, dia dilihat sebagai ahli perniagaan veteran yang berkarisma tetapi disebalik tabir seorang Muzaffar, dia menanggung rindu yang amat pada arwah isterinya. Sepuluh tahun berlalu namun dia masih merindu wanita itu. Dia menanggung derita berjauhan dari isteri tapi dia berdoa setiap hari agar dia dipertemukan kembali dengan kekasih hatinya suatu hari nanti di alam sana.
Lakaran di kanvas itu hampir sudah.
Berus lukisan yang baru diambil dicelup ke dalam bekas yang mengandungi cecair biru lalu dipalitkan rona itu pada lakaran sebuah rantai berbentuk loket. Usai objek itu diwarna sempurna, ia menampakkan bentuk sebenarnya.
Ketukan di pintu mematikan senyuman Muzaffar.
"Tan Sri, Puan Salfina datang." Beritahu pembantu rumahnya.
"Erm." Dia membalas. Berus lukisan diletakkan. Lalu kanvas itu ditutup dengan kain. Dia menutup pintu bilik lukisan dan mendaki tangga ke tingkat atas.
Dalam pada menanti kedatangan bapa saudaranya, Salfina segera memasuki pejabat TS Muzaffar. Dia menolak kerusi beroda di belakang meja memudahkan dia membuka sebuah peti besi. Sesekali dia tercongok melihat ke arah pintu untuk memastikan tidak ada orang yang akan masuk. Dia sudah mengarahkan anaknya, Kaira untuk jadi pengawal di luar tapi anaknya itu pun bukannya boleh diharap sangat.
Dia membuka peti besi itu dengan nombor tarikh lahir arwah ibu saudaranya. "Klik." Terdengar bunyi pintu besi berjaya di buka. Salfina tersenyum lebar. Dia segera membuka pintu dan melihat ke dalam. Ada sekeping sampul bersaiz A4 di dalamnya. Dia segera mengambil keluar dan melihat isi sampul tersebut.
Dia mengetap bibir melihat nama yang tertulis dalam wasiat. Dia tak perlu baca butiran terperinci senarai harta bapa saudaranya itu. Yang penting hanyalah penama tunggal yang namanya ditulis sendiri dengan tulisan tangan TS Muzaffar.
"Mak kamu mana?" Sayup kedengaran suara TS Muzaffar dari luar menyebabkan Salfina kelam-kabut memasukkan kembali wasiat itu ke dalam sampul kemudian dimasukkan kembali ke dalam peti besi. Dia bergegas keluar ke koridor. Mujurlah kelibatnya keluar dari pejabat itu terlindung dari penglihatan sesiapa.
Dia berpusing mengambil jalan ke dapur dan kemudiannya memunculkan diri di ruang tamu.
"Pak Long! Lama tak jumpa. Rindu." Bagai bertahun tidak berjumpa, dia segera memeluk bapa saudaranya itu. "Pak Long sihat?"
"Alhamdulillah." Balasnya pendek. Tak terasa dia untuk berbalas tanya kesihatan anak saudaranya itu. Dari penglihatannya jelas wanita itu sihat sahaja.
Mereka bertiga duduk di ruang tamu sambil pembantu rumah menghidangkan air dan beberapa jenis kuih dan kerepek.
"Ada apa datang?" tanya Muzaffar. Tangannya mencapai cawan teh panas lalu dihirup.

ANDA SEDANG MEMBACA
Di Bawah Payung Cinta
RomanceCinta yang ditatang Hafiz Aiman hancur berkecai pabila tunangnya, Ika Maryam bertindak curang. "Ika tau Ika dah lukakan hati Fiz tapi Ika minta tolong sangat. Kita jumpa. Sekejap pun jadilah sebab Fiz kena dengar dulu penjelasan Ika." - Ika Maryam "...