Bab 7

3.5K 109 2
                                    

LAMAN RUMAH yang sepatutnya meriah dengan kedatangan tetamu yang berwajah ceria kini hanya dengan sekelip mata bertukar suram. Hadirin yang datang memakai pakaian berwarna kelam. Tangan masing-masing ringan menyapu air mata yang mengalir.

Kenduri kahwin yang dirancang berbulan lamanya kini bertukar menjadi kenduri tahlil untuk menghantar pemergian Sakinah.

Hanya bacaan ayat suci Al-Quran yang kedengaran dari dalam rumah. Namun, tangisan insan yang bersedih juga tetap kedengaran biarpun hanya seperti bisikan. Air mata yang bercucuran jatuh dari mata Aisya tidak lagi terkira. Hafiz pula cuba bertahan demi adiknya. Dia sedar dia harus kuat. Dia harus jadi tempat bergantung untuk Aisya. Jika kekuatannya runtuh, Aisya pasti akan lebih bersedih.

Sebelum jenazah ibu tercinta dibawa turun dari rumah untuk disembahyangkan dan kemudiannya disemadikan, Hafiz dan Aisya diberi kesempatan untuk mencium dahi jasad si ibu yang sudah tiada bernyawa. Peluang untuk mereka melihat wajah Allahyarhamah Sakinah untuk terakhir kali. 'Terakhir kali' hanya di depan mata tapi wajah Sakinah akan terpahat selamanya dalam fikiran dan dia akan hidup selamanya dalam hati kedua anaknya itu.

Hafiz terlebih dahulu mencium dahi ibunya dengan kucupan lembut. Dalam hatinya mengucap selamat tinggal dan mengungkap janji untuk menjaga adiknya dengan baik. 'Tenanglah mak di sana.' Ucap batinnya. Hafiz beranjak ke belakang untuk memberi ruang pula pada Aisya. Adiknya itu hampir tidak mahu melepaskan kucupun di dahi emak mereka hingga dia terpaksa memisahkan tubuh itu dari jenazah.

Jenazah akhirnya dibawa ke kawasan tanah perkuburan selepas selesai disembahyangkan. Bacaan talqin kemudiannya berkumandang terus meruntun hati tetamu yang menangisi pemergian wanita itu.

Usai semuanya, tetamu yang hadir mula beransur pulang. Ucapan takziah terlebih dahulu disampaikan pada anak lelaki allahyarhamah. Bahu pemuda itu disentuh berkali-kali tanda sokongan. Dalam kesedihan yang berbolak-balik, Hafiz gagahi diri untuk tersenyum pada mereka biarpun sukar. Senyumnya bukan tanda gembira tapi tanda terima kasih atas kehadiran mereka.

Hafiz menoleh pada pinggir pusara ibunya dimana Aisya dan jiran mereka, Mak Cik Zaharah masih duduk. Kelihatan seperti wanita itu sedang memujuk Aisya untuk pulang tapi gadis itu enggan beranjak dari tempat duduknya. Hafiz segera menghampiri.

"Tak apa, mak cik. Biar saya," Biarpun ayatnya tidak dihabiskan, wanita itu faham maksud lelaki muda itu. Dia tersenyum nipis dan mengangguk. Dibiarkan dua beradik itu disitu lalu beredar pergi.

Hafiz melulut berhampiran Aisya. Tangannya diletakkan di bahu. "Kita balik, ye?" pujuknya.

Aisya masih tak beranjak.

Perlahan-lahan dia gunakan kekuatan untuk membangunkan Aisya dari duduknya. Mujurlah adiknya mahu menurut. Tubuh itu terlalu longlai hingga Hafiz hampir terpaksa memapahnya.

Langkah demi langkah dibawa untuk keluar dari kawasan tanah perkuburan itu bila mereka bertembung dengan seorang wanita bertudung di depan mereka.

Ika Maryam sedang berdiri di hadapan. Wajahnya sayu. Dia memandang dua beradik itu wajah meminta untuk dikasihani. Hafiz segera merendahkan pandangannya. Dia mahu mengelak dari bertemu mata dengan perempuan itu. Dia tidak lagi mahu melihat walau seinci dari tubuh wanita yang bernama Ika Maryam.

Hafiz berjalan keluar tanpa mempedulikan Ika Maryam namun langkahnya terhenti bila wanita itu bersuara. Kakinya mahu berjalan terus tapi hatinya tak membenarkan.

"Maafkan, Ika." Ujarnya dalam sendu.

Hati Hafiz digigit sayu. Dugaan demi dugaan yang bertimpa dan hanya sepatah kata itu yang Ika mampu ucapkan padanya. Jurang antara dia dengan wanita itu semakin luas dan tak terlintas dihatinya untuk merapatkannya semula. Biarlah Ika di utara dan dia di selatan. Antara mereka, sudah tidak ada cinta lagi.

Hafiz meneruskan perjalanannya. Dengan setiap langkah perjalanannya, Hafiz meninggalkan cebis-cebis hatinya yang sudah tercarik dan tak mungkin bercantum kembali.

Saat dia berhempas pulas menjual pisang di pasar pagi dan membanting tulang di kilang beras, Ika pula sedang enak bersama Marwan. Dia dapat membayangkan tawa kedua mereka terhadap dirinya yang diperbodohkan.

Cintanya pada Ika Maryam membuatkan dia menjadi sebodoh Pak Pandir. Cintanya hanya lawak jenaka untuk wanita itu sedang dia menjunjung kasih mereka setinggi langit. Dia mencintai Ika dengan sepenuh hatinya tapi ternyata cintanya hanya jalan sehala. Dan jalan sehala itu penamatnya hanyalah jalan mati.

Di Bawah Payung CintaWhere stories live. Discover now