CINCIN EMAS ITU terus dipandangnya. Dia duduk di atas katil sambil memeluk lulutnya ke dada. Airmata yang sudah lama bergenang di tubir mata tumpah mengalir tatkala matanya dipejam.
Azan Isyak berkumandang dari surau yang berhampiran dengan rumahnya. Panggilan azan tidak pernah kedengaran begitu merdu dan sayu dalam hidupnya. Memang dia melakukan solat tapi dia juga seringkali meninggalkannya. Kalau dia mahu, dia buat. Kalau dia malas, dia tinggalkan saja. Hanya baru sekarang dia sedar betapa dia alpa dengan nikmat dunia hinggalah Allah menyedarkannya.
Bila azan berakhir, Alia lantas berwuduk dan mengenakan telekung lalu menunaikan kewajipan solat fardhu 4 rakaat itu. Berbeza dari solat yang sebelumnya, Alia lebih tekun dengan setiap bacaan. Dia dapat merasakan yang dia begitu dekat dengan Allah saat ini. Seolah ada jalan luas yang dibentangkan di depannya. Ada jalan pengampunan dan peluang kedua di hujungnya.
Selesai solat, Alia menadah tangan.
"Ya Allah, aku memohon ampun atas segala dosa-dosaku. Aku tahu begitu besar dosaku padaMu. Aku alpa dengan nikmat duniaMu. Aku meningkari laranganMu. Aku berzina. Aku meneguk arak. Aku berpakaian tidak menutup aurat. Aku," luahan Alia terhenti sejenak. Hatinya terlalu sebak mengenangkan kesilapan lalu. Bayangan dirinya yang bersama Ashman di bilik hotel datang menerjah. Bayangan dia dan Cheryl melanggah beberapa botol minuman keras di sebuah bar turut bermain di fikiran.
"Aku hambaMu yang lemah. Aku mohon kau terima taubatku, Ya Allah. Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri." Episod ngeri diperkosa oleh lelaki mental itu menjengah ruang minda. Bagi dirinya, itulah balasan atas dosanya yang seringkali melupakan Sang Pencipta.
"Aku mohon keampunanMu dan berilah aku peluang untuk mencari syurgaMu. Amin." Dia menyudahi doa dan menyapu wajah yang basah dengan air mata.
Selepas menyidai telekung dan sejadah, Alia kembali terpandang cincin pemberian Hafiz siang tadi. Biarpun pada awalnya dia tolak tapi Hafiz mahu Alia memikirkan persoalan itu untuk beberapa hari sebelum membuat keputusan. Namun, Alia tidak perlukan lebih banyak masa. Dia sudah memutuskan untuk menolak pinangan itu. Sekalipun, Hafiz ikhlas menerima dia seadanya, Alia tahu dia takkkan mampu menjadi seorang isteri yang baik sedang dirinya sebagai muslimah masih banyak cacat celanya.
Dia yakin ada wanita yang lebih layak untuk menjadi isteri kepada Hafiz. Wanita yang solelah dan yang masih suci dari noda hitam sepertinya.
Dia menghela nafas berat lalu menutup bekas baldu berisi cincin itu. Dalam hati dia mohon Hafiz akan berbahagia walau siapa pun wanita yang dikirimkan Allah untuknya nanti.

ANDA SEDANG MEMBACA
Di Bawah Payung Cinta
RomanceCinta yang ditatang Hafiz Aiman hancur berkecai pabila tunangnya, Ika Maryam bertindak curang. "Ika tau Ika dah lukakan hati Fiz tapi Ika minta tolong sangat. Kita jumpa. Sekejap pun jadilah sebab Fiz kena dengar dulu penjelasan Ika." - Ika Maryam "...