SEBUAH KERETA POLIS yang berhenti sejak 10 minit tadi menjadi tarikan penduduk di situ. Dua anggota polis yang menghilang ke dalam rumah tadi kini keluar dengan membawa seorang lelaki dengan kedua tangannya bergari ke belakang. Wajah kacaknya segera menjadi perhatian lensa kamera telefon bimbit milik tetangga di situ. Lelaki itu tersenyum pada "peminatnya" sebelum dia ditolak masuk ke dalam kereta penguatkuasa.
Sebelum kereta polis beredar, dua buah kenderaan lagi masuk ke kawasan itu selain sebuah ambulans. Kehadiran anggota polis yang lain menambahkan perbualan penonton yang sedia ada.
Tidak lama kemudian, tiga usungan yang bertutup plastik hitam dibawa keluar dari banglo dua tingkat itu.
"Ish, mayat ke tu?" terdengar persoalan itu keluar dari mulut seorang penonton.
"Mayatlah tu kalau dah tutup macam tu."
"Siapa lelaki yang kena gari tadi tu?"
"Dialah pembunuh agaknya."
"Ini rumah siapa sebenarnya?"
"Entah. Aku pun tak tahu."
AISYA duduk tercongok di depan tv bersama Hafiz. Sementara Hafiz sibuk memikirkan sesuatu, Aisya sedang fokus pada berita tergempar yang baru disampaikan pembaca berita.
"Suspek dikenalpasti sebagai Haznol Ghaz yang dilaporkan hilang sejak 5 tahun lalu. Dia dikatakan telah membunuh kesemua ahli keluarga itu dan kemudiannya menyamar sebagai anak lelaki kepada keluarga terbabit. Suspek menggunakan nama Irwan Rashid dan mengambil alih jawatan sebagai pegurus sebuah kedai buku di Damansara."
Hafiz memanggung ke arah skrin tv. Wajah Irwan atau nama sebenarnya Haznol kini kelihatan.
"Eh, abang. Tu bos Kak Alia lah." Ujar Aisya. Pertemuan sekali sewaktu di Mid Valley itu masih segar diingatannya. Wajah kacak lelaki itu tidak boleh dilupakan. Dia yakin lelaki itu yang sama.
"A'ah. Nama pun Irwan juga. Ya Allah, tak sangka. Meremang bulu roma." Aisya mengosok-gosok lengannya.
Hafiz menelan liur. Hatinya masih kacau mengenangkan yang Alia terpaksa bergelut dengan lelaki binatang seperti Haznol. Namun, dia masih bersyukur kerana Alia terselamat dari menerima nasib seperti keluarga tiga beranak itu yang dibunuh tanpa belas.
Hafiz mencapai telefon bimbit. Dia merenung nombor Alia Munirah. Lama juga dia merenung skrin itu. Akhirnya telefon itu diletakkan kembali di atas meja.
Rasa bersalah bersarang di sanubari. Kalaulah dia segera memujuk Alia sedari mereka pulang dari PWTC tempoh hari. Kalaulah dia segera menyarungkan cincin ke jari Alia. Kalaulah dia segera mengahwini Alia. Kalaulah Alia sudah tinggal serumah dengannya sebagai suami isteri. Semua ini tidak akan berlaku. Dia yang bersalah. Dia.
ATAS PUJUKAN Gina, Alia akhirnya bersetuju juga untuk bersua muka dengan Hafiz. Namun, syaratnya adalah untuk Gina setia disisinya sewaktu dia bertemu Hafiz. Dia takut dia tak kuat pendirian kalau dibiarkan sendirian bersama Hafiz. Hatinya kuat mahu bersama lelaki itu tapi dia tahu dirinya yang sudah cukup rosak. Dirinya terlalu kotor untuk menjadi suri hati Hafiz Aiman.
"Alia sihat?" tanya Hafiz. Dia menyesal sendiri bertanya soalan itu. Sudah terang yang kekasihnya itu tidak stabil emosinya tapi apa lagi yang mampu ditanya. Dia kehabisan kata.
"Alhamdulillah." Balas Alia. Terdengar getar di suaranya. Biarpun segala yang buruk telah menimpa tapi dia benar-benar bersyukur. Dia sedar dosa lampau. Dia terima kejadian yang menimpanya sebagai kafarah juga kesedaran dari Tuhan.
Hafiz terus memandang Alia namun Alia hanya menunduk. Wanita itu tak kuat nak bertemu mata dengan lelaki itu.
"Abang minta maaf sebab abang tak jaga Alia dengan baik. Abang yang bersalah." Perlahan-lahan Hafiz menuturkan kata.
Dahi Alia berkerut. Dia mengeleng perlahan. "Tolong jangan cakap macam tu." Kata maaf yang diungkap Hafiz membuatkan Alia jadi tak betah. Dia tahu semua yang berlaku salahnya. Permintaan maaf Hafiz hanya mengingatkan dia kepada kesalahannya sendiri. Dia yang tidak pandai menjaga diri sehingga dijadikan objek obsesif seorang lelaki mental.
Gina memegang erat tangan Alia. Dia terkejut dengan tangan temannya yang mengeletar kuat.
"Lia, kau okey? Kau nak stop? Berehat dulu." Cadang Gina. Risau pula dengan keadaan tubuh Alia.
"Takpe. Ini kali terakhir."
Ucapan Alia yang seperti bisikan itu dapat ditangkap Hafiz. Dia dan Gina saling berpandangan.
"Terakhir? Apa maksud Alia?" Pertanyaan segera dilontar Hafiz.
"Lia dah tak layak untuk jadi isteri abang. Isteri sesiapa pun. Lia dah..." Ungkapnya dalam menahan sebak.
"Lia. Kasih sayang abang tak berubah. Abang takkan tinggalkan Lia."
"Kenapa? Abang kesiankan Lia? Simpati? Abang takut dah tak ada lelaki lain nakkan Lia?" Dia menuduh terburu-buru. Fikiran yang kelabu membuatkan pertimbangannya kabur.
Baik Hafiz mahupun Gina sama tersentak dengan amarah Alia yang tiba-tiba.
"Bukan. Abang nak kahwin dengan Lia sebab abang sayangkan Lia. Abang nak Lia sebagai isteri. Sebelum semua ni berlaku, abang dah niat nak memperisterikan Lia. Abang sayang Lia waktu tu dan abang masih sayangkan Lia sekarang. Abang nak Lia jadi isteri abang. Jadi surihati abang." Hafiz mengeluarkan sebuah kotak kecil berbalut baldu hitam. Kotak berbentuk hati itu dibuka dan diletakkan di atas meja.
Sebentuk cincin emas bertatah batu biru terlihat oleh tiga pasang mata di ruang tamu itu.
Gina tersenyum. Dia menoleh pada Alia.
Mata Alia redup dan sedikit berkaca.
"Jadi percayalah Lia yang abang nak nikahi Lia kerana cinta, bukan simpati." Tambah Hafiz.

ANDA SEDANG MEMBACA
Di Bawah Payung Cinta
RomanceCinta yang ditatang Hafiz Aiman hancur berkecai pabila tunangnya, Ika Maryam bertindak curang. "Ika tau Ika dah lukakan hati Fiz tapi Ika minta tolong sangat. Kita jumpa. Sekejap pun jadilah sebab Fiz kena dengar dulu penjelasan Ika." - Ika Maryam "...