Bab 44

2K 50 0
                                    

IMPIAN SALFINA untuk menduduki takhta Muzza Holdings akhirnya menjadi kenyataan. Dengan sokongan yang diraih dari pemegang saham, Salfina berjaya mengetepikan Yvanna untuk duduk di kerusi tertinggi. Kemenangan itu dirai dalam sebuah majlis gilang gemilang yang diadakan di Dewan Benang Emas di Hotel Adikara. Kemeriahan dalam dewan diserikan dengan artis jemputan selain pertunjukan fesyen. Salfina telah mengeluarkan perbelanjaan besar untuk memastikan tetamu yang hadir terhibur dan berpuas hati dengan kemampuannya mengendalikan majlis.

"Macam mana dengan kehadiran tetamu jemputan? Semua hadir?" tanya Salfina pada pembantunya, Khaidir.

"Semua kecuali Datuk Muhsin Anif dan Puan Rashidah Merican." Balas Khaidir selepas menyemak tablet ditangannya.

Salfina menjungkit bibir. Dia tahu kedua mereka adalah penyokong kuat TS Muzaffar sekaligus Yvanna.

"Hantarkan saguhati untuk diaorang. Pastikan diaorang dapat tahu tentang kemeriahan malam ni." Arah Salfina. Khaidir mengangguk dan beredar untuk menjalankan tugas.

"Ma! Mama!" jeritan keriangan itu datang dari Kaira yang berlari ke arah Salfina lalu memeluknya.

"This party is awesome!" ujar gadis itu. Bau alkohol yang kuat dari mulutnya membuatkan Salfina hampir meloya. Dia melepaskan dirinya dari dalam pelukan Kaira.

"Behave yourself, would you? Mama dah jadi CEO sekarang." Ujarnya.

Kaira ketawa girang. "Ye. Mama dah jadi CEO. Kaira jadi apa mama?"

"Kaira nak jadi apa?" soal Salfina kembali.

"Kaira suka hotel ni."

"Maybe Kaira patut ganti tempat Yvanna. Esok mama akan bagi surat perlantikan." Tutur Salfina selamba lalu meminum dari gelas wain di tangannya.

"Mama, I love you so much!" Kaira memeluk erat mamanya sementara Salfina bergelut melepaskan pelukan anaknya itu. Bau minuman keras dari Kaira buat dia rasa nak muntah.

Sebaik Kaira pergi. Mata Salfina terpandang Yvanna yang hadir di majlis. Memang dia menjemput Yvanna tapi tak sangka pula wanita itu akan datang.

"Hai, Yvanna. Tak sangka you datang." Sapa Salfina tatkala mereka bertemu. Biarpun dengan bertumit tinggi, Salfina ternyata tak dapat menandingi ketinggian Yvanna yang hampir 180cm.

"Mestilah datang. Nak ucapkan tahniah dan nak bagi surat perletakan jawatan." Beritahu Yvanna dengan lancar. Dia menghulurkan sepucuk surat pada Salfina sambil tersenyum. Salfina pula menerimanya sambil tersenyum kelat. Sebenarnya dia sudah berangan untuk memecat Yvanna esoknya. Kalau sudah Yvanna datang meletak jawatan, tak dapatlah dia peluang untuk memecat wanita itu.

"Great. Lagi senang kerja I." Salfina berlagak tenang.

"I tahu sebab tu I nak permudahkan kerja you. I tak nak susahkan you untuk pergi pejabat pos dan poskan notis pemecatan I." balas Yvanna.

Salfina berdecit. "I tak perlu pejabat pos. I boleh emel you je."

Yvanna buat muka terkejut. "You ada emel? Wow, hebat! I tak sangka you tahu guna emel. I'm so sorry. Excuse me." Yvanna terus beredar meninggalkan Salfina terkebil sendiri.

Yvanna bertegur sapa dengan beberapa tetamu sebelum mengundurkan diri keluar dari majlis. Dia tiba di tempat letak kereta dan terus masuk ke dalam sebuah kereta yang pintunya segera dibukakan oleh seorang lelaki sebaik kelibat Yvanna kelihatan.

Yvanna menghenyakkan duduk dan disebelahnya TS Muzaffar sedang asyik membaca sesuatu di telefon bimbitnya.

"Macam mana dengan majlis?" tanya lelaki itu.

"Hanya Muhsin dan Rashidah tak hadir. Saya dah bagi surat perletakan jawatan."

"Good. Ambil cuti 3 bulan. Lepas tu, kita teruskan rancangan untuk Hafiz." Ujar Muzaffar sambil menghulurkan seuntai kunci pada Yvanna.

"Dan kalau tak sempat bertemu kembali, ini amanah awak." Ujar Muzaffar. Matanya memandang Yvanna. Wanita itu tersenyum kelat. Dia faham maksud lelaki itu. Dia kemudian keluar dari kereta dan berjalan ke arah kereta Ferrari miliknya.

Kereta milik Muzaffar memandu keluar dari kawasan tempat letak kereta sebelum dituruti Yvanna lima minit kemudian.


PENGURUS KEWANGAN Muzza Holdings tiba di pejabat Salfina tanpa diundang. Lelaki dalam usia 40-an itu dibenarkan masuk setelah mendapat kebenaran dari setiausaha Salfina.

"Hidzer, ada apa datang awal pagi ni?" soal Salfina yang sedang mengikis kukunya.

Lelaki itu meletakkan sebuah fail nipis di depan Salfina. Wanita itu tersenyum.

"I perlukan duit tu untuk dapatkan projek di Newcastle. Ada orang dalam yang boleh tolong. Peluang tak selalu datang. Kini kena bertindak cepat. Lagi cepat you tandatangan, lagi cepat I boleh majukan syarikat ni." Jelasnya.

"So, you nak rasuah 500, 000 ringgit?" soal Hidzer tidak puas hati.

"Jangan jadi bodoh, Hidzer. Dalam perniagaan tak ada rasuah, kita cuma bagi saguhati atas kerjasama yang diberikan. Itu saja." Jawab Salfina selamba.

Hidzer mengeluh. Nak bertengkar pun dia tak ada tenaga. "Mana kertas cadangan?"

Salfina mengjungkit kening.

"Kertas cadangan untuk projek Newcastle yang you cakap tu?"

"Er, projek ni masih dalam peringkat permulaan. I rasa lebih baik kalau dirahsiakan dulu. Bila dah sure, baru I akan keluarkan kertas...erm...kertas apa tadi?"

Hidzer mengeleng kepala. "I tak boleh authorize perbelanjaan sebanyak yang you nak tanpa kertas cadangan. I ada tanggungjawab untuk pastikan duit syarikat digunakan untuk perkara yang berfaedah."

Salfina berhenti mengikis kukunya dan merenung tajam ke arah Hidzer. Dia bangkit baru kerusi dan berjalan ke arah Hidzer. Lelaki itu terpaku di tempat dia berdiri. Wajah Salfina semakin menghampiri. Kedut di wajah wanita itu semakin jelas kelihatan.

"Sama ada you authorize pengeluaran duit tu atau I akan authorize pengeluaran you dari syarikat ni. Mudah, kan?"

Hidzer terdiam mendengar ugutan Salfina. Dia tahu wanita itu ada kuasa sepenuhnya ke atas dia. Tanpa sepatah kata pun lagi, Hidzer mendekati meja Salfina dan mengambil kembali fail yang diletakkan awal tadi lalu berjalan keluar dari pejabat itu. Wajah ketatnya sempat dilihat setiausaha Salfina yang terus menelefon Dahlia, setiausaha Yvanna.

Di Bawah Payung CintaWhere stories live. Discover now