MUG MERAH dikeluarkan dari dalam rak di dapur. Peket kecil Nescafe dibuka dan dituang serbuknya ke dalam mug yang tersedia. Dua sudu coffeemate di masukkan sebelum Alia mengangkat termos berisi air panas. Sambil menuang air panas, sambil itu juga dia tersenyum mengenangkan pinangan Hafiz tadi. Dia geli hati sendiri mengenang yang dia cedera ditumpahi air panas hanya kerana berangan tentang perkahwinan dia dan Hafiz.
"Ah!" Alia segera meletakkan termos. Kakinya yang tadi melecur sekali lagi dihujani air panas akibat digerak tak tentu arah. Segera dia berlari ke arah bilik air dan membasuh kakinya. Mujurlah rasa pedih beransur cepat. Hai, inikah yang dinamakan cinta? Tidur tak lena, mandi tak basah, air panas tumpah ke kaki...
Alia membawa mug ke ruang tamu. Dia leka melihat skrin telefon yang di dalam tangan. Sekali lagi Hafiz menghantar mesej bertanya keadaannya. Dia segera membalas biarpun waktu sudah menunjukkan jam 3 pagi. Takpelah, nanti dia bangun pagi, dia bacalah kan.
Sambil dia sibuk menaip dan senyum sendiri, kedengaran satu suara memanggilnya. Namanya disebut dengan nada sayu. Serentak bulu romanya berdiri. Lain macam saja suara tu.
Alia diam tak berkutik. "Alia." Suara itu semakin jelas kedengaran. Makin mendekat. Alia kuatkan semangat. Dia bangun dan terus saja berlari masuk ke dalam bilik tanpa menoleh ke belakang lagi. Pintu bilik dikunci dari dalam.
Dia meletakkan telinga di pintu. Tak ada bunyi-bunyian lagi.
"Alia!!! Hahaha!" Jeritan kuat membuat kaki Alia menjadi lembik lalu dia jatuh terjelepok ke lantai. Telefon bimbitnya tercampak jauh ke bawah katil. Pandangannya dipegun ke arah pintu bilik. Dia ingin bangun dan melarikan diri tapi seluruh anggota tubuhnya bagaikan diikat kemas. Dia tidak bisa bergerak walau seinci.
Seketika kemudian, pintu biliknya terbuka dengan sendirinya. Satu lembaga hitam yang tinggi perlahan-lahan masuk ke dalam bilik. Mata Alia yang terbuntang luas tak dapat ditutupkan sebaliknya terus terbuka kaku. Sebaik saja wajah lembaga itu kian jelas, pandangannya berbalam lalu kepalanya jatuh ke lantai. Dia tidak lagi sedarkan diri.
Imej Alia yang pengsan kini terpapar di sebuah monitor di suatu lokasi lain. Lelaki yang sedang memandang monitor itu bergegas menyarungkan jaket hitam dan topi. Kunci yang bersangkut di dinding dicapai seraya keluar meninggalkan bilik. Dia keluar dari rumah dan berjalan tergesa-gesa ke arah rumah sewa milik Alia.
Sebaik tiba di pintu pagar, lelaki itu menyeluk ke dalam poket, Dia membuka kunci mangga itu lalu masuk. Pintu depan Alia turut dibuka menggunakan kunci yang ada dalam gugusan kunci yang sama. Dia menolak masuk pintu dan memboloskan diri ke dalam rumah.
Dia masuk ke dalam bilik Alia dan mendapati gadis itu masih berbaring di lantai. Tubuh itu segera dicempung lalu diletakkan di atas katil. Dia memeriksa nadi gadis itu. Satu keluhan dilepaskan. Alia masih tak apa-apa. Dia tak pasti apa yang menyebabkan Alia pengsan. Dari monitor biliknya, dia hanya mampu melihat Alia dalam ketakutan tetapi dari monitor lain, dia tidak nampak ada sesiapa pun dalam rumah gadis itu.
Lelaki itu melihat raut wajah Alia. Tanpa segan silu, dia membuka sarung tangannya dan menyentuh muka Alia. Wajah itu diamati penuh rasa. Kening. Mata. Hidung dan bibir. Lelaki itu tersenyum melihat bibir gadis itu. Serentak dia mendekatkan wajahnya ke wajah Alia.
"Alia!" Kedengaran satu suara memanggil dari luar. Lelaki itu tersentak. Dia menutup lampu bilik Alia dan segera mendekatkan diri ke dinding di balik pintu.
Seorang wanita masuk berjalan ke dalam bilik Alia. Lelaki itu menggunakan kesempatan itu untuk menyusup keluar dari bilik.
Apabila suis lampu dipetik, keadaan sudah kembali seperti biasa.
"Alia ni sejak bila tidur tak kunci pintu semua ni?"
Gina menghampiri temannya. Tubuh itu ditepuk tolak. "Lia, bangun."
Alia mengerang sedikit sebelum membuka mata.
"Eh, kau kenapa tak kunci pintu semua? Pintu pagar pun terbuka tadi." Soal Gina.
Alia yang masih mamai bangun duduk di katil. Serentak dia teringat tentang misteri namanya dipanggil. Dia teringat yang dia melihat ke arah pintu bilik kemudian pandangannya terus hitam. Aku mimpi ke? Alia meragui diri sendiri.
"Aku mimpi..." ujarnya tidak yakin.
"Kau tertidur ke? Pastu lupa kunci pintu?" teka Gina.
"Ye kot?" Alia masih tak pasti.
"Ish, kau ni. Bahaya tau! Nasib baiklah tak jadi apa-apa. Dah la tidur balik. Aku pun nak tidur."
Alia kembali merebahkan tubuh sebaik Gina keluar dari bilik. Dia masih berfikir tentang kejadian tadi. Mimpi ke aku? Kalau tak mimpi macam mana aku boleh ada atas katil? Rasanya tadi aku dekat sana. Dia melihat pada tempat dia duduk terjelepok kemudian melarikan pandangan ke arah pintu bilik.
Herm. Mimpi lah kot. Takkan betul pulak. Hish, macam-macam lah! Aku tidur tak baca doa kot tadi. Alia sekadar membuat andaian kerana dia sendiri tidak pasti. Akhirnya, dia melelapkan mata.
Lelaki tadi kini sudah kembali ke dalam biliknya. Dia mengawasi monitor yang memaparkan bilik Alia. Rasa lega kerana dia tidak tertangkap dan rasa lega kerana Alia sudah sedarkan diri. Dia tersenyum sambil berpusing di atas kerusi beroda yang didudukinya. Putaran 360 darjah itu menampakkan ratusan gambar Alia yang ditampal di dinding bilik. Tidak ada ruang kosong antara kepingan gambar itu. Semua gambar itu menunjukkan jangka hidup Alia Munirah semenjak dia datang bekerja di Kuala Lumpur. Sebuah komputer diletakkan di atas meja turut memaparkan keadaan ruang rumah sewa Alia; di bilik, di ruang tamu, di dapur, di luar rumah dan di bilik air.
ANDA SEDANG MEMBACA
Di Bawah Payung Cinta
RomansaCinta yang ditatang Hafiz Aiman hancur berkecai pabila tunangnya, Ika Maryam bertindak curang. "Ika tau Ika dah lukakan hati Fiz tapi Ika minta tolong sangat. Kita jumpa. Sekejap pun jadilah sebab Fiz kena dengar dulu penjelasan Ika." - Ika Maryam "...
