LAPORAN POLIS telah dibuat berkenaan kes buli Aisya Hafizah. Alia yang mengambil peranan menasihati Aisya supaya berbuat demikian. Mahu tidak mahu, dia terpaksa bertemu jua dengan Hafiz. Tak mungkin mereka merahsiakannya dari lelaki itu.
Pada hujung minggu selepas kes itu, Hafiz membawa Aisya untuk membeli-belah di ibu kota. Itupun atas cadangan Gina. Katanya membeli-belah ni adalah terapi terbaik untuk kaum wanita. Tak habis tingkat bawah dironda, Hafiz dah letih. Alia pun sama. Akhirnya mereka membiarkan Gina dan Aisya meneruskan misi mereka. Alia dan Hafiz pula berjalan ke arah sebuah taman yang tidak jauh dari situ.
Mereka melabuhkan duduk di sebuah bangku panjang. Jarak antara mereka jauh sekali. Bunyi deruan angin yang menampar dedaun mengisi kesunyian yang wujud antara mereka. Keduanya tidak bertemu mata. Sebaliknya, mereka memandang lurus ke depan. Yang ada didepan mereka hanyalah hamparan rumput hijau di taman itu.
"Abang rasa... kita boleh bahagia ke kalau kita kahwin?" tanya Alia tanpa memandang Hafiz disebelahnya.
Hafiz menoleh ke kiri melihat sisi Alia. Dari sudut itu pun dia masih mampu melihat kecantikan wanita itu yang ayu bertudung biru langit. Dia memandang sejenak sebelum kembali melihat ke depan.
"Abang akan cuba sedaya untuk bahagiakan Alia." jawab Hafiz.
"Kalau Lia bahagia tapi abang tak bahagia, macam mana pulak?" Alia menduga.
"Kalau Lia bahagia, mesti abang pun bahagia. Kebahagiaan Lia, kebahagiaan abang." ujarnya selamba sambil tersenyum.
Senyumannya mati bila mereka saling memandang. Riak Alia masih serius. Tidak ada mood nak mendengar nada gurauan lelaki itu. Kahwin bukan suatu perkara yang mudah. Ia satu ikatan yang diharapkan berkekalan hingga hujung nyawa. Kalau sebut tentang kahwin, mesti bayangan kebahagiaan akan muncul di minda tapi bagaimana kalau perkahwinan mereka menjadi permulaan episod duka? Dia mahu satu kepastian dari Hafiz. Kepastian bahawa kebahagiaan akan jadi milik mereka jika mereka berkahwin.
"Abang tak kesah terima isteri... yang dah rosak?" Alia melontar bom yang serta merta meletup di pendengaran Hafiz.
Lelaki itu menghela kuat.
"Di mata abang, Alia masih sempurna. Takde cacat celanya. Manusia tak pernah sempurna tapi bila kita sukakan seseorang, rasa cinta tu akan menyempurnakan segala-galanya." ujar Hafiz. Kali ini dia lebih serius.
"Tapi Lia rasa kalau abang tau hal sebenar, mungkin abang takkan sukakan Lia lagi." ujarnya. Lintasan sejarah hitam bermain di minda.
"Hal sebenar? Abang dah tau segala-galanya, Lia. Abang dah baca report polis Lia." balas Hafiz.
"Bukan tentang...tu." Sukar Alia mengungkapkan peristiwa hitam hidupnya. "Masa Lia datang KL dulu, Lia dah mula berubah. Kalau nak ikutkan, dari awal lagi Lia memang budak bermasalah. Masa zaman sekolah lagi. Abang tau kan Lia macam mana zaman sekolah dulu...tapi Lia berubah sebab Lia sukakan abang dan Lia nak abang sukakan Lia. Lia berubah jadi baik demi abang.
Tak lama lepas tu, kita bertengkar. Lia bawa diri ke KL. Waktu tu, Lia rasa Lia tak perlu lagi jadi baik sebab abang dah takde. Abang dah bencikan Lia. Jadi, Lia cuba segala benda yang seorang gadis muda boleh cuba di bandar besar ni. Lia bebas. Takde siapa pun nak tegur. Takde siapa nak menghalang. Lia keluar masuk kelab malam. Lia minuman keras. Lia buat dosa dengan lelaki," Suara Alia pecah lalu bergetar. Segaris air mengalir di pipi.
"Tapi Lia dah tak buat lagi kan semua tu? Lia dah berhenti." Hafiz tidak terkesan. Dia yakin Alia sudah insaf selepas ditimpa musibah. Siapa dia untuk terus menghukum kalau Allah sendiri menjanjikan keampunan buat hamba yang bertaubat nasuha?
ANDA SEDANG MEMBACA
Di Bawah Payung Cinta
RomanceCinta yang ditatang Hafiz Aiman hancur berkecai pabila tunangnya, Ika Maryam bertindak curang. "Ika tau Ika dah lukakan hati Fiz tapi Ika minta tolong sangat. Kita jumpa. Sekejap pun jadilah sebab Fiz kena dengar dulu penjelasan Ika." - Ika Maryam "...
