Bab 4

4.1K 111 0
                                        

PINTU RUMAH diketuk kuat. Berkali-kali juga ketukan itu menumbuk pintu kayu rumah. Terasa getaran kecil di lantai. Keluarga Hafiz yang baru selesai qiyamullail bangkit dari duduk mereka disejadah dan bergegas ke ruang tamu. Bunyi ketukan kali ini tidak seperti biasanya. Malahan waktu pukul 4 pagi begini, memang tak pernah ada yang mengetuk.

Bila pintu dibuka, Azam, kawan Hafiz terpacak di ambang pintu.

"Ada apa, Zam? Awal pagi macam ni?" tanya Hafiz tercengang melihat wajah Azam yang tercungap. Dia sempat meliarkan mata ke sekeliling, manalah tau kawannya itu dikejar hantu atau orang ataupun binatang tapi ternyata tiada sesiapa di situ kecuali Azam.

"Ika. Tunang kau." Ujarnya termengah-mengah.

Hati Hafiz mula diburu resah. Ada benda yang tak baikkah jadi pada Ika? Kemalangan? Hafiz sudah terbayang segala kemungkinan.

"Ika kena tangkap basah."

RIUH-RENDAH satu kampung dengan berita penangkapan Ika Maryam dengan seorang lelaki bernama Marwan. Di sana-sini kedengaran sembang kisah kecurangan Ika Maryam pada tunangannya, Hafiz Aiman.

Kalau dikira, yang menanggung malu sudah tentu keluarga Ika dan yang diberi simpati pasti keluarga Hafiz tapi sebenarnya keluarga Hafiz juga turut menanggung malu. Dulang hantaran semua sudah disiapkan. Majlis hanya tinggal sebulan. Bala apakah yang menimpa dalam waktu genting ini?

Rumah yang dulunya jarang dikunjungi kini kerap kali dijengah orang-orang kampung yang bersimpati, juga ada yang mahu korek rahsia tentang apa yang terjadi. Jenuh Sakinah dan anaknya, Aisya melayan tetamu dan menyuruh mereka pulang dengan cara yang baik. Sakinah tidak mahu anak lelakinya terus tertekan dengan perbualan yang dapat didengarinya dari dalam bilik. 

Hati anaknya itu sudah cukup terluka. Remuk redam hatinya lebih teruk dari kereta yang dilanggar lori treler. Tidak perlu lagi dipukul dengan "pemberita" yang datang bertandang untuk mengkhabarkan juga berhujah soal penangkapan khalwat bakal menantunya.

"Mak, abang tu macam mana? Setenguk air pun dia tak nak minum. Risaulah Aisya, mak. Nanti abang sakit pulak." Lapor Aisya sebaik mendapatkan ibunya yang baru lepas menghantar pulang "pemberita" terakhir.

"Mana dulang?" tanya Sakinah sambil dia melangkah naik tangga ke dalam rumah.

"Aisya tinggal kat dalam bilik abang. Mana tau kejap lagi dia rasa nak makan ke?" ujar Aisya.

"Tak apalah. Aisya masuklah bilik. Biar mak pula yang cuba."

"Iyelah." Aisya berjalan masuk ke biliknya. Sakinah pula ke bilik Hafiz.

Pintu dikuak ke dalam. Sekujur tubuh yang sedang berbaring di atas katil ditenung sejenak. Raut anak lelakinya itu tak terlihat kerana dia berbaring menghadap ke dinding. 

Sengaja Hafiz menyembunyikan wajahnya dari pandangan. Dia tak mampu bertentang mata dengan sesiapa jua ketika ini. Hatinya yang luluh cuba dirahsiakan walaupun rahsia itu sudah terhampar luas untuk tontonan.

Selepas kehadiran Azam ke rumahnya sebelum Subuh tadi, dia bergegas keluar rumah dan bergerak ke rumah ketua kampung. Di situ dia bertemu dengan Ika dan Marwan selain keluarga mereka yang turut sama dipanggil. 

Rumah itu sudah agak penuh jadi Hafiz hanya berdiri di ambang pintu di belakang beberapa orang yang ada di situ. Kehadiran Hafiz tidak disedari. Malah, dia sendiri tidak pasti apa yang harus dilakukan dalam situasi sebegini. 

Dia hanya mampu menjadi penonton dan berharap semua ini adalah salah faham. Lebih baik kalau semua ini hanyalah mimpi. Lagipun sedari tadi, kakinya tak terasa memijak bumi.

Di Bawah Payung CintaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang