HAFIZ MEMANDU dengan sebelah tangan. Satu tangan di stereng, satu lagi memegang tangan Alia. Jalan yang mereka lalui juga agak lengang. Mungkin kerana mereka sekarang sedang menyusur keluar dari kesibukan ibu kota.
Putaran lagu A Thousand Years menambahkan suasana romantik dalam kereta Wira itu. Genggamam tangan mereka semakin erat bila lagu itu tiba di korus. Alia cuba menyanyikan lagu itu tapi bila tiba di bridge dengan not yang terlalu tinggi, suaranya jadi suara burung yang tercabut bulu. Serentak mereka berdua ketawa.
Bila lagu itu habis dan DJ mula bersuara, Hafiz dan Alia hanya melayan perasaan. Hafiz masih tekun memandu dengan tenang.
"Kita dah sampai." umum Hafiz memperlahankan kereta. Genggaman tangan mereka spontan terlerai. Alia menjenguk ke tingkap kereta. Dia sendiri tidak tahu destinasi yang dipilih Hafiz. Lelaki itu hanya memberitahu yang mereka akan makan malam di luar.
Hafiz keluar terlebih dahulu sedang Alia termenung memandang restoran di depannya.
Pintu tempat duduk Alia dibuka Hafiz. Lelaki itu menghulurkan tangan. Alia tersentak dari lamunan lalu menyambut huluran tangan Hafiz dan keluar dari kereta. Dia menelan liur memandang restoran itu. Dia kenal restoran itu. Bahkan dia kenal pemilik restoran itu.
"Erm, kita nak makan dekat sini ke?" tanya Alia. Dia teragak-agak nak masuk ke situ.
"Ye. Abang dah buat reservation." ujar Hafiz bangga.
"Erm, sini mahal lah. Apa kata kita pergi makan dekat tempat lain?" Alia cuba mengelak.
"Kenapa? Sinilah sedap. Sekali sekala makan mahal apa salahnya. Lagipun, abang mampu." ujar Hafiz sedikit kecewa. Seolah Alia memandang rendah pada kemampuan kewangannya.
Alia tersenyum kelat bila Hafiz menarik tangannya dan mereka berjalan masuk ke restoran itu.
Selepas tempahan meja disemak, pelayan membawa Hafiz dan Alia ke meja mereka. Dua buku menu diserahkan pada pasangan itu. Sedang Hafiz sibuk mencari hidangan yang sesuai untuk mereka, Alia pula tak senang duduk. Dia memandang ke sana-sini mencari seseorang.
Harap-haraplah, dia takde. Doa Alia dalam hati. Bimbang kalau lelaki yang tidak diingini itu muncul.
Alia kembali merenung buku menu ditangan. Harga yang tertulis di tepi hidangan agak mengejutkan. Dia menjeling pada Hafiz.
"Mahal lah. Kita balik jelah. Lia masak." pujuknya pada Hafiz bersungguh-sungguh.
Hafiz mengeluh. Maruahnya sedikit tergugat. Seolah Alia memandang dirinya cikai pokai. Mungkin dia tak ada kad kredit platinum tapi dia masih ada kad debit.
Hafiz buat tak peduli. Dia membuat tempahan untuk mereka berdua dan mengembalikan buku menu pada pelayan tadi.
"Lia tahu tak kenapa kita makan kat sini?" tanya Hafiz.
"Sebab lapar?" jawab Alia acuh tak acuh.
"Tau tak hari ni hari apa?" soal Hafiz lagi.
Alia terpinga. Hari ni bukan harijadi dia atau Hafiz. Kalau nak kata ulangtahun perkahwinan pun bukan sebab diaorang kahwin belum sampai setahun.
"100th days anniversary." bisik Hafiz tersenyum.
Alia termangu sekejap sebelum mengukir senyuman. Tak sangka Hafiz boleh ingat benda-benda macam ni. Selalunya lelaki memang susah nak ingat tarikh penting. Alia sendiri tak ingat tarikh 100 hari ni sebab dia sudah masak dengan perangai lelaki. Kalau dia seorang yang ingat, buat sakit hati je. Baik dia tak payah ingat. Bila dua-dua tak ingat, tak adalah kecewa sangat.

ANDA SEDANG MEMBACA
Di Bawah Payung Cinta
RomansaCinta yang ditatang Hafiz Aiman hancur berkecai pabila tunangnya, Ika Maryam bertindak curang. "Ika tau Ika dah lukakan hati Fiz tapi Ika minta tolong sangat. Kita jumpa. Sekejap pun jadilah sebab Fiz kena dengar dulu penjelasan Ika." - Ika Maryam "...