Bab 38

1.9K 58 5
                                        

TIGA CAWAN TEH diletakkan di atas dulang lalu dibawa ke ruang tamu. Alia meletakkannya di atas meja. Secawan diletak di depan Hafiz, secawan lagi pada Ika dan secawan untuknya.

"Terima kasih" ucap Ika. Suaranya agak serak.

Alia merenung ke arah Ika kemudian menoleh pada Hafiz. Lelaki itu melihat ke arah isterinya kemudian kembali pada Ika.

"Macam mana," Hafiz terhenti cuba mencari kata yang sesuai. "Macam mana Ika boleh jadi macam ni?"

Ika melihat sekilas ke Hafiz kemudian pada Alia dan kembali pada Hafiz. Dia menunduk. Lama juga dia berdiam. Namun, Hafiz dan Alia membiarkan. Mereka tak kisah menunggu. Tragedi yang menimpa Ika sudah tentu sukar nak diluahkan.

"Marwan. Dia yang buat." Jawab Ika akhirnya. Selendang yang dipakai dilap ke pipi menyapu air mata yang mengalir.

"Kenapa?" tanya Hafiz. Dia hairan. Sedangkan Marwan sukakan Ika. Terlalu sukakan Ika hingga sanggup merampas Ika dari dia. Kenapa lelaki yang sukakan Ika sanggup melukai dia?

"Dia nak kahwin dengan Ika tapi Ika tak nak. Dia kata kalau dia tak boleh dapat Ika, siapa pun takkan dapat. Ika ingat dia marah biasa. Tak sangka dia sanggup bertindak sampai teruk macam ni. Dia musnahkan masa depan Ika. Ika dah hilang semuanya. Keluarga Ika dah buang Ika. Muka Ika dah..." Dia terus menangis.

Hafiz hanya merenung simpati. Biarpun Ika pernah melukakan dia tapi dia tak pernah mengharapkan yang buruk buat wanita itu. Sedang dia cuma melihat dari jauh, tiba-tiba Alia sudah menghenyakkan duduk di sebelah Ika.

Hafiz menoleh ke sebelah. Terkejut juga dia. Tak perasan langsung yang isterinya sudah ke sofa di depan mereka.

Alia mengosok dan menepuk lembut belakang Ika. "Sabar ye, Kak Ika. Ujian Allah. Dia takkan uji kita lebih dari apa yang kita mampu." Nasihat Alia. Hafiz yang mendengar tersenyum nipis. Dia rasa terharu. Dia tahu hubungan Ika dan Alia bagai anjing dan kucing tapi mujurlah dalam keadaan ini, Alia mampu bertindak matang. Alia bukan lagi budak sekolah yang memberontak tapi dia sudah jadi seorang wanita dan isteri yang boleh dibanggakan.

Tanpa amaran, Ika mendekati Hafiz dan memegang tangan lelaki itu. Alia yang tersentak hanya terkaku melihat. Hafiz pula cuba melepaskan pegangan Ika.

"Fiz, tolong Ika. Fiz kena kahwin Ika. Ika dah takde siapa-siapa, Fiz. Ika ada Fiz sorang je. Ika minta ampun dengan Fiz tentang apa yang Ika dah buat dulu. Ika mengaku Ika salah. Ika berdosa dengan Fiz tapi tolonglah Fiz, Ika nak jadi isteri Fiz." Rayunya dalam tangis.

"Ika, bertenang. Bukan ini caranya." Balas Hafiz sambil cuba menghentikan Ika yang terus cuba memegangnya.

Alia yang tersedar segera mendekati kedua mereka. Dia cuba menenangkan Ika. Tubuh Ika cuba dibawa ke belakang menjauhi Hafiz. Ika terus bergelut. Dia menolak Alia kasar hingga wanita itu terdorong ke belakang.

"Ika, cukup!" jerkah Hafiz.

Ika tersentak.

Alia terkaku.

"Fiz simpati dengan apa yang berlaku pada Ika tapi Fiz dah kahwin. Fiz takkan kahwin dengan Ika."

"Tapi laki boleh kahwin 4. Apa salahnya kalau Fiz kahwin dua? Alia sanggup, kan?" soal Ika pada suami isteri itu.

Alia melarikan pandangan. Hafiz mencerlung pada Ika kemudian mengeleng.

"Fiz akan doakan yang terbaik untuk Ika. Fiz boleh tolong Ika dari segi kewangan tapi perkahwinan bukan jawapannya. Fiz harap Ika boleh terima. Itu keputusan muktamad." Ujar Hafiz bertegas.

"Sampai hati Fiz. Fiz tak sayang Ika ke? Sebab Ika dah cantik lagi?" Ika memanggung melihat ke arah Hafiz yang sedang berdiri.

"Fiz dah kahwin Ika. Fiz ada isteri yang Fiz sayang dan Fiz takkan tukar ganti dia dengan sesiapa pun. Antara kita Ika, hanyalah kawan yang pernah tinggal sekampung. Tak lebih dari tu. Ika yang terlebih dulu putuskan hubungan kita. Bukan Fiz. Sekarang Fiz dah ada hidup baru. Tolong jangan ganggu kami lagi." Tuturnya memberi amaran pada Ika.

Perlahan-lahan Ika bangun. Matanya tajam memandang ke arah Hafiz. Dia menoleh ke belakang pada Alia. Pandangan yang sama diberikan. Dia menapak mendekati Alia lalu berbisik ke telinga. "Pulangkan hak aku. Kalau tak, hidup kau takkan tenteram!" ugut Ika sebelum beredar keluar dari rumah itu.

Alia menelan liur. Pertama kali dia mendengar ugutan sebegitu. Tubuhnya semerta mengigil.

Hafiz pula mengekori Ika untuk memastikan wanita itu keluar dari rumahnya. Pintu pagar dikunci sementelah Ika pergi. Pintu rumah turut dikunci dari dalam.

Bila Hafiz masuk dia bertanyakan tentang apa yang dibisikkan Ika tadi. Alia hanya mengeleng. "Dia cuma cakap Alia perampas. Tu je. Ujar Alia. Dia tidak mahu menambah hangat hati Hafiz. Apatah lagi mengeruhkan keadaan. Biarlah ugutan Ika dilepaskan bagai angin lalu.

USAI SOLAT ISYAK, Hafiz bangun menyidai sejadah. Alia masih duduk di atas sejadah dan bertelekung. Dia memandang ke arah suaminya. Ada sesuatu yang ingin disampaikan. Hasrat hatinya yang sedari tadi menganggu perjalanan solat.

"Abang."panggil Alia.

"Erm?" sahut Hafiz.

"Apa kata kalau... abang...kahwin dengan Kak Ika?" cadang Alia akhirnya. Dia hanya melihat raut wajah Hafiz yang agak terkejut dengan usul itu.

Hafiz mengeluh. Dia kembali duduk berdepan wanita itu. Kedua tangannya memegang kedua belah tangan Alia.

"Abang tak boleh dengan dia. Abang hanya boleh dengan Lia. Ika tu macam mimpi ngeri. Sejak abang kahwin dengan Lia, mimpi ngeri tu dah hilang. Takkan Lia sanggup tengok abang kahwin dengan mimpi ngeri? Tak, kan?"

"Tapi, kesian kat dia." Ujar Alia pula. Entah kenapa hatinya jadi selembut ini melihat keadaan Ika siang tadi. Biarpun dia pernah membenci wanita itu semahunya, terbit juga rasa kasihan. Malah, dia terfikirkan juga jika perkahwinan Ika dengan Hafiz akan mengubah Ika menjadi orang yang lebih baik.

"Abang pun kesiankan dia tapi rasa kesian tak boleh bawa bahagia, Lia." Jelas Hafiz. Niat Alia cuba dihentikan.

"Abang tak nak kahwin sebab dia dah tak cantik?" soal Alia lagi.

"Abang tak boleh terima dia buat benda tak elok dengan Marwan."balas Hafiz.

"Apa bezanya Lia? Abang pun tau kan dosa Lia?" Alia merenung suaminya. Kalau difikirkan, dia dan Ika tidak jauh berbeza. Kedua mereka pernah dipalit noda hitam.

"Lain. Lia tak pernah curang dengan abang tapi Ika sanggup menduakan abang sewaktu dia dah pun jadi tunang abang. Abang maafkan dia tapi abang tak boleh lupa apa yang dia dah buat. Bukan setakat curang tapi dia dah jatuhkan maruah abang dan keluarga. Jangan sesekali Lia samakan diri Lia dengan dia. Lia segala-galanya untuk abang dan dia bukan siapa-siapa untuk abang." Tutur Hafiz berhati-hati. Semuanya ikhlas dari hati. Dia harap Alia mampu memahaminya kali ini.

Alia mengalah. Dia setuju dengan apa yang diberitahu. "Habis, apa kita nak buat?"

"Lia tak perlu buat apa-apa. Biar abang uruskan semua. Lain kali, kalau kata Ika datang. Jangan bagi dia masuk rumah. Telefon abang. Ataupun suruh dia telefon abang. Abang takut dia buat yang bukan-bukan pulak kat Lia masa abang takde. Ingat. Jangan sesekali bagi dia masuk." Pesan Hafiz.

Alia tidak mengangguk sebaliknya memandang sepi wajah Hafiz. Wajah polos Alia membuatkan Hafiz menyungging senyuman bermakna.

"Erm...tapi kalau Lia betul-betul ikhlas nak bagi abang kahwin satu lagi, tolong pinangkan Mira Filzah untuk abang, boleh?" ujarnya lagak serius.

Spontan Alia mengecilkan mata. Segera bantal tidur di atas katil dicapai dan tubuh Hafiz dicepuk berkali- kali. Hafiz yang tak tahan diserang terus berlari keluar. Alia hanya senyum dan mengeleng kepala dengan gelagat lelaki itu.

Di Bawah Payung CintaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang