Murni
"Ya Allah, selamatkan aku dari orang-orang jahat itu, Ya Allah."
Dada Murni bagai nak meletup kerana debaran dan ketakutan yang melanda. Mujur dia sempat menyorok disebalik tong sampah besar di belakang bangunan itu.
Bau meloyakan yang terbit dari lelehan air sampah membuatkan dia menekup hidung dan mulut dengan kedua-dua tangannya. Tekak mula kembang dan perut turut memulas.
Derapan kaki berlari kedengaran semakin dekat dengan tempat dia menyembunyikan diri. Murni terus menekup mulut sendiri sambil memejamkan mata. Cuba mematikan diri tanpa sedikit pun gerakan.
"Sial! Kita terlepas buruan. Celaka betul, phuiii!"
Bunyi derapan kaki terhenti diikuti bunyi garau suara seorang lelaki menyumpah seranah diri sendiri.
"Kaulah lembab sangat. Woii Boyak! kau punya pasal lah hidangan makan malam kita terlepas." Kedengaran satu lagi suara lelaki.
"Haah ye lah, aku ajelah yang lembab. Kalau kau lagi bagus kenapa kau pun terlepas jugak perempuan tu, bongok!" Suara lelaki yang dipanggil Boyak kedengaran mengah.
"Dah dah. Jom blah. Kang ada yang aku benamkan dalam tong sampah ni karang." Lelaki bersuara garau mencelah.
Tiba-tiba satu ketukan kuat kedengaran. Seekor kucing yang sedang menyelongkar isi tong sampah terkejut, lantas melompat keluar dari dalam tong sampah.
"Opocot mak kau. Babi punya kucing, tokojut den... sial lah!" Boyak melatah.
Murni yang turut terkejut semakin kuat menutup mulut. Airmatanya menitis bercampur dengan peluh ketakutan. Hatinya tak putus-putus berdoa agar tuhan menyelamatkan dirinya.
Murni membuka mata dan memusatkan pendengaran. Sunyi dan sepi. Tiada lagi kedengaran suara lelaki-lelaki yang mengejarnya.
Perlahan-lahan dia bangun. Matanya meliar memandang keadaan sekitar. Agak kelam kerana disimbahi lampu neon yang malap. Yakin keadaan telah selamat, Murni keluar dari belakang tong sampah besar itu.
Laju dia berlari meninggalkan lorong gelap itu lalu terus menuju rumah sewanya. Sempat dia menyumpah dirinya yang sengaja mencari masalah kerana tidak berfikir panjang untuk ikut jalan pintas gara-gara mahu cepat sampai rumah.
Akhirnya Murni selamat sampai di rumah sewanya. Lebih tepat lagi bilik sewa. Dia menyewa satu bilik kecil di tingkat satu rumah kedai disitu, kira-kira tiga blok bangunan jarak dari tempat kerjanya.
Cepat-cepat dia meloloskan diri sebaik sahaja pintu bilik dibuka. Pintu itu kemudiannya ditutup dan dikunci. Bau sampah yang melekat di pakaian membuatkan dia melupakan hasrat untuk melepaskan lelah dahulu.
Pantas diambil tuala mandi dan terus melangkah masuk ke dalam bilik air. Paip pancuran dibuka. berlumba-lumba air turun dari corong diatas kepalanya. Hampir setengah jam dia membersihkan diri. Kemudian terus sahaja dia mengambil wuduk.
"Terima kasih Ya Allah. Kerana kasih sayangMu aku terselamat. Alhamdulillah Ya Allah," Murni mengangkat doa kepada Al-Khalik. Benar-benar bersyukur kerana terselamat dari menjadi mangsa lelaki-lelaki jahat tersebut.
Kedua-dua tangan itu kemudian dilurut ke muka sambil melepaskan satu keluhan yang panjang. Usai berdoa dia menanggalkan kain telekung lalu melipatnya. Dia bangun dan menyidai sejadah di penyidai kecil ditepi katil.
Berkeriut bunyi besi katil usang yang dibeli dan diguna sejak 4 tahun lalu apabila punggungnya menyentuh tilam. Bantal dicapai lalu diletak diatas pangkuan. Kemudian telefon bimbit yang berada didalam beg tangan dikeluarkan.
Jam sudah melepasi 12 tengah malam. Mata tidak rasa mahu tidur. Dia melangut sambil matanya memandang skrin handphone. Tiada rasa mahu membuka sebarang aplikasi. Dadanya masih berdebar-debar apabila mengingatkan kejadian tadi.
Kali ini nasib menyebelahi dirinya. Esok lusa dia tak tahu. Sumpah dia tak akan ikut jalan pintas itu lagi. Hendak tak hendak kena juga hayun kaki ikut jalan yang lebih selamat.
Hendak ambil grab, dia malas nak keluar duit tambang setiap hari. Sudahlah gajinya kecil. Ditolak belanja makan, bayar sewa bilik, air, api dan sedikit simpanan untuk waktu-waktu kecemasan. Apa aje yang tinggal. Cukup-cukup sahaja sampai hujung bulan.
Sudah hampir empat tahun Murni bekerja sebagai promoter di sebuah pasaraya di bandar besar itu.
"Hurmm..." satu keluhan dilepaskan.
Bantal diletak kembali di atas tilam. Murni menepuk-nepuk bantal dan mengibas tilam dengan kain selimut. Perlahan dia merebahkan badan. Di usir segala benda yang bermain dalam kepala. Mata dipejam rapat-rapat.
Dengan lafaz bismillah Murni mula lena.
YOU ARE READING
Aku Dalam Dakapan Dia ✔
RomanceDia tidak mencari cinta, dia tidak mencari kasih sayang. Dia sudah lali hidup sendirian. Walau ada yang menghulur cinta, namun dia tidak terburu-buru menerima. Dia hanya menanti jodoh tiba ..... Segalanya dalam genggaman dan dakapan Dia... "Ya Allah...