Cili
Khaier meletakkan lengan atas dahi saat dia sedang berbaring. Sejak dia dan kedua ibubapanya sampai di kampung dari rumah Murni seminggu lalu, begitulah dia berkelakuan. Hilang segala rasa, hilang semangat dan terasa sangat kehilangan.
Telefon genggamnya turut sunyi. Sengaja di matikan nada bunyi. Jika ada panggilan penting atas perniagaan, dia punya satu lagi telefon genggam khas untuk tujuan bisnes. Tak perlu campur aduk urusan peribadi dengan urusan perniagaan.
Murni juga turut senyap. Segala urusan Rumah Mariah, biarlah ayahnya Pak Salleh yang berurusan dengan Murni. Dia sudah malas untuk ambil tahu. Dia tidak gembira dan sangat bersedih sekarang.
Sesekali timbul rasa menyesal apabila memperlakukan gadis sebaik Murni begitu. Kesal kerana tidak berfikir panjang. Sudah pasti rasa hormat Murni kepadanya sudah terhakis sedikit demi sedikit.
Ibunya sudah jenuh memberi nasihat. Sudah ibarat mencurah air ke daun keladi. Satu pun dia tak mahu dengar. Dalam keadaan begitu, digagahkan jua untuk ke kebun sayur. Hanya di situ dia rasa ada sedikit ketenangan. Dia sudah tidak melepak dan bermenung durja di tepi sungai belakang Rumah Mariah. Kini port lepaknya sudah bertukar. Nun jauh sedikit ke dalam hutan. Ada satu pondok kecil didirikan dalam dusun ayahnya.
Di sanalah dia akan pergi sekiranya dia inginkan ketenangan. Balik rumah ikut suka. Makan apa saja. Badan yang sasa mula kelihatan menyusut. Misai dan janggut tak terurus. Teruk sekali penangan cinta tak berbalas. Wajah yang tampan dahulu kini hilang seri. Kulitnya sudah tidak dijaga, dibiarkan terik matahari memamah wajahnya dari pagi hingga petang. Hitam dan berminyak.
"Apa nak jadi dengan kamu ni Khaier? Kalau iya pun cinta tak berbalas, jangan lah ikutkan hati sangat. Kalau nak sangat kahwin, kamu sebut saja siapa nama budak perempuan dalam kampung ni, biar mak dan ayah pergi merisik dan pinangkan untuk kamu."
Bebelan Mak Mai kedengaran suatu hari ketika dia balik ke rumah mencari nasi.
"Tak payah mak. Saya tak mahu. Mak jangan buat pasal." Jawab Khaier, membuatkan Mak Mai tidak tahu nak berkata apa lagi.
Ibu tua itu hanya mampu menggelengkan kepala. Suaminya Pak Salleh juga resah dengan ulah Khaier.
"Sabarlah nak. Mungkin betul Murni belum bersedia. Banyakkanlah berdoa yang baik-baik. Allah akan membantu kamu. Jangan terlalu memikirkan cinta kamu tu saja. Ingat Allah selalu." Nasihat dari Pak Salleh lebih kedengaran lembut pada telinga Khaier.
Dia tetap macam biasa, senyap. Sehingga adiknya Khaiera ikut masuk campur.
"Abang, kak Murni tu sombong sangat ehh? Konon dia dah hidup mewah, kaya berharta, berduit, kereta besar. Lansung dia tak pandang pun abang kan." Rasa nak dicilikan saja mulut si Khaiera oleh Khaier saat adik nya berkata begitu.
"Kenapa cakap macam tu. Kak Murni bukan macam tu. Abang lebih kenal dia dari kau. Jangan nak menuduh yang bukan-bukan pulak." Tinggi sedikit nada suaranya memarahi adiknya itu.
"Habis tu kenapa dia tolak cinta abang. Kenapa dia tak terima abang. Dia memang mudah lupa jasa dan budi baik mak dan ayah pada dia selama ni."
"Khaiera! Sekali lagi kau tuduh Murni macam-macam, jangan menangis pulak bila tangan abang hinggap kat muka kau. Jangan sampai berdarah mulut kau tu abang tumbuk. Baik kau diam."
Betul-betul menyinga dia dengan tuduhan semberono adiknya. Khaier tidak tunggu lama. Terus dia keluar dari rumah. Bimbang nanti ada yang akan terlantar di hospital gara-gara kena penumbuk.
Khaiera mengiringi pemergian Khaier dengan mimik muka mengejek. Entah apa yang hebat sangat dengan gadis bernama Murni itu kepada abangnya itu, dia pun tak tahu. Sampaikan abangnya boleh berubah 360 darjah.
*****
Dalam diam, Murni ada menghubungi Mak Mai bertanyakan keadaan Khaier. Apabila Mak Mai bercerita akan keadaan Khaier, Murni berasa amat bersalah. Sungguh dia tak sangka akan begini jadinya.
Kejadian di balkoni apartment masih segar diingatan. Walaupun Khaier tidak bertindak ganas, namun maruahnya hampir tercalar. Kejadian itu tidak diceritakan kepada Mak Mai.
"Murni, baliklah kampung. Biarkan abang Khaier tu. Kitakan masih keluarga. Mak rindu dengan Murni. Ayah pun selalu bertanya pasal Murni." Luah Mak Mai pada suatu hari.
"Bukan sekarang mak. Murni akan balik juga nanti. Mak jangan risau ya. Mak dan ayah jaga diri baik-baik. In shaa Allah panjang umur kita akan bertemu nanti," pujuk Murni.
"Hmmm , baiklah. Jangan ambil masa lama sangat nak ya. Semua orang rindu dengan kamu. Kalau boleh tolonglah kembalikan semangat abang kamu tu semula. Mak risau dia tertekan emosi dan jatuh sakit." Suara Mak Mai lemah sekali. Terdengar esak tangisnya dihujung talian.
Terasa sakit kepala apabila memikirkan segala permasalahan.
![](https://img.wattpad.com/cover/165224942-288-k667227.jpg)
YOU ARE READING
Aku Dalam Dakapan Dia ✔
RomanceDia tidak mencari cinta, dia tidak mencari kasih sayang. Dia sudah lali hidup sendirian. Walau ada yang menghulur cinta, namun dia tidak terburu-buru menerima. Dia hanya menanti jodoh tiba ..... Segalanya dalam genggaman dan dakapan Dia... "Ya Allah...