Siapa?
Malam itu Murni ketiduran di sofa. Letih seharian bekerja dicampur dengan sakit kepala, membuatkan dia merasa seperti hendak demam.
Dua biji panadol menjadi santapan sebagai penahan sakit.
Tiba-tiba terasa pipinya seperti diusap. Dalam keadaan sangat mengantuk, Murni cuba menepis. Usapan itu beralih ke rambut, kemudian hidung dan bibir. Dalam keadaan begitu, dia cuba membuka mata. Dirasakan seperti ada seseorang yang sedang duduk disebelahnya dan sedang merenungnya.
Dia cuba bangun.
Tubuhnya sukar untuk bergerak. Entah kenapa ruangan sofa itu menjadi agak sempit dan menyukarkan untuk dia beralih memusingkan badan. Kelopak matanya juga tidak mampu dibuka.
Antara lena dan jaga dia nampak seekor ular hitam yang sangat besar seperti sedang mendekati.
Ular menjalar pantas, dan Murni tidak mampu lari. Akhirnya ular itu berjaya membelit tubuh Murni. Dia meronta-ronta untuk melepaskan diri dari belitan ular besar itu namun sia-sia. Belitan ular semakin kuat mencengkam tubuh Murni.
Belitan ular yang semakin kuat membuatkan nafasnya sesak. Murni hampir lemas. Dia cuba menjerit namun tiada suara.
"Shhhh... shhhh... shhhhh,"
Kedengaran suara bisikan ditelinga. Berkali-kali dia mendengar bisikan itu diulang-ulang seperti sedang didodoi seseorang sehinggalah dia berasa semakin tenang dan selesa. Dalam samar cahaya diruang tamu dia nampak ular hitam itu menjauh lalu hilang dari pandangan.
Murni terjaga dari tidur saat terasa seperti angin sejuk menampar wajahnya. Dia memerhatikan sekitar ruang tamu. Pakaian kerja masih terlekat ditubuh. Kepala juga sudah tidak sakit lagi.
Dia cuba untuk ingat kembali apa yang berlaku.
Murni bangun menuju ke dapur. Kosong. Tiada sesiapa. Kak Yati belum balik lagi. Dia mengatur langkah ke bilik tidur. Sempat dia melihat jam yang terlekat di dinding.
Hampir jam 5am.
Tiba-tiba dia teringat pada Khaier. Semalam mereka ada berjumpa, tapi selepas itu dia tidak tahu kemana Khaier pergi.
Bunyi deringan telefon menyedarkan Murni dari lamunan. Nama ayah angkatnya Pak Salleh timbul di permukaan skrin.
Segera dia menyentuh butang hijau untuk menjawab.
"Assalamualaikum ayah."
Rasa sedikit pelik kerana panggilan yang diterima pada waktu menghampiri subuh begini.
"Ada apa ayah call awal-awal pagi macam ni, ada hal penting ke?"Cepat-cepat dia bertanya.
"Murni balik kampung ya hari ini jugak." Suara Pak Salleh kedengaran jauh. Ada nada sebak pada suara tua itu.
"Kenapa ayah. Mak sakit ke?" Jantungnya berdebar kencang. Baru dua hari dia balik kampung, Mak Mai kelihatan sihat sahaja.
"Bukan mak tapi Khaier. Baliklah. Ayah dan mak tunggu kamu, balik ya nak." Suara sayu Pak Salleh benar-benar membuat dadanya berkocak hebat.
Kenapa dengan Khaier. Apa yang berlaku. Persoalan itu menyesakkan lagi perit didadanya.
Panggilan ditamatkan.
Tuala mandi dicapai. Terus dia melangkah memasuki bilik air. Usai membersihkan diri, dia mengambil wuduk dan terus bersiap untuk menunaikan solat isyak yang tertangguh akibat ketiduran selepas makan ubat tahan sakit semalam.
Walupun hatinya berkecamuk dan tidak tenteram, dia mengambil kitab terjemahan Al Quran. Membuka lembaran mencari surah yang sesuai seraya membacanya sementara menanti masuk waktu solat subuh.
Mungkin hari ini dia akan mengambil cuti sakit ataupun cuti kecemasan. Dia berkira-kira hendak menghubungi Hakim untuk memaklumkan akan cuti yang mahu diambil.
Sayup-sayup suara azan subuh berkumandang dari sebuah masjid berhampiran.
*****
Dua helai blouse berlengan panjang dan seluar panjang serta sehelai tudung jenis sarung ringkas juga sehelai dua pakaian dalam dimasukkan ke dalam beg galas.
Telefon genggam dicapai. Jarinya mendail nombor talian Hakim. Tidak lama, panggilannya dijawab oleh lelaki itu.
Setelah itu dia keluar dari bilik terus ke dapur. Mencari sedikit makanan buat alas perut. Beg galas diletak diatas meja bersama sling bag yang berisi barangan peribadi.
Dentingan notifikasi dari telefon berbunyi. Segera dia membaca. Bimbang ada pesanan dari keluarga di kampung.
- Tunggu saya sampai. Saya akan hantar awak balik kampung. Saya pun ambil cuti hari ni - Hakim
Murni membiarkan tanpa membalas. Dia mencapai kunci kereta dan kunci rumah lantas melangkah ke pintu. Dia akan menunggu Hakim diluar apartment sahaja.
Jam di dinding menunjukkan pukul 6.45am.
YOU ARE READING
Aku Dalam Dakapan Dia ✔
RomansaDia tidak mencari cinta, dia tidak mencari kasih sayang. Dia sudah lali hidup sendirian. Walau ada yang menghulur cinta, namun dia tidak terburu-buru menerima. Dia hanya menanti jodoh tiba ..... Segalanya dalam genggaman dan dakapan Dia... "Ya Allah...