Bertemu lagi
Rantai leher yang dihadiahkan oleh Anif Zayyan, masih tersimpan di dalam kotak baldu biru.
Setiap pagi sejak seminggu lalu, jambangan ros merah siap digubah cantik sudah berada di atas meja di pejabatnya.
Dari mana Anif Zayyan dapat tahu alamat tempat kerjanya, Murni kurang pasti. Dia masih belum berkesempatan untuk bertanya.
Lagipun lelaki itu jarang menghubungi Murni. Jadi memang betullah sangkaan dia selama ini, Anif Zayyan hanya pandai bergurau dan seorang sweet talker. Kata-kata selamba yang tak memberi makna apa pun.
Murni tidak mahu berharap apa-apa dari perkenalannya dengan Anif Zayyan. Dia tidak mahu terlebih mengharap bimbang tertipu dengan mainan perasaan.
Namun setiap kali dia membaca nota kecil didalam kotak baldu biru, Anif Zayyan menganggapnya gadis istimewa. Untuk apa nota itu jika sehingga kini Anif Zayyan tidak pernah sekali pun menghubungi dia.
- Hadiah kecil buat gadis yang istimewa di hati Anif Zayyan -
Berulang kali dibaca. 'Mungkin aku hanya kekal istimewa sebagai kenalan. Tidak lebih dari itu,' desis hatinya.
*****
Bangunan di situ tidak dilengkapi dengan tempat letak kereta di bawah bangunan. Pekerja atau pelawat meletakkan kenderaan masing-masing di satu kawasan lapang di hadapan bangunan. Ini adalah sebagai langkah keselamatan kepada semua kakitangan dan juga pelanggan yang berurusan di syarikat Timbers & Mines.
Malam itu Murni keluar dari pejabat agak lewat dari biasa. Banyak kerja yang perlu dibereskan. Murni hanya bersendirian. Kebetulan pula Hakim sedang berada di luar kawasan.
Sebaik sahaja Murni menghampiri kawasan letak kereta, matanya sudah terpandang satu jambangan ros merah terletak elok di atas bumbung X70 miliknya.
Bagai tahu siapa yang meletakkan jambangan bunga itu, Murni memerhati disekitar kawasan. Tiada sesiapa pun di situ.
"Hai awak." Satu suara menyapa membuatkan Murni sedikit terkejut. Jantungnya sendiri berdegup kencang tak tentu arah. Pertama memang sebab terkejut, kedua sebab tak sangka akan bertemu lagi dengan pemilik suara itu.
Pantas Murni menoleh. Anif Zayyan sedang berdiri sambil tersenyum tidak jauh dari situ.
"Sejak bila awak berada di sini." Soalnya.
"Saya baru sahaja sampai dari tanah tinggi. Maaf sebab saya datang mengejut begini." Ujar lelaki itu.
"Awak datang dengan siapa?"
"Dengan kawan. Kebetulan dia ada urusan di sekitar bandaraya, saya tumpang kenderaan dia sampai ke sini."
"Macam mana awak tahu saya bekerja di sini?"
"Dari Kak Yati. Saya minta alamat tempat kerja awak dari Kak Yati waktu awak masih di tanah tinggi." Jawabnya jujur.
"Awak komplot dengan Kak Yati rupa-rupanya!"
"Ye lah, kalau tak berkomplot mana saya nak tahu awak kerja dan tinggal dekat mana. Dan sudah tentu, jambangan ros merah segar tidak akan sampai setiap pagi ke pejabat awak."
"Hurmm. Ni dah makan malam ke belum? Kalau belum, jom saya belanja awak makan."
"Belum, ni tengah lapar sangat dah ni." Murni hampir ketawa mendengar jawapan dari Anif Zayyan.
"Dah jomlah. Bukan main lagi awak soal siasat saya ya." Anif Zayyan mengambil jambangan bunga dari atas bumbung kereta.
"Macam biasa ros merah untuk gadis istimewa di hati." Bunga itu diserahkan kepada Murni.
"Asyik bagi bunga jer." Bibirnya dijuihkan, tetapi sempat didengari oleh Anif Zayyan.
"Habis awak nak apa, nak saya hantar rombongan meminang awak ke...sila bagi tarikh cepat." Tinggi nada intonasi suara lelaki berkulit cerah itu.
Ketawa Murni terlepas. Lelaki itu tetap selamba dalam kata-katanya.
"Awak ni kan, tak habis-habis nak bergurau." Ujar Murni.
"Ada nampak saya bergurau ke, wahai Cik Murni sayang?" Balas lelaki itu.
"Erkkkk....."
Murni jadi terkedu seketika, namun pantas mengawal diri. Rama-rama dalam perutnya jadi gempar.
"Kenapa senyap pulak, tadi bukan main banyak soalan." Masih dalam mood bergurau.
"Err tak ada apa-apa. Kita dah sampai dah ni." Tergagap-gagap pula Murni malam ini.
'Ini semua lawak selamba punya pasal,' desisnya.
Mereka turun dari kenderaan dan berjalan seiringan menuju sebuah restoren makanan laut. Mereka memilih meja yang terdapat diluar restoren.
"Awak sihat ke?" Soalan kanak-kanak tadika mana pula yang dia pinjam. Sudah tiada soalan lain ke apa! Sudah caca marba fikirannya.
'Kenapa jadi begini, ya tuhan,' bisik hatinya.
"Ha la, sihat aje ni kan. Kalau saya sakit kita tak dapat jumpalah malam ni. Tak gitu?" Yang lelaki ini pula tak habis-habis dengan telatahnya.
Makanan yang dipesan akhirnya mendarat di atas meja.
"Awak tak rindu saya ke?" Sekali lagi rama-rama dalam perut Murni terbebar.
"Anif Zayyan, awak ni kan!" terluah hanya dalam hati.
ANDA SEDANG MEMBACA
Aku Dalam Dakapan Dia ✔
Любовные романыDia tidak mencari cinta, dia tidak mencari kasih sayang. Dia sudah lali hidup sendirian. Walau ada yang menghulur cinta, namun dia tidak terburu-buru menerima. Dia hanya menanti jodoh tiba ..... Segalanya dalam genggaman dan dakapan Dia... "Ya Allah...
