Rasa
Satu perasaan yang sukar untuk dia mengertikan. Ada rasa halus tajam setiap kali dia teringat akan sikap Khaier kepadanya. Memang mereka sudah kenal agak lama semenjak dari umur 10 tahun. Beza dia dengan Khaier hanya berjarak 5 tahun sahaja.
Masa kecil dahulu, dia kurang rapat dengan Khaier kerana sedar dia cuma hidup menumpang kasih sayang Mak Mai dan Pak Salleh. Namun kedua orang tua itu tidak pernah pula membezakan diri anak-anak mereka dengan Murni. Semua dilayan dengan sama rata.
Mimpi yang dialami malam semalam memang membuatkan tubuhnya sedikit menggeletar apabila membayangkan ular hitam yang muncul dalam mimpinya. Apa makna mimpi itu dia tak pasti. Jika boleh dia tak mahu perkara tak elok berlaku keatas mereka sekeluarga.
Satu dentingan notifikasi terbit dari telefon genggam yang di letak di sisi kiri meja kerjanya. Usai sarapan pagi tadi, dia terus bergegas ke kilang perabot. Dalam satu bulan, dua kali dia akan menjenguk operasi di kilang perabot. Syamil menjadi pembantu kanannya di situ, merangkap sebagai pengurus kilang. Lelaki itu sangat-sangat boleh diharapkan untuk memikul tugas dan amanah syarikat.
Segera dia mencapai telefon. Laman sembang WhatsApp dibuka.
Matanya meliar menatap skrin telefon. Ada banyak tanda hijau yang memerlukan untuk dia buka satu persatu sebelum membaca. Dari atas ke bawah dia memilih mana satu yang mahu dibuka dahulu. Mata nya terhenti pada nama Khaier. Terus jarinya menyentuh skrin tepat pada nama Khaier.
"Abang nak pergi jumpa awak nanti. Mungkin abang akan ke rumah awak bersama mak dan ayah..."
"Tarikh dan hari abang bagitahu kemudian."
Pesanan itu terhenti di situ.
Serta merta dia teringat kepada beg kecil pemberian Khaier. Isinya sudah dilihat berkali-kali. Namun dia tidak terasa untuk membincangkan mengenainya dengan Khaier. Dia malas.
Pesanan dari Khaier hanya dibaca. Tiada rasa hendak membalasnya. Biarlah.
Dibuka lagi pesanan yang lain. Dari Hakim. Rajin pula Hakim menghantar WhatsApp. Selalunya Hakim akan menalipon dia terus. Kali ini Hakim singgah di laman sembang pula.
"Balik pejabat sini tak, jom dinner dengan saya malam ni..." - emoticon si kuning sedang mengenyit mata.
Murni tersenyum.
"Boleh jer. Lepas pukul 3 petang baru saya balik pejabat sana."
Hakim ternyata sedang online. Sekejapan hantarannya dibalas.
Hakim menghantar emoticon si kuning sedang tersenyum di bibirnya terselit bentuk love sebagai tanda suka.
Murni masih tersenyum. Telefon diletakkan semula di sisi.
*****
Khaier masih duduk termenung. Sungai di belakang Rumah Mariah mengalir tenang. Hari sangat redup kerana naungan pokok-pokok hutan dan pokok buah-buahan yang semakin merendang. Kawasan itu memang sengaja ditanam dengan pokok supaya boleh dijadikan tempat rekreasi dan berkelah di tepi sungai.
Hantaran WhatsApp kepada Murni tidak berbalas. Hanya blue tick. Murni membaca tetapi tidak membalas.
Khaier mengeluh perlahan. Dia bangun dan turun ke batu-batu besar ditebing sungai. Perlahan-lahàn dia meranduk air sungai yang sejuk sehingga ke paras betis. Dia sendiri tidak tahu apa yang dia mahu lakukan. Akhirnya dia hanya duduk berendam dalam air sungai yang jernih dan sejuk itu dan terus menyambung menungan.
"Banyakkan berdoa, mungkin dia masih belum mahu memikirkan jodohnya lagi. Kamu bersabarlah ya." Itu kata-kata semangat dan nasihat dari ibunya, Mak Mai yang tahu akan kemelut hatinya.
Dia hanya diam. Menunduk pandangan. Hati dan perasaannya begitu terdera dengan teruk sekali.
Kenapa cintanya tidak dibalas. Rasa rindunya juga tidak berbalas. Sungguh dia kecewa.
YOU ARE READING
Aku Dalam Dakapan Dia ✔
RomanceDia tidak mencari cinta, dia tidak mencari kasih sayang. Dia sudah lali hidup sendirian. Walau ada yang menghulur cinta, namun dia tidak terburu-buru menerima. Dia hanya menanti jodoh tiba ..... Segalanya dalam genggaman dan dakapan Dia... "Ya Allah...