Pilih
Hakim membelek brosur yang dipegang. Ada lebih dari dua brosur dari beberapa syarikat yang berlainan diberi oleh Aida setelah dia memintanya awal pagi tadi. Baru sekarang dia ada masa senggang untuk melihat isi brosur tersebut.
Teringat pada perbualan bersama ayah dan ibunya malam tadi. Raja Hazman mahu Hakim menyediakan sebuah kereta untuk kegunaan Murni. Kenderaan yang akan memudahkan pergerakan Murni.
"Macam mana pula dengan rumah?" Tanya Puan Sakinah kepada suaminya. Mereka sedia maklum bahawa Murni menyewa bilik bersendiran.
"Pasal rumah, abang rasa Murni boleh tinggal dengan kita di sini. Itu pun kalau awak setujulah." Matanya merenung Puan Sakinah.
Isterinya itu memang kepingin mempunyai anak perempuan. Cuma takdir Allah Swt hanya Hakim sahaja menjadi satu-satunya anak mereka.
"Saya tak ada masalah kalau Murni tinggal dengan kita. Hakim macam mana pula?" Puan Sakinah memandang Hakim.
"Hakim pun tak ada masalah. Lagipun Hakim bukan ada selalu dekat rumah ibu." Hakim sudah memiliki rumah sendiri. Sebuah penthouse di sebuah bangunan 20 tingkat berhampiran dengan bangunan syarikat kepunyaan mereka.
"Kalau semua setuju, kita tanya Murni pula. Hakim uruskan ya." Raja Hazman menyerahkan tanggungjawab kepada Hakim.
"Baiklah ayah."
Brosur di tangan diletak semula. Belum ada pilihan model yang benar-benar sesuai yang dia sendiri berkenan untuk diberi kepada Murni.
Butang interkom ditekan. Mengarahkan Aida masuk ke bilik.
"Murni mana?" Muncul pertanyaan sebaik sahaja Aida masuk. Sejak lepas rehat tengahari tadi, dia tak nampak kelibat Murni. Pagi tadi rasanya Murni memang ada masuk ke pejabat.
"Ohh, Cik Murni pergi ke kilang perabot. Tapi tak tahu pula saya untuk apa dia ke sana." Jelas Aida.
"Murni pergi dengan siapa. Dia bukan tahu kilang itu di mana." Pelik, kenapa Murni tidak memberitahu dia. Lagipun kilang itu agak jauh dari bandar.
"Syamil yang bawa. Mulanya Syamil tak mahu, tapi lepas di desak, akhirnya Syamil setuju untuk bawa Cik Murni ke sana." Jelas Aida.
"Hmm, tak apalah. Saya call Syamil kejap lagi. Awak keluar dulu. Terima kasih." Hakim mencapai telefon bimbit. Nombor Syamil dicari.
Ketukan di pintu kedengaran. Aida yang mahu keluar membuka pintu. Khadija melangkah masuk tanpa segarit senyuman. Perkara yang sangat biasa bagi Aida.
"Hai, Hakim. Jom temankan I beli barang." Khadija berjalan menghampiri meja Hakim. Sebelum itu matanya melirik ke sofa. Kosong.
'Mana pembantu you. Selalu ada je kat dalam bilik you ni." Terasa lega kerana Murni tiada di situ.
"Dia pergi ke site. Tinjau kilang perabot di sana." Jawab Hakim. Tidak jadi dia hendak menghubungi Syamil. Telefon diletak kembali.
"Wow, rajin juga pembantu you tu. Ingat pandai duduk goyang kaki je." Sinis sekali sindiran Khadija terhadap Murni.
Hakim hanya mendiamkan diri. Tunangnya itu pasti tiada kerja. Sebab itu datang ke pejabat mencarinya. Kalau tidak, berminggu juga mereka tidak bertemu. Khadija kalau bukan berada di agensi, pastinya akan berada di luar negara.
"You, jomlah temankan I. Lama kita tak keluar bersama kan. I lapar lah, belum makan lagi. Lepas makan kita pergi shopping ok." Masih berusaha mengajak Hakim. Sengaja dilembutkan suara sambil beraksi manja.
"Ermm, sekarang kan waktu pejabat. Tunggulah habis kerja, kejap lagi kita pergi ok." Hakim cuba berdiplomasi.
Khadija melihat jam tangan yang dipakai. Bulat matanya.
"You, lambat lagi lah nak habis kerja. Lagi dua jam. Apa yang I nak buat duduk lama-lama dekat sini. Bosanlah." Semakin mengada-ngada pula karenah Khadija pada Hakim.
"You yang datang sini kan. So you kena tunggu I habis kerja. Duduk diam-diam. I ada kerja nak di siapkan." Tegas Hakim. Muka Khadija dipandang. Entah mana keaslian wajah didepannya, lansung dia tidak nampak. Tebal dengan mekap.
Khadija tarik muka masam. Segera dia bangun dan mengheret kaki ke arah sofa. Dihenyak punggungnya ke atas sofa dengan kasar. Sesekali rungutan kecil kedengaran.
Hakim buat tak dengar. Kalau dilayan akibatnya segala kerja tak akan siap. Brosur di atas meja direnung. Akhirnya dia sudah ada pilihan yang baik untuk Murni.
Esok dia akan memberitahu mengenai perancangan ibu dan ayahnya kepada gadis itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
Aku Dalam Dakapan Dia ✔
RomansaDia tidak mencari cinta, dia tidak mencari kasih sayang. Dia sudah lali hidup sendirian. Walau ada yang menghulur cinta, namun dia tidak terburu-buru menerima. Dia hanya menanti jodoh tiba ..... Segalanya dalam genggaman dan dakapan Dia... "Ya Allah...
