Mimpi
'Blue tick je...' keluh Khaier. Lama dia tunggu balasan dari Murni. Mata yang mula mengantuk cuba ditahan. Takut nanti mesej masuk dia tak sedar ketiduran.
'Dah dibaca tapi tak dibalas,'....omelnya lagi. Dari meniarap dia menelentang. Merenung hingga tembus siling bilik bujangnya. Matanya mula dipejamkan. Oleh kerana terlalu mengantuk akhirnya dia terlena jua.
Sementara itu....
"Sedang buat apa...dah tidur ke?"
Mesej ringkas itu sudah ditatap dan dibaca berkali-kali. Sudah lama mesej itu masuk, tetapi dia belum berniat hendak membalas pertanyaan itu.
Sangat jarang Khaier menghantar pesanan melalui WhatsApp. Kecuali ketika memberi laporan tentang perkembangan Rumah Mariah.
Sudah lebih setengah jam tiada lagi notifikasi yang masuk. Senyap, dia lantas bangun. Laci meja solek dibuka. Di situ dia letakkan beg kecil berwarna merah pemberian Khaier. Beg itu dikeluarkan. Sejak kembali dari kampung, dia belum lagi bersedia untuk menghubungi lelaki itu. Sebab itu hantaran dilaman sembang dari Khaier di biarkan sepi.
Hatinya juga berdoa moga Khaier tidak menghubunginya terus ke talian. Dia sangat pasti Khaier sedang tertunggu-tunggu mesej balasan dari dia.
Beg kecil itu di simpan kembali. Dia baring semula melayan mata.
*****
Dia berjalan sendirian. Asyik melihat kesuburan tanah dan kesegaran sayuran yang ditanam di ladang sayur milik Khaier.
Di batas hujung sempadan tanah ada ditanam dengan pokok tebu. Rimbun daunnya sehingga ada yang menjulai mencecah tanah. Dia menghampiri rumpun itu. Batang tebu sudah seperti boleh ditebang. Warna kuning batang tebu itu sangat menarik pandangannya.
Tiba-tiba terdengar suara berdesir. Dia mencari dari mana bunyi itu datang. Sebaik sahaja dia menoleh ke sebelah kanan, seekor ular tedung selar yang besar berwarna hitam sedang menegakkan badan. Saat itu dia mula terasa kakinya mulai lemah dan dia bakal terjatuh pada bila-bila masa sahaja.
'Allah...'
Dahinya mulai berpeluh. Matanya bertentangan dengan mata ular yang mula mengembangkan kepalanya dan bersedia untuk mematuk dan menyemburkan bisanya.
"Jangan bergerak!" dia terdengar suara Khaier berbisik. Derap kaki seseorang sedang menghampiri. Dia cuba untuk tidak bergerak walaupun hakikatnya satu badan dia sedang mengeletar hebat.
Dia mendengar Khaier membaca sesuatu. Mungkin sedang membaca doa. Dia tidak dapat dengar dengan jelas. Khaier mencampakkan sehelai kain ke arah ular tersebut, dan dengan pantas dia merentap lengan Murni dan menarik tubuh gadis itu ke dalam pelukannya.
Ular yang terpedaya dengan umpan kain itu terus mematuk-matuk kain berkali-kali sebelum mula menjalar masuk ke dalam rumpun tebu dengan laju.
Khaier terus membawa Murni jauh dari tempat itu.
"Ya Allah, kenapa ni Khaier, kenapa dengan Murni?" Mak Mai bingkas bangun dari duduk. Pak Salleh yang berada tidak jauh dari situ segera mendekati Khaier yang masih lagi memeluk Murni.
"Ada ular tedung selar nyaris lagi nak patuk dia," ujar Khaier.
"Allahuakbar .... habis ular tu sudah dapat dibunuh?" Tanya Pak Salleh.
"Tak sempat. Sekelip mata je ular itu hilang masuk ke dalam rumpun tebu."
Murni segera melepaskan pelukan Khaier lalu memeluk Mak Mai pula sambil menangis. Mak Mai mengusap-usap belakang tubuh Murni.
Tiba-tiba dia tersedar dari tidur. Tubuhnya terasa menggigil dan yang peliknya dia sedang menangis teresak-esak. Cepat-cepat dia beristighfar. Kembali dia cuba untuk tidur semula. Namun matanya agak payah untuk lena.
ANDA SEDANG MEMBACA
Aku Dalam Dakapan Dia ✔
RomanceDia tidak mencari cinta, dia tidak mencari kasih sayang. Dia sudah lali hidup sendirian. Walau ada yang menghulur cinta, namun dia tidak terburu-buru menerima. Dia hanya menanti jodoh tiba ..... Segalanya dalam genggaman dan dakapan Dia... "Ya Allah...
