PROLOG

546 31 7
                                    

Satu petang yang nyaman.

TERATAK MARIAH, sebuah banglo yang tersergam indah di kawasan perumahan mewah ELITE HEIGHTS, sebagai bukti kejayaan seorang insan bernama Tan Sri Adnan.

Petang itu dia bersandar santai di kerusi malas yang terletak di balkoni rumah banglonya, sambil menikmati angin petang yang bertiup lembut.

Seulas senyuman terlakar di bibir.

Apa yang dia dambakan sudah tercapai, walaupun tidak seratus peratus.

Penyakit kesihatan mental, anger disorder anak angkatnya, Zuhal, yang juga anak saudara isterinya, Puan Sri Mariah, akibat dendam yang membara, sejak pembunuhan mama dan papanya, kini sudah sembuh.

Dia sudah menerima kehadiran bapa mentua, Farooq Khan yang dahulu amat dibencinya.

Iman juga sudah kembali, mengisi kegersangan cinta Zuhal.

Tidak sangka. Iman yang manja, boleh menjadi isteri yang begitu sabar sebagai pemujuk hati bapa yang ego, dan suami yang pendendam.

Sebagai Game Designer, Iman kini menjadi penyumbang utama rezeki SMILE AND LIVE YOUNGER (SLY), syarikat multi-national yang diusahakannya.

Zuhal sudah tidak lagi mempamerkan sikap panas baran dan agresif lagi. Malah sudah menjadi suami mithali yang kadang kala membuatnya tersenyum, terkenangkan dirinya sendiri semasa muda.

Syarikatnya, SOLUTIONS FOR NETWORK APPLICATION AND PARADIGM (SNAP), Cawangan Asia, semakin mantap dan dikenali sebagai perunding teknologi maklumat dalam sektor korporat dan Kerajaan.

Danny, anak tunggalnya dengan wanita Indonesia Ummu Fatonah, sudah memahami kenapa dahulu dia tidak dapat mengakuinya sebagai anak kandung.

Dia bersyukur kepada Allah SWT, isterinya memaafkannya kerana dimadukan tanpa diberitahu. Walaupun tidak mempunyai anak dengan Puan Sri Mariah, cintanya kepada isterinya tidak pernah berubah.

Mata dipejam. Senyum terus meleret di bibirnya.

Sungguh. Semua rentetan peristiwa yang berlaku terpaksa diharungi oleh Tan Sri Adnan, dengan tabah dan berani, demi menjaga keselamatan ahli keluarga yang disayanyi, dan keperkasaan syarikatnya.

Paling menggembirakan hatinya, Asyraf dan Cempaka, kedua adiknya yang bujang terlajak itu akhirnya berumahtangga. Bukan itu sahaja, kedua mereka sudah mempunyai anak.

Ironisnya, Asyraf yang 'merampas' isteri Farooq Khan kini bersahabat dengan lelaki itu dan bersama-sama menerokai bidang inovasi perubatan. penyelidikan, khusus untuk perubatan holistik.

Kini Asyraf sudah memiliki sebuah hospital yang asalnya sebuah resort di tepi tasik - Hospital ASYRAF HOLISTIC THERAPY (ASHRA). Ia terkenal sebagai hospital penyelidikan khas swasta untuk rawatan dan pemulihan pesakit kronik berkaitan saraf. 

Tak sangka Azem yang kaki perempuan boleh tersangkut dengan adiknya yang garang dengan lelaki. Bagi Tan Sri Adnan, apa yang penting, Azem dapat mengubati luka di hati Cempaka kerana dikhianati rakan sendiri.

Serangan seksual ke atas Cempaka oleh Ammar, anak sahabatnya, Datuk Raduan itulah yang menjadi titik hitam dalam sejarah keluarga Tan Sri Adnan. Perlumbaan haram antara  Zuhal dan Danny dengan Ammar  yang akhirnya membawa kematian kepada anak Datuk Raduan itu, tidak dapat dielakkan menjadi permusuhan korporat.

Namun, dia bersyukur dan sangat lega kerana selepas 13 tahun, adiknya berjaya keluar daripada perangkap kemurungan dan menerima cinta Azem.

Sementara itu, Henry Kuznetsov, yang menjadi punca dendam Zuhal sudah menerima balasannya. Dalam usia tua dan mengidap dementia, keangkuhan menguasai syarikat farmasi antarabangsa tidak membawa makna apa-apa kepadanya lagi.

Tiada nikmat kekayaan bagi orang yang tidak tahu apa itu kekayaan.

Umpama bonus dalam hidupnya, cucunya Zain, anak Danny, dan isterinya Lila menjadi jambatan yang menghubungkan keluarganya dan besannya, Aaron Zalheimer serta dua anak lelakinya, Joseph dan Joshua yang dahulu sangat angkuh dan kejam.

Tan Sri Sabri menipu adiknya Yusri sehingga 30% kepentingannya dalam syarikat SLY tergadai. Dia berjaya menebus 10% dan 10% terpaksa dijual kepada bank dan entiti/individu lain demi menampung keperluan kewangannya.  Penyangak itu, yang memiliki 10% pegangan dalam SLY duduk menjadi Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikatnya. Di situlah bermulanya penyelaman serius Tan Sri Adnan di dalam lautan pasaran saham yang dikuasai para jerung.

Namun, setelah Tan Sri Sabri melarikan diri daripada cengkaman penguatkuasa undang-undang, kerajaan merampas hartanya.  Tan Sri Adnan berjaya memperolehi semula sebanyak 6 peratus pegangan Tan Sri Sabri yang didapatinya secara licik sebelum ini. Dia tak kisah 4 peratus dibeli oleh Jerung milik Kerajaan negeri atau pihak lain.

Kehilangan lelaki itu daripada radar undang-undang, sedikit membimbangkan. Dia percaya Tan Sri Sabri tidak akan menerima kekalahan begitu sahaja.

Kalah dalam pertarungan dengan Jerung, pemilikan syarikat boleh bertukar tangan. SLY tidak akan mengaku kalah.

Tan Sri Adnan tetap unggul bertahta sebagai Raja Jerung.

Kenangan Tan Sri Adnan yang berjela-jela itu dikejutkan dengan bunyi bingit beberapa motorsikal scrambler memasuki halaman rumahnya.

Dia bangun dan berjalan ke birai balkoni, lalu memandnag ke bawah.

Budak-budak baru balik daripada dirt race, fikirnya. 

Jelas sekali badan dan motorsikal mereka disaluti debu. Ada juga yang dibalut tompok-tompok lumpur yang sudah kering. 

Ternaik keningnya kerana bilangan mereka seperti bertambah. Dia mengira - Zuhal, Danny, Akbar, Ruslan, Azem dan Jonathan. Sepatutnya enam orang. Tapi bilangan yang dilihatnya tujuh orang.

Mereka membuka topi keledar. Kepuasan terpancar di wajah masing-masing.

Terurai rambut panjang salah seorang daripada mereka yang tubuhnya paling kecil. Jari-jari halusnya menyebak rambutnya ke belakang. Bayu petang itu mengusik rambutnya, lalu  terbuai-buai, seperti mencari kebebasan. 

Indahnya pandangan itu! 

Tan Sri Adnan tersenyum sambil menggelengkan kepala.

"Amani!"

Entah apa gurauan Zuhal. Amani mendongakkan kepalanya sambil ketawa mengekek. Dia berkata sesuatu yang tidak dapat didengar oleh Tan Sri Adnan. Tetapi kata-katanya mungkin menyenangkan kerana ia disambut dengan deraian tawa enam lelaki yang ada di situ. Melihat gelagat mereka, hati tua Tan Sri Adnan tumpang gembira.

Jari-jari halus itulah, menerusi tulisannya, yang membantu menaikkan nama syarikatnya di pasaran saham dan menjatuhkan syarikat Tan Sri Sabri, HAPPY IT. Dibesarkan bersama Zuhal, Danny dan Iman, mereka seperti adik-beradik sebenar.

"Alhamdulillah!"

Tanpa disedari sesiapa, seorang penunggang motorsikal kelihatan seolah-olah sedang berehat di celah-celah pepohon di perbukitan di hadapan TERATAK MARIAH. Namun sepasang mata yang berselindung di sebalik visor helmet yang dipakainya memerhati Amani dengan penuh minat. 

"Tak mungkin perempuan secantik itu Ikhwan," desisnya.

Bibir menguntum senyum. Jari telunjuk tangan yang dibungkus sarung kulit berwarna hitam, menuding ke arah Amani, gaya seperti menembak.

"Bang!"

*****

🏦🏦🏦

🏦🏦🏦

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.


DEWI JERUNGWhere stories live. Discover now