Bab 1

44 6 2
                                    

Petang itu gamat dengan bunyi higurashi dari hutan berhampiran.

Ryouji dan adiknya baru sahaja pulang dari mengail ikan di bendang. Sesampai di rumah, Ryouji tersentak.

Pintu kertas gelangsar rumah kayu itu terbiar dalam keadaan terbuka. Di mana bapanya? Kebiasaannya dia akan menutup pintu bagi mengelak penceroboh.

Ryouji berasa tidak sedap hati, dia berundur perlahan-lahan meredah belukar di mana dia berada, demi mengurangkan bunyi. Kerana saki-baki penceroboh mungkin masih berada di mana-mana. Dia mungkin sasaran mereka juga. Dia bergerak merentas belukar itu untuk menjejak kesan-kesan tinggalan lain oleh penceroboh.

Otou-san, di mana kamu?

Ryouji tidak dapat mengelak dari memikirkan perkara buruk yang mungkin menimpa bapanya. Bapanya mungkin telah diserang, atau mungkin dibunuh! Dia mula teringat akan kata-kata bapanya yang dia mungkin akan diserang oleh musuh keluarga mereka. Mungkinkah hari ini yang dimaksudkan bapanya itu?

"Onii-san, onii-san mengapa berundur?", tanya Hisamiko, adik perempuan tunggal yang sedang dikendong di belakangnya yang baru terjaga dari tidur sambil menggosok-gosok matanya, hairan melihat Ryouji berhenti dan bergerak meninggalkan rumah perlahan-lahan. Hisamiko berumur sembilan tahun pada ketika itu. Dia selalu mengikut Ryouji menangkap ikan di bendang.

"Shhh, Hisamiko!", Ryouji membalas, sambil meletakkan jari ke mulutnya.

"Aku akan membawamu ke tempat lain. Nampaknya rumah kita telah diceroboh." Ryouji memberitahu, sambil matanya masih tidak lepas dari melihat kesan tompokan darah dari tingkap rumah yang juga terbuka diceroboh dan berjejeran masuk ke dalam sebuah belukar. Tidak pasti darah siapa, sama ada penceroboh atau bapanya.

"Siapa yang menceroboh, Onii-san?"

"Barangkali perompak. Hisamiko, kau akan berdiam di tempat persembunyian sehingga aku kembali." Ryouji membuat keputusan itu setelah melihatkan dia mungkin tidak mampu bertarung sambil mengendong Hisamiko, kerana dia masih belum cukup pandai dan kuat untuk itu. Jika dia tewas, Hisamiko mungkin akan ditangkap dan dijual kepada ibu ayam sebagai karayuki. Bapanya tidak mungkin akan memaafkan kesilapan ini. Terngiang-ngiang pesan mendiang ibu dan bapanya bahawa dia perlu melindungi dan mengutamakan keselamatan Hisamiko dalam apa jua keadaan. Pada mereka, biarlah Hisamiko didahulukan meskipun mereka akan mati kerana ditangguhkan perlindungan dan rawatan demi Hisamiko. Ryouji amat memahami sayang mereka yang melangit kepada Hisamiko, kadangkala dia mencemburuinya.

Dia tidak mahu Hisamiko ditimpa nasib yang dahsyat itu. Dijual sebagai karayuki, dan kemudian digauli oleh lelaki 'gaikokujin' (asing) hidung belang dari negara asing, adalah pengalaman hitam yang akan berparut di jiwa Hisamiko buat selama-lamanya. Hisamiko adalah satu-satu adiknya dan dia sebagai abang harus mempertahankan maruahnya.

Ryouji tekad, Hisamiko dahulu sebelum bapanya.

"Tapi Miko takut, Onii-san." Hisamiko berbunyi sebak. Matanya mula berkaca. Tangannya menggenggam kuat lengan Ryouji

"Miko, kamu hanya perlu berdiam di tempat sembunyi. Aku pasti akan kembali."

Ryouji bergegas lari, selepas beberapa langkah mengundur keluar dari belukar menuju ke sebuah denai. Ryouji dan adiknya bergerak kembali ke dalam hutan berhampiran mengikut denai itu.

Bunyi higurashi masih bingit dan semakin kuat apabila mereka berada di dalam hutan. Ryouji mengamati keadaan sekelilingnya dan cuba mencari petunjuk-petunjuk ke tempat persembunyian, sekali sekala matanya meliar melihat sekiranya ada yang mengekori mereka. Ryouji menjadikan tempat tersebut sebagai tempat bersembunyi sekiranya dia dimarahi ibu atau bapanya. Selepas membina tempat persembunyian itu, dia meletakkan beberapa petunjuk di sekitar hutan.

KaisenjyoWhere stories live. Discover now