Bab 2

25 6 4
                                    

Mereka menyemadikan mayat bapanya di sebelah gua itu. Selesai pengebumian, mereka tidak pulang ke rumah sebaliknya bermalam di dalam gua kecil. Ryouji tidak yakin akan mampu bertarung di dalam gelap di rumahnya. Di gua itu mereka selamat kerana pintunya hanya boleh dimasuki oleh Ryouji yang bersaiz sederhana dan masih remaja.

Hisamiko menceritakan bagaimana penyerang berkimono perang itu dalam keadaan tercedera dan mahu berlindung di dalam gua kecil itu namun tidak dapat memasukinya kerana pintunya yang kecil. Dia menggigil ketakutan di dalamnya dan tidak berani keluar. Sejurus selepas itu, bapa mereka tiba dan membentak pembunuh upahan itu dan bertarung, sambil Hisamiko memerhati.

Ryouji tidak dapat tidur lena malam itu. Dia kebingungan bagaimana untuk meneruskan kehidupan di bendang itu. Bendang keluarga Okuhida terletak bersebelahan dengan bendang-bendang petani-petani lain, yang juga merupakan bekas samurai atau ronin yang diambil bekerja oleh Daimyo Kimura. Sebahagian dari mereka memiliki penuh bendangnya, manakala sebahagian lagi berkongsi pemilikan dengan Daimyo Kimura. Sebahagian yang lain pula langsung tidak memiliki bendang yang mereka kerjakan. Ia bergantung kepada Kimura untuk menentukannya, berdasarkan hasil setiap bendang tersebut.

Sejak beberapa tahun belakangan, hubungan bapanya dengan petani-petani yang lain bertambah buruk. Ia bermula sejak dua tahun lepas apabila pekerja-pekerja bendangnya mula berpindah bekerja untuk bendang-bendang bersebelahan. Disebabkan itu, Miura terpaksa mengupah pekerja upahan dari luar dan juga meminta bantuan Ryouji.

Di dalam kalangan petani-petani di kawasan itu memang terdapat satu dua petani yang mencemburui Miura. Hasil bendangnya sentiasa tinggi dan berkualiti kerana dia menggunakan kaedah penanaman dan pengairan yang moden dan baka yang bagus serta pembajaan yang kerap. Ini kerana Miura sanggup menghabiskan sejumlah besar wang demi menambaik baik hasil tanamannya dan membeli baja berkualiti, dan banyak bertanya kepada petani-petani di luar Hidagawa. Bahkan Miura juga mencedok pengetahuan dari pedagang-pedagang luar dari Barat. Miura memperoleh pendapatan lumayan dengan peningkatan hasilnya dan kualiti berasnya dan ini menambah lagi hasad mereka terhadap Miura. Beras Miura yang berkualiti menarik minat pembeli di pasar berbanding membeli beras-beras dari petani lain yang kurang berkualiti dan mengandungi banyak bubuk yang menyukarkan pencuciannya.

Ryouji menerawang menyorot kembali cerita yang didengarinya dari orang-orang kampung. Dia membelek-belek peti gangsa kecil yang diberikan oleh bapanya itu, kemudian membukanya. Di dalam peti itu berisi satu lipatan kertas. Dia membuka lipatan itu, dan duduk di tepi unggun api di luar gua lalu membacanya:

Ryouji,

Bawa dirimu dan Hisamiko menemui seorang ronin di selatan Hidagawa bernama Takasaki Nakatsu. Dia akan menyambung melatihmu seni berlawan pedang yang telah kuajarkan selama ini. Dia akan menyediakan tempat tinggal untukmu. Lupakan bendang ini. Takasaki-san akan menguruskan pindah milik dan pekerja-pekerja upahanku kepada Daimyo Kimura.

Dari bapamu, Miura

Ronin adalah samurai atau bekas samurai yang tiada tuan, sama ada kerana tuannya atau Daimyo mati, atau samurai itu sendiri meletak jawatan. Miura dan Takasaki, kedua-duanya adalah ronin, atau bekas samurai. Kedua-dua mereka meletak jawatan dan merupakan kenalan lama. Miura memilih untuk menjadi petani dan memohon berkhidmat di bawah Daimyo Kimura, seorang daimyo yang memiliki tanah sawah yang besar dan mengumpulkan semua ronin di bawahnya untuk mengusahakan tanah-tanahnya. Beliau memberikan hakmilik sebuah tanah bendang kepada Miura untuk diusahakan. Pada mulanya pemilikan Miura ke atas bendang itu adalah separa, dan Daimyo Kimura menjanjikan pemilikan penuh seandainya Miura mampu mengeluarkan hasil yang tinggi. Miura berjaya memenuhi sasaran hasil itu dan Daimyo akhirnya bersetuju menghadiahkan pemilikan penuh bendang tersebut kepadanya.

KaisenjyoWhere stories live. Discover now