Kurobi sampai dahulu di rumah Hamada sebelum Saitou. Badan gagak itu luka-luka seperti diserang atau dicakar oleh burung rajawali. Sesampai di halaman rumah Hamada, dia langsung terjelepok ke atas tanah yang berdebu itu. Dia berteriak lemah, badannya amat tercedera.
Kayu berwarna hijau ditindih oleh jasad gagak itu. Hamada mengalihkan tubuh gagak itu dengan tangannya, mengusap-usap kepala gagak itu dan membawanya ke dalam rumah untuk dirawat oleh pembantunya.
"Hamada-sama, berdasarkan pemeriksaanku ia telah diserang hayabusa." Pembantunya menerangkan keadaan Kurobi.
Hayabusa? Memang di pergunungan Shinagawa ini banyak hayabusa. Hayabusa liar atau peliharaan? Jika peliharaan, siapa yang membelanya?
"Selalunya hayabusa akan menyerang untuk memakan mangsanya. Tetapi ini tidak. Lebih kepada bertujuan untuk mencederakan sahaja. Jika serangan dilakukan lebih awal berkemungkinan Kurobi akan rebah sebelum sempat sampai ke sini. Namun aku fikir hayabusa ini mengekor Kurobi dan menyerangnya ketika dia hampir sampai ke sini." Perincian diberikan oleh pembantunya.
Bererti hayabusa tersebut telah sampai ke rumah Hamada. Malah mungkin sedang memerhatikannya dari udara. Dari penerangan pembantunya itu, nampak seperti hayabusa terlatih, kerana ia tidak menyerang untuk makan. Siapa yang melatihnya?
Hamada membelek-belek kayu hijau yang digugurkan Kurobi. Keputusan misinya jelas, arahannya kepada Saitou gagal dan tiada dari kalangan mereka yang mati. Hamada tidak menunjukkan sebarang reaksi, dia hanya mahu mendengar alasan Saitou. Dia tahu Saitou tidak pernah menggagalkan rancangannya selama ini. Jika berlaku kegagalan, pasti ada alasannya yang munasabah. Jika alasan yang diberikan tidak munasabah, dia mungkin akan mengarahkan mereka melakukan seppuku. Namun sanggupkah dia kehilangan satu-satunya samurai yang paling setia dan arif selok-belok kaminari-no-kaze?
"Hamada-sama, benarkan kami melakukan seppuku!" Saitou meminta kebenaran mencabut nyawa sendiri dari Hamada sambil mewakili Tarou dan Buntarou. Tarou melutut dengan tangannya masih berbalut. Buntarou berbisik sendirian, "Matilah aku, aku belum berkahwin lagi!" Tarou terdengar lalu tumpang semangkuk, "Aku pun!"
Hamada sedang berdiri di hadapan mereka dengan tangannya mendekap, wajahnya masih ada mekap tebal dan gincu seperti geisha.
"Sebelum itu, aku ingin tahu siapa yang membunuh Miura?"
"Dia dibunuh oleh jarum beracun fukiya. Ini jarumnya, Hamada-sama."
Hamada mengambil jarum itu. Dia tersenyum, gincu yang dipakainya memberi ilusi seolah-olah seorang geisha tua yang hodoh sedang tersenyum di hadapan mereka. Terbeliak seketika biji mata Tarou dan Buntarou ketika mengangkat muka sebentar, namun tunduk kembali mengadap bumi setelah dijeling Hamada.
"Saitou, Tarou, Buntarou, kalian semua tahu berapa nilai kalian padaku?"
"Tidak, Hamada-sama."
"Seluruh Shinagawa ini. Aku tidak akan benarkan kamu melakukan seppuku." dia membelek-belek jarum fukiya, "Jarum ini bukti yang amat berguna padaku."
"Hontou ni arigatougozaimashita, Hamada-sama, (kami sangat berterimakasih padamu Tuan Hamada)," mereka tunduk menyembah bumi, kali ini lebih rendah. Laju benar Saitou berterima kasih. Dia tidak mahu mati awal dan sia-sia. Ini bukan lagi era Sengoku atau Sekigahama. Bushidou sepatutnya harus dikemaskini!
Sebelum mereka beredar, Hamada menahan Saitou.
"Saitou, tunggu sebentar." Dia menunggu Tarou dan Buntarou benar-benar hilang dari pandangan, lalu menyambung "Miura memiliki musuh lainkah?"
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...