Ryouji bangun pagi itu dan menyedari Hisamiko tiada.
Yang ditinggalkan hanya beg yang berisi makanan dan pakaian.
Hisamiko? Di mana kamu?
Ryouji mula cemas. Dia bingkas bangun dan keluar dari gua kecil itu.
Hisamiko sedang duduk di atas batu sambil memandang sungai, seperti sedang memikirkan sesuatu. Tidak pernah aku lihat Hisamiko begitu, apa yang dimenungkan?
Kemudian dia menoleh, "Onii-san, tadi aku pergi membuang air. Dalam perjalanan pulang aku terjumpa rangka manusia."
Mereka menuju ke tempat itu. Mayat itu seperti dibunuh di tempat lain dan dicampakkan ke situ. Hanya tinggal tulang temulang dalam kimononya. Biasanya kimono sebegitu dipakai oleh ninja atau ronin. Tiada tengkorak ditemui.
Ryouji menyeluk saku kimono itu. Terdapat kelongsong bambu fukiya. Dia meneliti kawasan sekeliling dan menemui tengkorak mayat itu tercampak di dalam semak berhampiran, masih lengkap dengan sarung muka. Mungkin mati dipenggal.
Ryouji mengambil kimono, sarung muka dan kelongsong bambu.
"Hisamiko, lain kali beritahuku jika engkau bangun. Aku risau engkau hilang tanpa dikesan."
"Aku tidak mahu mengganggu tidurmu. Lagipun aku sudah dewasa, aku boleh melindungi diriku."
Ryouji agak terkejut mendengarkan jawapan Hisamiko. Dari mana dia belajar menjawabku sebegitu?
Ketika baru sahaja melintasi pinggir pekan Furukawa, Ryouji berasa seperti sedang diekori. Burung hayabusa yang mengekori mereka melaporkan perkara sama. Kemudian burung itu menghilang seperti sedang mencari sesuatu.
"Ohisashiburi, Okuhida-san." Kedengaran suara seorang lelaki memanggilnya. Ryouji menoleh ke kiri. Dia melihat wajah lelaki itu, dan amat mengenalinya. Dia adalah petani bendang yang berjiran dengan bapanya.
"Sonzaemon-san!" Ryouji menyeru namanya.
"Aku maklum yang engkau telah lari dari rumah itu." Sonzaemon memulakan bicara.
"Benar. Bapaku Miura telah dibunuh. Aku menurut wasiatnya dengan meninggalkan kampung itu. Maaf aku pergi tanpa meninggalkan khabar. Apa khabar engkau sekarang?"
"Tidak baik sepertimu."
"Apa telah terjadi padamu?"
"Panjang ceritanya. Maharaja mengambil semula tanah-tanah. Daimyo Kimura sudah lari ke Kyushu. Aku ditimbun hutang dan terpaksa lari. Ryouji, tolong aku."
"Apa yang boleh kutolong?"
Sonzaemon meniup jarinya. Keluarlah tiga orang lelaki dari belukar mengepung mereka.
"Sonzaemon-san. Apa yang kau mahu?!" Ryouji cemas melihat dia dan Hisamiko dikepung. Kesemua mereka bersenjata. Ryouji memberi isyarat kepada Hisamiko agar bersedia. Dia memegang hulu katana, bersedia menariknya dari sarung bila-bila masa sahaja.
Hisamiko tidak memiliki katana tetapi sejenis pedang kecil atau tantou. Tangannya kecil dan tidak mampu memegang katana yang berat.
"Aku mahukan adik perempuanmu. Serahkan dia dan engkau akan selamat." Sonzaemon merancang mahu menjualnya sebagai karayuki.
Berderau darah Ryouji mendengarkannya. Sungguh biadap engkau Sonzaemon!
"Hisamiko, bertindak seperti apa yang kau pelajari."
Kepungan makin mengecil, mereka semakin merapat. Ryouji melibas pedangnya memberi amaran. Di belakangnya Hisamiko masih takut-takut mengacu pedang kecil, maka orang-orang Sonzaemon semakin berani mendekat.
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...