Bab 35

13 2 2
                                    

Hari berikutnya...

Lelaki tinggi berkulit gelap dan berlilit di kepala itu memandang sekeliling jeti. Tiada orang mencurigakan berhampirannya.

Dua orang pengikutnya menjengket turun dari kuda masing-masing. Ketiga-tiga budak perempuan itu telah berada di dalam feri menuju Osaka.

"Bagaimana kamu berdua? Masih sakit?" Lelaki berlilit kepala itu bertanya keadaan mereka.

"Aku rasa seperti kepatahan. Argh!" salah seorang pengikutnya yang berbadan sedang dan bermisai panjang mengaduh kesakitan. Ini semua angkara budak sial itu!

"Shizuo, apa pendapatmu berkenaan budak sial itu? Aku tidak pernah melihat kepantasan begitu." Lelaki bermisai panjang bertanya kepada lelaki berlilit kepala, Shizuo.

"Subarashii. Aku tidak pasti sama ada dia menyedarinya. Itu sebenarnya jurus kesembilan. Jurus tersebut boleh dilakukan tanpa sedar atau tidak sedar. Jurus kesembilan dan kesepuluh tidak diajar, dan hanya boleh dicapai dari latihan yang kerap atau melalui pertarungan. Mereka yang berada dalam perjanjian dengan hayabusa-no-kami, seperti puak Miura, mudah mencapainya tanpa senjata khas."

"Hayabusa-no-kami? Seperti yang aku dengari ketika mempelajari kaminari dahulu. Engkau masih percaya perkara begitu, Shizuo?"

"Ya, Takeo. Aku percaya kami. Miura guru kita itu berketurunan Okuhida. Puak mereka telah mengikat perjanjian itu. Dia bersama Takasaki mencipta kaminari-no-kaze. Namun hanya Miura yang boleh melakukan jurus kesembilan dan kesepuluh kerana darah Okuhida-nya, dan aku pernah melihatnya sendiri melakukan jurus kesembilan."

"Jadi, engkau fikir budak itu anaknya? Yalah, lagipun wajah mereka amat serupa." Pengikutnya yang kedua pula bersuara. Dia seorang lelaki pendek dan berkulit cerah. Takeo mengangguk bersetuju.

"Barangkali, Suneo. Benar wajah mereka hampir serupa. Namun darah keturunan hanyalah salah satu faktornya. Ia juga bergantung kepada jenis pedang yang digunakannya. Bilahnya kulihat amat ringan dan kuat. Aku tidak pernah melihat bilah sebegitu. Ringan dihayun, dan cukup kuat sehingga boleh mematahkan tulang. Bahan apa yang digunakan? Apa kaedah yang digunakan?"

"Shizuo, engkau fikir patutkah kita melapor kepada Tsugiyama?" Takeo bertanya.

"Ya. Aku akan melaporkannya sendiri." Shizuo memutus. Dia perlu melaporkan kepada Tsugiyama sekiranya berlaku serangan ke atas aktiviti mereka menghantar karayuki. Tsugiyama akan menasihati Hagiura akan tindakan yang patut mereka ambil seterusnya.

Shizuo masih tidak dapat menerima hakikat yang dia hampir dikalahkan Ryouji, jika bukan kerana kegopohan budak itu, sudah pasti dia tidak akan dapat mencederakan kakinya. Ryouji pantas, namun kurang berpengalaman. Dari pengamatannya, dia bertarung pantas namun gopoh. Nafasnya tidak teratur. Dia mengelak dengan jurus kelima bagi menjimatkan tenaga, kemudian entah mengapa dia terus melangkau terus ke jurus kesembilan, iaitu jurus menyerang dan mengelak serentak dengan kepantasan maksima tanpa sedikitpun menyentuh lawan dan mengawal rusuhan tenaga yang besar di dalam tubuh dengan kecermatan tertinggi. Dia nampak tidak menyedari langsung pergerakannya, tidak seperti Miura. Bahkan dia seperti dikawal oleh sesuatu, persis boneka.

Shizuo hanya faham kaminari sehingga jurus kelapan. Jurus ketujuh, dan kelapan, adalah jurus menyerang dan mengelak dengan kepantasan tertinggi. Jika petarung biasa yang tidak berada dalam perjanjian dengan hayabusa-no-kami melangkau ke jurus kesembilan dan kesepuluh, dia boleh pengsan atau mungkin mati jika tidak mengawal rusuhan tenaga di dalam badannya dengan rapi atau tidak menggunakan senjata khas.

Mungkin dia anak Miura, fikir Shizuo. Namun kebolehan mengawal rusuhan tenaga di dalam badan hanya menjadi lebih cekap jika seseorang puak Okuhida itu mencapai usia dewasa. Namun budak itu pada usia muda sebegitu sudah boleh mengawalnya meskipun pada tahap yang rendah, sekadar mengelakkannya dari pengsan.

KaisenjyoWhere stories live. Discover now