Bab 40

2 0 0
                                    

Ayame membawa mereka ke kuil Furukawa beronsen di mana Hisamiko pernah dirawat. Dia memperkenalkan bapanya, sami Shinto di situ bernama Shirasaka Kotobuki.

Azusa dibawa untuk rawatan akupunktur oleh Kotobuki diperhatikan Ayame dan Chisato. Azusa memuntahkan darah sebaik semua jarum dicucuk pada titik akupunktur yang ditentukan oleh Kotobuki.

"Rakanmu bernasib baik. Dia akan sembuh beberapa hari lagi, selepas memuntahkan darah yang mengandungi racun itu. Jika dia lambat sampai ke sini, racun itu akan meresap ke seluruh tubuhnya dalam masa dua hari, dan selepas itu dia hanya boleh dirawat menggunakan penawar di Kogen. Tanpa penawar, dia akan selamanya berada dalam keadaan separa sedar. Funazuki-san amat bernasib baik." Kotobuki menerangkan kesan aotsuyu kepada Chisato.

Chisato amat terperanjat kerana dia hampir-hampir disuntik bahan sama. Dia akan memberitahu Takasaki dan Ryouji perkara ini.

"Kotobuki-san, dari mana racun ini datang?" Chisato terdetik bertanya.

"Ia dicipta oleh seorang tabib di selatan. Aku pernah dihantar Kogen berguru dengannya namun selepas menyedari ia dibekalkan kepada Hagiura bagi menundukkan karayuki, aku mencuri formula itu bagi menyelidik penawarnya."

**

Chisato duduk di atas batu di depan taman bonsai, sambil termenung melihat shishi-odoshi yang berjongkat-jongket tidak berhenti dan menikmati bunyi aliran air di kolam yang menenangkan. Pelita-pelita minyak ikan paus sudah dinyalakan. Malam itu agak sejuk kerana masih di awal musim bunga. Ayame masih di dalam bilik rawatan bersama Azusa.

Chisato baru sahaja selesai makan dan mandi di onsen di kuil itu. Dia akan bermalam di situ dan akan pulang esoknya selepas Azusa selesai dirawat. Chisato masih risau memikirkan Ryouji dan Hisamiko. Dia tidak dapat melelapkan mata.

"Ogasawara-san, tidak sejukkah engkau duduk di situ?" Suara seorang lelaki tua bertanya. Chisato menoleh, Kotobuki berada tidak jauh di belakangnya.

"Kotobuki-san."

"Engkau tidak boleh tidurkah? Risaukan sesuatu?"

"Tidak ada apa-apa, Kotobuki-san. Aku cuma mahu menyejukkan badan. Panas onsen itu masih membekas."

"Jika begitu baiklah. Aku mahu pulang dahulu. Oyasuminasai (selamat malam)." Rumah Kotobuki terletak berhampiran kuil beronsen itu.

"Kotobuki-san, sebentar."

"Ya, Ogasawara-san."

"Hisamiko pernah menceritakan dia pernah dirawat di sini dua kali olehmu. Aku berterima kasih sungguh-sungguh padamu."

"Okuhida-san desuka? Tidak mengapa, Ogasawara. Itu memang tugasku."

"Dan juga Ryouji ketika dia diserang di Furukawa. Hontou ni arigatougozaimasu (sungguh aku berterima kasih)!" Chisato bangun dan membongkokkan badannya, mengadap Kotobuki.

Kotobuki-san tidak menunjukkan sebarang reaksi. Masih di dalam hatinya hanya menganggap itu tanggungjawabnya selaku ahli Kogen, melaksanakan pesan dari Takasaki dengan teliti dan cermat.

"Kotobuki-san, bolehkah aku berbincang denganmu sesuatu, jika engkau tidak keberatan?"

"Ya, jika aku tidak mengganggumu. Silakan, Ogasawara-san." Chisato kembali duduk.

"Kotobuki-san, engkau tahu apa-apa berkenaan mereka yang menyerang Ryouji?"

"Aku tidak tahu banyak, melainkan dia bekas petani di kampungnya dahulu. Dia bersubahat membunuh bapanya."

KaisenjyoWhere stories live. Discover now