Bab 13

8 3 0
                                    

Sebaik menyeberang sungai di kawasan paling cetek, mereka tiba di kuil Shinto yang ada patung Buddha dengan dua patung gangsa berbentuk singa. Tiada aral melintang. Seekor hayabusa berlegar-legar di atas mereka seperti biasa. Di mana ada Hisamiko, di situlah ada burung itu. Hisamiko boleh diumpamakan seperti seorang magnet hayabusa. Mereka sampai di kuil Shinto kedua setelah hampir malam. Kuil ini ialah kuil di mana mereka pernah menghabiskan dua malam di situ kerana Hisamiko jatuh sakit.

Dia masuk ke kuil. Kelihatan seorang penjaga sedang menyapu daun-daun kering. Penjaga itu senyum kerana dia mengenali Ryouji. Dia berhenti menyapu dan tunduk kepada Ryouji. Ryouji dan Hisamiko membalas. Ryouji menyampaikan hasratnya mahu bermalam di situ.

Berbeza dengan setahun lepas ketika dia datang ke kuil ini dengan perasaan berkecamuk, kini dia berasa sedikit tenang. Dingin musim luruh tidak lagi terlalu menggigit. Kehadiran rakan-rakan di rumah perlindungan itu ke dalam hidupnya sedikit sebanyak merawat luka di hati dan membantu dia melupakan kisah pahit yang dilalui. Untuk seketika cuma. Kenangan bersama bapanya masih bermain di fikiran tatkala dia berendam di dalam onsen di situ.

Esoknya, dia dan Hisamiko berangkat awal pagi menuju ke kuil ketiga.

Sampai di torii, Ryouji berhenti sejenak, mengingat di mana lokasi kubur penjaga kuil itu yang dibunuh Saitou. Dia menuju ke kubur itu yang terletak di luar kuil, dan duduk bersila di hadapannya. Hisamiko menurut.

Dia bertafakur di depan kubur itu. Bunyi higurashi bingit memecah suasana. Daun-daun kering meliputi atas kubur, Ryouji mengambil ranting kering dan membersihkannya.

"Semoga para kami memberi hukuman setimpal kepada pembunuhmu. Semoga karma menimpanya segera."

Dia masuk ke kuil. Kelihatan seorang penjaga sedang menyapu daun-daun kering. Dia lebih muda dari penjaga sebelumnya. Penjaga itu berhenti menyapu dan tunduk kepada Ryouji. Ryouji dan Hisamiko membalas.

Mereka kemudian mencampakkan kepingan duit syiling ke dalam sebuah peti di tempat persembahyangan dan berdoa memohon keselamatan dari para kami. Kemudian mereka ke taman bonsai.

Ryouji membuka bentonya, memberikan onigiri kepada Hisamiko. Hayabusa yang mengekori mereka bertenggek di atas longgokan batu-batu besar di taman itu. Ryouji menawarkannya sedikit lauk dari bento. Ikan salmon. Burung itu terbang, bertenggek di atas lengan Ryouji, dan menyambar lauk itu, seraya menelan dengan lahapnya.

Hisamiko menyampaikan khabar burung itu kepada Ryouji "Baru sekarang engkau mahu memberiku makan." Ryouji tersenyum, kemudian berkata kepadanya melalui Hisamiko "Aku akan memberikanmu makan lebih banyak selepas ini, dengan syarat engkau mesti memerhati ruang udara di atas kami ketika melepasi pekan Furukawa." Burung itu menjawab melalui Hisamiko "Ryoukai desu! (faham!)".

Ryouji amat risau akan pekan tersebut. Ia pekan yang penuh dengan pelbagai ragam manusia, dari pedagang tempatan mahupun Barat, dari ronin ke ninja (saki bakinya), pedagang sutera, senjata termasuk fukiya, dan pembunuh upahan. Mereka kadangkala akan pergi ke tebing Sungai Miya yang merupakan laluan ke kampung Ryouji untuk bersembahyang di kuil itu. Ia pekan terdekat dengan kampung mereka di utara Hidagawa dan merupakan pintu masuk utama masyarakat Jepun ke laluan celah pergunungan Hidagawa itu. Selainnya, hanyalah hutan belantara sasa, shirakaba, momiji, karamatsu dan kaede yang bersilih ganti yang mengelirukan bak fatamorgana.

Hayabusa di atas terbang turun melaporkan pemerhatiannya sekali-sekala. Biasalah, apabila perut sudah kenyang, kerja pun senang, hati pun girang. Sekali lagi tiada aral melintang. Sekian lama berjalan, semakin banyak persekitaran yang mereka kenali menerpa benak, menggamit memori. Akhirnya, mereka tiba ke jeti merentasi tali air ke bendang milik keluarga mereka yang dilalui setahun lalu. Mereka berhati-hati merentasinya. Hisamiko dipimpin.

KaisenjyoWhere stories live. Discover now