"Apa yang kalian buat di sini? Bagaimana kalian tahu tempat ini?!"
"Chisato, jika engkau menjadi gundikku, engkau akan selamat dari Hagiura dan Hamada. Aku akan memaafkan perbuatanmu membunuh rakanku."
"Aku tidak akan sekali-kali mengikutmu. Tempatku di sini. Nyah kalian segera!" Chisato bangun sambil menghunus kayu kendo yang digunakan untuk berlatih selalu dengan Ryouji.
"Apakah itu? Jangan-jangan engkau fikir mahu menewaskan kami dengan kayu ini?" Mereka ketawa lagi.
Chisato cemas. Dahulu dia ada Azusa. Kini dia berseorangan. Ayame tiada untuk membantunya. Seorang gadis berhadapan dengan empat orang lelaki, disaksikan cahaya rembulan dan hutan buluh. Situasi begini seperti telur di hujung tanduk. Ryouji, di mana engkau?
"Kalian, biar aku dan Tatsuya yang menangkapnya. Tsugaru dan Tetsugi, kamu berdua teruskan mengikut Goro dan cari rumah Takasaki itu." Tsugiyama berpesan kepada para pengikutnya. Tsugaru dan Tetsugi bergegas mengikut Goro.
"Tatsuya, aku tidak mahu mencederakannya. Tangkap dia mengikut rancangan pertama. Jika dia melawan, mulakan rancangan kedua."
"Baik, Tsugiyama-san."
Tsugiyama meluru ke arah Chisato. Chisato pantas mengelak. Tsugiyama menggunakan pedangnya. Dia tidak mahu mencederakan Chisato, sekadar menakut-nakutkannya. Chisato pula gentar kerana hanya kayu kendo sahaja yang dia miliki pada waktu itu. Dia harus berhati-hati agar kayu itu tidak dipotong oleh Tsugiyama.
Aku tidak boleh lari ke rumah itu sekarang, aku perlu menahan mereka di sini sehingga Ryouji tiba. Adik-adikku dan yang lainnya masih di situ. Harapnya burung sial itu tidak akan dapat menjejakinya.
Chisato mengelak dengan menggunakan jurus kelima. Dia sedar dia tiada kelebihan menyerang dalam situasi itu. Tsugiyama menggunakan belakang katananya sahaja, dan menyedari itu, Chisato tahu dia boleh menahan tetakan Tsugiyama menggunakan kayu kendonya. Tsugiyama adalah petarung yang bijak memanfaatkan keadaan. Sebagaimana ketika dia bertarung dengan Kobato di Shizen, dia tahu bagaimana mengalihkan posisi mereka. Dia menggunakan kemahiran itu agar cahaya bulan mengambang menyinari Chisato namun melindungi dia dari pandangan Chisato.
Ini membuatkan Chisato mula menyerang dari sekadar mengelak, bagi mengeluarkan Tsugiyama dari bayangan malam dan menganjaknya ke bawah cahaya bulan agar dapat dilihat. Tsugiyama, pantas mengelak, dan sebaik melihat peluang, menerkam Chisato dari belakang dan mengunci lengannya. Chisato meronta-ronta. Melihatkan keagresifannya, Tsugiyama mengisyaratkan Tatsuya melakukan rancangan kedua.
Tatsuya mengeluarkan sejenis jarum berpicagari berisi cecair biru digelar aotsuyu, jarum yang sama yang dilihatnya ketika dia dan Azusa diserang dahulu. Chisato tahu cecair itu hampir menghilangkan kewarasan Azusa.
Dia cemas, hilang ikhtiar. Tanpa disedari, dia menggigit tangan Tsugiyama dan melepaskan diri. Kemudian dia menendang muka Tatsuya dengan tendangan tinggi. Tatsuya jatuh terjelepok, dek kepantasan tendangan Chisato. Jarum aotsuyu itu melambung dan terpacak betul-betul di perut Tatsuya. Chisato cuba mengambil jarum aotsuyu itu dari perut Tatsuya, dengan isinya sudah separuh memasuki salur darahnya, dan telah membawa Tatsuya ke alam separa sedar. Chisato ditolak dan ditindih Tsugiyama ketika cuba mengambilnya.
Bahu Chisato dicucuk jarum tersebut oleh Tsugiyama. Dia menolak omboh suntikan itu, menghabiskan isinya sambil tersenyum sinis memandang Chisato yang kian pucat wajahnya, yang memikirkan apakah nasibnya selepas ini.
"Engkau akan menjadi gundikku selepas ini." Tsugiyama berkata selepas menghabiskan isi picagari itu. Chisato mulai mabuk.
"Tsugiyama!!!" Ryouji datang menyerbu ke arah Tsugiyama tiba-tiba dan menendangnya, dengan kemarahan berapi. Lelaki lima puluhan itu terpelanting mengenai hutan buluh.
YOU ARE READING
Kaisenjyo
Historical FictionSatu peristiwa pembunuhan membawa Ryouji dan adik perempuannya kepada kehidupan baru, di sebuah rumah perlindungan. Peristiwa demi peristiwa yang menyusul memberi petunjuk yang membawa kepada pembunuh bapanya. Kehidupan di rumah perlindungan itu jug...