Bab 16

12 3 0
                                    

Ryouji menunjukkan pakaian dan senjata yang ditemui pada rangka manusia itu kepada Takasaki.

Miura pernah memberitahu Takasaki terdapat cubaan membunuhnya beberapa kali menggunakan fukiya. Namun dia bernasib baik kerana dapat mengelaknya beberapa kali. Disebabkan itu dia banyak berkurung di dalam rumah dan menghabiskan masa melakar kaligrafi.

Takasaki membelek-belek dan mengamati kelongsong fukiya itu. Berdasarkan corak pada kelongsong tersebut dia mengagak ia dibuat di sebuah kedai di Furukawa. Mereka membeli fukiya yang betul-betul sama dan membandingkan jarumnya dengan memori Ryouji, kerana jarum yang membunuh bapanya sedang dalam pemilikan Hamada. Serupa. Kemudian mereka bertanya peniaga itu jika dia dapat mengingat setahun lalu akan sesiapa yang pernah membeli fukiya sedemikian. Dia tidak dapat mengingatinya.

"Takasaki, jika benar itu mayat pembunuh bapaku, tidakkah engkau hairan bagaimana dia dibunuh sejurus membunuh bapaku. Barangkali orang yang mahu bapaku mati ingin menghapuskan bukti."

"Aku lihat modus operandinya sama seperti Hamada. Aku amat arif akan kaedah sebegitu kerana aku pernah bekerja dengannya. Dia akan menghantar dua pihak yang saling tidak berhubungan untuk membunuh sasaran sama yang pandai bertarung. Satu pihak dihantar untuk mengalih perhatian sementara satu lagi pihak akan membunuh secara sembunyi. Dia fikir cara itu lebih senang dan pantas meskipun itu cara pengecut dan bertentangan dengan pegangan samurai."

"Jadi engkau fikir penyumpit fukiya itu juga dihantar Hamada, dan Saitou tidak tahu akan hal tersebut?"

"Ya. Kebarangkaliannya tinggi." Ryouji teringat Saitou yang kebingungan melihat jarum fukiya yang ditunjuknya sewaktu di kuil Furukawa.

Jika benar Hamada yang mengarahkan pembunuhan tersebut, dia hanya mahu satu perkara sahaja; Hamada tunduk dan meminta maaf kepadanya. Hanya itu. Jika dia enggan, aku akan memaksanya melakukan seppuku. Aku bukan samurai, tetapi dia adalah samurai. Bukankah itu cara mereka untuk menebus maruah sendiri yang telah tercalar?

Aku tidak patut membunuh mereka meskipun hatiku perit. Kerana aku tidak mahu menjadi sebahagian dari mereka. Aku bukan samurai dan bapaku tidak pernah menerapkan nilai-nilai bushido dalam diriku. Aku hanya seorang rakyat biasa yang menghargai hidup dan kehidupan.

Sekurang-kurangnya itulah yang Ryouji mahukan. Namun apakah dia mampu tetap dengan pendirian sebegitu bilamana musuhnya itu di depan mata dan dia dikuasai emosinya?

"Ryouji, cuba lihat ini. Aku temui dalam tabinya." Takasaki menyuguh sekeping sampul kertas yang dilipat dan disisip kemas di dalam tabi kalis air.

Ryouji mengambil sampul tersebut. Dia menarik sekeping kertas dari sampul itu dan membukanya. Ia seperti surat kontrak, dengan cap darah ibu jari.

"Takasaki, aku masih tidak dapat membaca sebahagian besar kanji. Boleh engkau bacakan?"

Takasaki membacakan surat itu. Ia adalah surat kontrak upah membunuh Miura antara pengupah dengan penyumpit. Di bawah cap jari itu ialah nama pengupah dan nama penyumpit.

Takasaki membacakan nama pengupah itu. "Son-zae-mon."

Ryouji tersentak mendengarkannya. Sonzaemon yang membunuh bapanya!

"Takasaki-san, aku harus pergi sekarang."

"Ryouji, tunggu. Engkau hendak ke mana?"

"Ke utara. Aku mahu menjejaki Sonzaemon."

"Ryouji, bersabar." Ryouji menoleh memandangnya. Matanya penuh kesakitan. Air matanya mengalir. Mukanya merah. Giginya berlaga. Dia menahan marah. Sonzaemon, orang yang telah menyerangnya di Furukawa. Sonzaemon si gemuk itu, rupanya!

KaisenjyoWhere stories live. Discover now