Bab 20

7 3 0
                                    

"Shinji, bolehkah engkau boleh menciptakan penembak edamame yang lebih pantas?" Ryouji bertanya tiba-tiba pada suatu hari.

"Aku sedang cuba. Aku masih memperbaharui kaedahku. Mujur aku menggunakan besi sama untuk bilah katana untuk menghasilkan springnya maka aku tidak perlu membeli bahan-bahan lain selain yang ada di dalam bengkel."

"Spring?"

"Ya. Alat utama dalam penembak itu. Ia menyimpan tenaga yang kau bekalkan ketika memulas tombol, dan melepaskan kesemuanya sekaligus pada peluru edamame selepas engkau menarik picu."

"Menarik." Ryouji mengakuinya. Ilmu Shinji amat mempesonakan. Dia teringin mempelajarinya lebih dalam, namun dia fikir lebih baik dia mengharapkan Shinji sahaja. Kerana fikirnya dia lebih betah dalam hal-hal lain.

"Shinji, hasilkan satu untuk setiap seorang dari kita. Aku mahu berlatih. Aku mahu mereka beramai-ramai menembakku."

"Nani??! Kau sudah gilakah?"

"Ya."

Engkau memang gilapun, Ryouji. Sampai sekarang aku masih tidak tahu bagaimana engkau menarik hayabusa. Dan cara engkau bertarungpun aneh. Separa kami. Aku tidak pernah melihat kepantasan sebegitu, hatta Takasaki sekalipun.

"Aku terima permintaanmu sebagai cabaran!" Shinji bersetuju. Ya, aku akan menambahbaik senjataku, agar penembak itu lebih pantas menembak dari gerakan hayabusa.

Sejak itu dia banyak menghabiskan masa di perpustakaan dan bengkel relau. Takasaki bimbang akannya kerana dia kerap melangkau waktu makan. Sampaikan Mariko sendiri datang ke bengkel dan membawa makanannya.

"Ryouji, apakah engkau telah meracuni fikiran Shinji?" tanya Takasaki separa berseloroh.

"Aku cuma memberikannya galakan. Secara tidak langsung, aku juga dapat berlatih dengan peralatan yang lebih canggih."

Tsuneki gemar betul menggunakan penembak kotak itu. Dia amat gembira sekiranya tembakannya mengena Ryouji. Selalunya tembakannya akan mengena Ryouji lima puluh peratus, bakinya menyasar ke lain. Dan semakin hari, peratusan mengena semakin berkurang. Ryouji semakin arif. Dia belajar dan menambahbaik. Namun selain Ryouji dan Hisamiko, tiada sesiapa yang akan dapat mengelak dari tembakan Tsuneki.

Tembakan Tsuneki amat jitu. Bahkan, Takasaki menyedari perkara tersebut dalam satu sesi latihan dan amat kagum dengannya. Dia penembak paling tepat pernah Takasaki lihat. Justeru, dia melatih Tsuneki memanah.

Ryouji fikir dia harus lekas. Meningkatkan kemahirannya ke tahap tertinggi, dan melatih Hisamiko. Dia tidak boleh hanya menunggu Takasaki. Dia tidak lagi punya banyak masa.

Masih segar kata-kata Kotobuki, sami di kuil beberapa bulan lalu selepas dia diserang Sonzaemon dekat Furukawa.

"Ryouji, aku ingin perkatakan sesuatu kepadamu, sesuatu yang belum pernah aku beritahu berkenaan perjanjian moyangmu Zenzaburo dengan hayabusa-no-kami.

Harapku engkau bertenang mendengarnya. Pernahkah engkau mendengar sumpah hayabusa?

"Tidak pernah, Kotobuki-san."

"Bahawa kurniaan kepantasan hayabusa kepada puakmu adalah di atas suatu pembayaran. Setiap seratus tahun, salah seorang dari puakmu akan mati sebelum umurnya mencecah dua puluh tahun."

"Jadi?" Ryouji tidak sabar mendengar siapakah yang dimaksudkan Kotobuki.

"Engkaulah orang itu, yang akan mati sebelum umurnya menginjak dua puluh tahun." Beritahu sami itu selamba. Adakah sami ini bergurau?

KaisenjyoWhere stories live. Discover now